Farid Kamil Hanya Kawan – Memey

31 Jul

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

SEDIA arif akan kariernya mampu musnah dengan sekelip masa sahaja jika tidak dijaga dengan baik, pelakon yang boleh dikategorikan sebagai masih hijau dalam arus seni tempatan, Memey, mengakui bahawa kontroversi adalah satu perkara yang paling digeruni.

Bagi dirinya, kontroversi mampu menjejaskan keseluruhan kerjayanya sebagai seorang anak seni yang baru mahu merangkak.

“Itu (kontroversi) yang paling saya takut. Saya baru saja nak mengenali dunia lakonan dengan lebih mendalam. Berilah saya peluang untuk mendalami dunia ini.

“Selain itu, bukan setakat saya nak menjaga karier saya saja, tapi risau jika tempiasnya akan terkena pada keluarga,” katanya.

Biarpun si empunya diri menyerlah sekali ketakutannya dengan kontroversi, namun sudah adat menjadi artis, Memey sendiri tidak terlepas apabila dikaitkan dengan gosip. Salah satu gosip ialah apabila ada pihak yang mendakwa dia menjalin percintaan dengan aktor Farid Kamil.

Pantas Memey menegaskan, dia hanya mengenali Farid sebagai seorang pelakon popular dan mereka juga jarang bersua.

“Saya kenal dia (Farid Kamil), tetapi tidaklah mesra seperti gosip-gosip yang diperkatakan itu.

“Kami sekadar teman biasa saja. Tidak lebih daripada itu. Bukankah saya sudah kata, fokus saya buat masa ini adalah kepada karier ,” ujarnya.

Tambah gadis yang berasal dari Johor ini, demi keselamatan dan juga tidak mahu terjerumus menjadi bahan umpatan masyarakat, Memey kini lebih selesa membawa adiknya, Nazreen Suhaimi, ke mana-mana saja bersama.

Tujuannya ialah supaya Nazreen menjaga keselamatan Memey yang sentiasa pulang tak tentu masa.

Ingat jasa Darling

Tuah gadis ini diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba. Masakan tidak, dalam jangka masa setahun lebih sahaja, namanya boleh dikatakan agak kukuh di industri yang penuh dengan cahaya glamor ini.

Apalagi dengan segala tawaran berlambak datang kepadanya membuatkan dirinya tidak menang tangan dan terpaksa memilih yang terbaik.

Bakat dan kecantikan tuan punya nama Suhaiza Suhaimi ini, cukup untuk dijadikan satu pakej lengkap yang boleh disalurkan kemana-mana bidang yang diinginkan.

Dek kerana pakej itu juga, hari ini bidang peragaan, pengacaraan dan lakonan berada dalam genggamannya.


“SHERRY, Norish dan Memey.”

Lihat sahaja langkahnya bermula menapak dalam tele filem Rahsia Sebuah Pengorbanan, Pintu Syurga, Cinta Gadis Pengkit serta drama Elite, Graduan, Pasrah Syakira, Tragedi Oktober dan yang terbaru, drama Lara Rindu Mahsuri pula menjengah penonton di TV3.

Semua ini dia kecapi tidak sampai dua tahun. Namun, dirinya tidak langsung bongkak dengan apa yang dimiliki malah dia belum puas dengan apa yang dilakukan. Bukan kerana tidak puas dengan rezeki yang diterima, sebaliknya Memey belum puas dengan kualiti kariernya.

“Kalau boleh saya mahu menjadi yang terbaik antara yang terbaik,” begitu tinggi cita-cita gadis berusia 20 tahun ini.

Satu perkara yang penulis kagum dengannya, Memey tidak pernah lupa tentang bagaimana dia telah tergelincir ke dunia lakonan.

“Semua ini kerana Darling (Ngasri). Dia yang membawa saya sehingga ke tahap ini.

“Walaupun saya hanya sempat berlakon beberapa buah telefilem dengannya, saya tak pernah melupakan Darling. Dialah pendorong utama saya,” tuturnya berterus terang.

Kemudian, Memey mulakan tapak kariernya dengan sendiri. Dia mencuba nasib di produksi luar pula. Bermula di saat itu, kata-kata kurang enak mula didengar. Memey dikatakan seperti kacang melupakan kulit. Malah kini, Memey tidak lagi rapat dengan Darling seperti dulu.

Ketika hal itu diajukan dengan pantas Memey memotong kata dan memberitahu bahawa mana mungkin dia dapat melupakan segala jasa-jasa Darling.

“Jasa dia takkan saya lupakan sampai bila-bila. Saya juga hormat dia sebagai ibu saudara saya. Sekarang ini, saya terikat dengan drama-drama bersiri yang lain dan belum berkesempatan untuk berlakon drama atau telefilem baru dengan syarikat milik Darling.

“Lagipun, ini yang saya dapat, rezeki masing-masing. Untuk tingkatkan kemahiran lakonan, saya perlu cuba bekerja di bawah pelbagai produksi bukannya hanya satu atau dua produksi sahaja,”ujarnya.

Cuba mahu mengorek lagi tentang masalah hubungannya dengan Darling, Memey tidak mahu mengulas panjang. Takut meleret pula jadinya.

“Sekarang ni, saya dengan Darling dah baik dan keakraban kami juga kembali normal. Saya tak mahu mengulas panjang tentang hal ini lagi. Saya pun menghormati permintaan dia supaya tidak bercerita tentang hal ini lagi. Yang lepas biarlah ia pergi. Tak perlu difikirkan lagi,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri terbaru Akukah Tanggang? dan Lara Rindu Mahsuri di Sunway Piramid baru-baru ini. Memey berlakon dalam drama Lara Rindu Mahsuri bersama dengan pelakon Norish Karman dan Sherry.

Mahu menjadi penulis skrip

Sebenarnya, bakat gadis jelita ini, lebih daripada apa yang disangkakan. Dia bukan sahaja berbakat dalam memperagakan fesyen, berlakon mahupun mengacara, bahkan gadis tinggi lampai ini berkebolehan dalam penulisan.

“Mesti terkejut bila saya memberitahu minat saya. Tak ramai yang tahu tentang ini. Saya minat menulis sejak kecil lagi dan juga gemarkan novel yang lebih menceritakan mengenai motivasi diri,” tuturnya yang meminati penulis Rober Kiyosoki.

Apa yang di inginkannya cuma satu, Memey mahu bergelar sebagai penulis skrip suatu hari nanti. Itulah objektif terbesarnya.

“Jika diberi peluang, saya mahu menghasilkan skrip dalam masa tiga tahun ini. Dan sepanjang tempoh ini, saya akan kaji bagaimana cara penulisan skrip dihasilkan melalui lakonan yang saya bawa,” jelas si penggemar aksi dan gaya lakonan seniman Tan Sri P. Ramlee ini.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: