Raja Farah Ke Pentas Hidup – Pegang Watak Utama Teater Muzikal Patriot

21 Jul

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

DIA boleh dikategorikan masih baru dalam dunia seni tanah air. Masih di peringkat mengasah bakat bagi memahat nama, pelakon remaja Raja Farah yang dikenali menerusi lakonannya di layar lebar dan layar kaca tiba-tiba diumumkan sebagai pelakon utama sebuah pementasan teater.

Bukan calang-calang teater tetapi khabarnya teater yang bertemakan semangat patriotik.

Sebenarnya, jarang sekali lantai teater tempatan mempersembahkan ceritera si baju hijau berceloreng, sebagai bahan penceritaan.

Apabila aktivis teater sekitar tahun 60-an dan 70-an, Rahman Adam mahu kembali dengan buah tangan terbarunya, Teater Muzikal Patriot, pasti ramai yang tertarik untuk menyedut nafas teater perang ini yang bakal dicorakkan penuh variasi, sarat melodi, retak tari dan himpunan lagak humor.

Menyatukan perang dan muzik di atas pentas, kisah sang perajurit benteng pertahanan negara ini, pasti, bibit percintaan dan kasih yang terpaksa dikorbankan demi kecintaan terhadap negara tidak terpinggir daripada menjadi arus penceritaan.

Bunyinya agak klise, tapi arah mana lagi sesebuah kisah yang bertemakan perjuangan dan semangat nasionalisme jika tidak dikemaskan dengan episod cinta yang tidak kesampaian. Ini elemen tragik yang tidak akan dipersiakan setiap pembikin, baik teater, drama, filem mahupun drama radio.

Teater ini besar, sebesar hasrat murninya untuk mengutip dana yang mahu disumbangkan kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2008.


PERNAH berdampingan di layar kaca, Raja Farah dan Ashraf kini berpadu tenaga dan aura di pentas teater.

Namun, apabila nama-nama seperti Raja Farah dan Asyraf Muslim dipilih untuk menjana watak heroin dan hero muzikal ini, timbul pertanyaan, layakkah pucuk muda menjadi aset yang menunjangi kejayaan pementasan besar ini kelak.

Lengkap berkebaya persis si gadis sunti era zaman 40-an, Raja Farah tidak gentar saat diminta membela diri. Akuinya, sejak terjun ke persada lakonan beberapa tahun lalu, impian untuk berlakon teater tidak pernah padam di benaknya.

“Saya sudah lama menantikan tawaran begini. Apabila dipanggil untuk uji bakat, saya datang dengan harapan yang besar. Saya memang mahu terlibat dengan teater ini. Alhamdulillah, nasib saya baik dan saya diterima.

“Baik atau buruknya berlakon teater ini, bawa watak ini, saya terima, bagi saya, kalau saya tidak bermula sekarang, bila lagi, jadi saya buat, buat yang terbaik,” jelas Raja Farah penuh yakin saat ditemui pada majlis pelancaran Teater Muzikal Patriot di Istana Budaya, baru-baru ini.

Dari kata-katanya, gadis muda ini cuba memberitahu bahawa, berjaya atau tidak, hanya penonton sahaja yang akan memberi jawapan setelah menyaksikan lakonannya kelak.

Kali pertama mengenali teater, komitmen Raja Farah terhadap muzikal ini boleh dipuji. Demi tuntutan latihan dan penghayatan watak yang intensif, gadis muda yang sedang mengukir nama di layar perak dan TV ini sanggup melepaskan tawaran lain agar muzikal ini dapat diutamakan.

“Ada beberapa tawaran yang harus saya tolak, ada juga sanggup tunggu sampai teater ini habis. Itu antara pengorbanan yang harus saya lakukan.

“Teater ini benar-benar memerlukan komitmen seratus-peratus daripada saya,” jelas Raja Farah yang manis bersalut kostum Sapura, watak gadis kampung yang menjadi kekasih, pegawai muda Rejimen Askar Melayu yang bernama Leftenan Yahya, lakonan Ashraf Muslim.

Bukan sahaja ujian pertama buat Raja Farah di lantai pementasan Teater Muzikal Patriot juga menguji kematangan lakonan Raja Farah untuk menyesuaikan dirinya di sisi dua hero, Ashraf Muslim dan Muhamad Syukor Ibrahim memandangkan kedua-dua pelakon ini, sengaja dilatih Rahman Adam sebagai pemegang watak Yahya.

“Ashraf sudah pernah digandingkan dengan saya dalam drama TV sebelum ini. Kami juga sudah lama berkawan, jadi tidak susah untuk serasi dan meluahkan emosi dalam babak cinta di pentas.

“Tetapi, Syukor pula lain. Dia memang orang teater, cara dia lain, tapi Syukor pandai, dia gunakan pendekatan sendiri untuk dapatkan keserasian di dalam dan luar latihan.

“Dia ambil berat tentang saya, itu cara dia. Masa latihan untuk teater ini, saya banyak berlatih dengan Syukor. Malangnya beberapa hari lepas dia jatuh sakit, justeru Ashraf yang akan jadi pengganti kalau sakitnya berterusan,” beritahunya lagi.

Mendefinisikan teater sebagai bidang seni yang menuntut kawalan emosi yang cukup kuat, Raja Farah menambah lagi: “Keyakinan diri adalah perkara yang paling penting, dalam latihan, tapi saya takut tidak dapat mengawal emosi gugup semasa dalam persembahan sebenar.

“Segala-galanya perlu dikawal begitu juga dengan lontaran vokal, itu yang paling susah. Sebutan kena jaga, begitu juga dengan bahasa tubuh dan pergerakan.”

Dari segi kelayakan untuk menjadi seorang pelakon dan komitmen yang dicurah, dua kualiti itu memang ada pada diri Raja Farah, bagaimana pula dengan kemampuan gadis muda ini untuk menawan khalayak teater yang lebih selesa dengan nama-nama besar untuk beraksi di pentas gah bernama Panggung Sari?


APAKAH impak yang ada pada Raja Farah dan Ashraf mampu memikat audiens terhadap Teater Muzikal Patriot?

Mendapatkan kepastian, tuan empunya produksi ada alasan tersendiri.

“Memang dia mentah dalam teater, tapi saya puji kesanggupan Raja Farah untuk memenuhi jadual latihan yang kami tetapkan.

“Sebelum Raja Farah, sebenarnya sudah ramai pelakon wanita lain yang ditawarkan watak Sapura, tetapi mereka menolak kerana tidak sanggup dengan jadual yang panjang.

“Mampu atau layakkah Raja Farah bawa watak besar ini, saya tidak lihat itu sebagai masalah kerana yakin Raja Farah ada peminat tersendiri.

“Dia muda dan paras rupa pun menarik dan saya memang nak beri peluang ini untuk dia, biar satu masa nanti, dia pun boleh menjadi seorang pelakon pentas yang baik, kerana dia ada potensi,” hujah Rahman Adam yang juga percaya Raja Farah boleh menari dan menyanyi dengan baik untuk menjayakan muzikal ini kelak.

Rahman juga menjelaskan kemunculan Ashraf dalam muzikal ini awalnya sebagai pelakon gantian untuk watak Yahya. Itu prinsip pengarahannya, tegas Rahman.

“Saya juga masih memikirkan untuk mencari pelakon gantian untuk watak utama, sebagai persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

“Macam Syukor, mulanya keracunan makanan tapi sakitnya berlarutan, terpaksalah Ashraf yang jayakan keseluruhan persembahan kelak. Jika tidak, mereka akan bergilir-gilir,” tambah Rahman yang benar-benar berharap Teater Muzikal Patriot ini bakal meninggalkan kesan sebagai salah sebuah persembahan istimewa tahun ini.

Sebagai informasi, Teater Muzikal Patriot juga dibarisi pelakon handalan lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Zila Bakarin, Mahmud Ali Basha, Zaibo, Zack Taipan, Baharudin Omar serta penampilan istimewa daripada Mama Rina AF6 yang membawa watak sebagai ibu kepada Yahya.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Teater Muzikal Patriot pada 29 Julai hingga 3 Ogos nanti berharga RM30, RM50, RM80, RM100, RM130 dan RM180 sudah mula dijual dan boleh didapati di Box Office Istana Budaya ataupun pembelian menerusi internet di laman web, http://www.ticket2u.bz atau hubungi 03-4149 8600 untuk maklumat lanjut.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: