Fizow, Syed Ali Semakin ‘Digilai’

17 Jul

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
dan AMIRUL ANNUAR ABIDIN


CUKUP mengagumi, Fizow (kanan) dan Syed Ali punyai bakat besar untuk maju dalam dunia lakonan.

MEMILIKI wajah menarik, aktif serta berbakat, dua pelakon kacak bergaya ini mula menempa nama di persada hiburan tempatan dan semakin dikenali ramai biarpun masih bergelar ‘pucuk muda.’

Menyimpan impian untuk menggantikan tempat ‘Hero Malaya’ seperti Rosyam Nor, apa yang pasti, mereka sudah pun punyai peminat tersendiri dan digilai khususnya si gadis remaja.

Lahir pada tahun yang sama iaitu 1985 dan kini berusia 23 tahun, kedua-duanya sudah saling mengenali tatkala sama-sama menyertai sebuah pertandingan pencarian hero remaja bagi sesi 2007/2008 yang lepas.

Semenjak itu, empunya diri bernama Wan Hafizol Wan Omar atau Fizow dan pelakon yang kini popular menerusi drama bersiri Renjis di saluran Ria (saluran 104, Astro), Syed Ali Tar Mohd. mula mengharungi dunia penuh glamor serta menceburi bidang lakonan.

Melihatkan kesungguhan yang ada pada diri, mereka sebenarnya adalah pelapis yang bakal meneruskan perjuangan pelakon-pelakon senior ketika ini.

Melewati garisan dunia glamor, sebagai orang baru, sudah tentu ada sahaja cerita suka duka yang dilalui mereka sepanjang memilih karier sebagai anak seni.

Pernah dimaki hamun, dikutuk dan diejek, itu semua asam garam kehidupannya sebagai seorang pelakon.

Sungguhpun begitu, Fizow dan Syed Ali yang ditemui Hits pada sesi fotografi baru-baru ini enggan berdendam, sebaliknya, menjadikan segala pengalaman sebagai pengajaran dalam mematangkan lakonan masing-masing.

Fizow tinggalkan bola demi lakonan
Mengambil keputusan menggantung but bola, Fizow nekad untuk tidak memandang ke belakang bagi memenuhi minatnya yang mendalam terhadap lakonan.

Pernah beraksi dengan pasukan Kelantan, Perlis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Fizow menerima seadanya segala ejekan daripada rakan-rakan seperjuangan atas segala keputusan yang diambilnya.

”Pertamanya saya minat berlakon. Saya kena membuat pilihan. Justeru, saya pilih berlakon yang turut mendapat sokongan ahli keluarga.

”Mula-mula dulu teruk kena kutuk dengan rakan-rakan bola tetapi saya tidak ambil peduli dan mahu buktikan yang saya mampu berjaya,” katanya.

Ujar Fizow, bermula dengan drama bersiri Elite, rezekinya makin bertambah apabila membintangi drama Gaia, Biawak Pasir, Kau Curi Cintaku dan terbaru, Dendam.

”Drama bersiri Kau Curi Cintaku merupakan drama pertama yang melibatkan saya sebagai watak utama.

”Ia masih belum ditayangkan. Sebagai pelakon utama, sudah tentu saya banyak kena marah dengan pengarah. Kadang-kadang rasa kecewa tetapi memikirkan sebagai orang baru, saya kena tabah,” jelasnya.

Menurut Fizow, dalam usahanya untuk berlakon filem, dia akan menimba seberapa banyak pengalaman dan memantapkan lakonannya dalam drama terlebih dahulu.

Dilabel gay?
Sibuk bicara tentang lakonan dan masa depan, Fizow diajak memberikan komen tentang cakap-cakap yang melabelkan dirinya sebagai gay gara-gara pemakaian dan penampilannya yang up-to-date dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Tenang menjawab dakwaan itu, Fizow memberitahu, apa yang didakwa tidak sama dengan realiti peribadinya.

”Orang boleh cakap apa sahaja dan saya tidak ambil kisah sangat.

”Apa yang penting, saya tahu apa yang saya lakukan dan tahu tentang siapa diri saya sebenarnya,” katanya yang mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada karier dan perniagaan sebelum serius dalam percintaan.

Dikatakan bersikap ‘pilih bulu’
Tidak cukup dilabel gay, Fizow seterusnya dikatakan sebagai seorang pelakon yang bersikap memilih media sekiranya diminta terlibat dalam sesi fotografi.

Agak terkejut ketika dikatakan tentang perkara tersebut, Fizow bagaimanapun menafikan, dia mempunyai sikap pilih bulu.

”Saya tidak pernah memilih mana satu media yang saya suka. Bagi saya, apa sahaja tawaran yang hadir, saya akan terima.

”Cubalah panggil (sesi fotografi), saya pasti akan hadir jika tidak sibuk,” jelasnya.

Dugaan Syed Ali
Sementara itu, bagi Syed Ali pula, lakonannya sebagai peguam menerusi drama bersiri Renjis bersama-sama Ashraf Sinclair dan Elyana sememangnya cukup mantap dan bersahaja.

Berperwatakan gila-gila, anak jati Kuala Kangsar, Perak ini bagaimanapun, mempunyai kisah duka yang berselindung di sebalik tawa riangnya.

Ketika Hits menemu bualnya petang Isnin lalu, hatinya bagai tidak menentu kerana teringatkan adiknya, Syed Yahya, 22, yang kini terlantar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kerana terlibat dalam satu kemalangan.

”Saya sangat bimbang tentang keadaan dia sekarang. Dia kemalangan ketika saya sedang menjalani penggambaran Renjis.

”Sebab itu saya tidak dapat fokus sepenuhnya terhadap lakonan dalam drama itu. Fikiran saya berserabut,” katanya sambil mengeluh panjang.

Jelas Syed Ali, dugaan Allah datang kepadanya bertimpa-timpa dalam masa terdekat ini.

”Bermula dengan adik saya meninggal, selepas itu, ibu kesayangan, Siti Lakyah Abdul Rashid dan diikuti kakak, Sharifah Tar Mohd.

”Kehilangan ibu paling terasa namun saya sempat meminta restunya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur tahun 2002 lalu bagi mencari rezeki dalam dunia lakonan,” jelasnya.

Menurutnya, setiba di Kuala Lumpur, dia telah bekerja di pelbagai tempat termasuk di rangkaian pawagam GSC di IOI Mall, Puchong ketika ini sebelum menceburi dunia lakonan.

”Sebenarnya, sebelum ini, saya banyak menjadi pelakon tambahan sahaja. Masa di tingkatan lima, saya pernah melakonkan watak kecil dalam filem Paloh.

”Itupun kebetulan ketika krew filem tersebut datang ke kampung untuk penggambaran. Dari situ saya timbul minat untuk berlakon,” katanya yang kini sedang hangat bercinta dengan penyelia di tempat kerjanya.

Ujar Syed Ali, drama pertama yang mengangkat dirinya sebagai pelakon utama adalah Bouganvilla Di Anjung Mahligai pada 2005.

Menerusi drama itu, katanya, dia berpeluang berlakon bersama Khatijah Tan, Rusdi Ramli dan beberapa lagi pelakon ternama.

”Selepas itu, saya membintangi stikom Kopi Kaw, Gaia dan terbaru adalah Renjis.

”Impian saya mahu hebat seperti Rosyam Nor dan berlakon dalam filem,” tambahnya yang turut terlibat dalam iklan produk kopi Radix.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: