Juara Pasti Tak Sesia

28 Jun

Syarikat rakaman atur strategi pastikan album berjaya di pasaran

OlehHanim Mohd Saleh

KALAU Aliff Aziz mengharum namanya di negara jiran hasil kontrak rakaman dengan syarikat Sony-BMG Music di Malaysia, apakah kejayaan serupa boleh diulangi jika kontrak itu dimenangi sebuah kumpulan band dari pertandingan realiti TV?

Seperti Aliff, juara Anugerah Band 2008 juga bakal ditawarkan kontrak rakaman, tetapi dengan syarikat berbeza – Universal Music Malaysia, dengan kerjasama Rumpun Records dan EZS Music Production.

Universal merupakan label antarabangsa yang pernah mengedarkan album artis Barat seperti Mariah Carey, Bon Jovi dan Maroon 5, di samping artis serantau seperti Anuar Zain, Pop Shuvit, Spider dan Agnes Monica.

Juara pertandingan juga akan diikat kontrak bersama Unit Pengurusan Artis (AMU) Mediacorp TV12 selama empat tahun, selain menerima trofi dan wang tunai $20,000. Secara keseluruhannya, nilai hadiah yang dimenangi juara mencecah $250,000.

Wakil Universal Music yang juga seorang penerbit, Syed Azlan Abu Baker, yang lebih popular dengan panggilan Arab, ketika ditemui berkata pihaknya telah mengikuti perkembangan muzik di Singapura dan yakin banyak bakat terpendam di sini yang berpotensi diketengahkan secara agresif di Malaysia.

‘Sejak dulu saya yakin Singapura mempunyai bakat besar. Bahkan saya dewasa dengan lagu-lagu band Singapura seperti Sweet Charity dan Black Dog Bone.

‘Tetapi dalam menjalankan kerjasama kontrak ini dengan pihak Suria, kami sama-sama bersetuju siapa pun pemenangnya, ia haruslah band terbaik dan kami tidak boleh bertolak ansur dalam memastikan kejayaan album yang bakal dipasarkan nanti.

‘Ini bermakna kami harus bersikap teliti dalam pemilihan lagu dan mengatur strategi untuk memastikan produk itu nanti benar-benar berjaya,’ kata Arab.

Sebagai mengenalkan pemenang kepada pasaran Malaysia, tambah Arab, pihaknya merancang mengeluarkan single terlebih dulu, diikuti dengan EP dan album penuh. Single pertama dijangka diterbitkan pada akhir Julai.

Apabila ditanya Berita Harian sama ada juara band itu nanti berpeluang mengetengahkan lagu- lagu ciptaan mereka sendiri, sesuai dengan konsep band yang diperjuangkan, dan tidak terikat pada sumbangan penggubah Malaysia saja seperti mana yang berlaku pada album Aliff, Arab menjelaskan latar belakang dan asal usul penggubah tidak menjadi keutamaan dalam pemilihan lagu.

‘Kami tidak mengehadkan dari mana lagu itu datang, tidak kira dari Malaysia atau Singapura atau mungkin negara jiran yang lain.

‘Yang penting, lagu itu sedap dan sesuai dengan band itu sendiri. Tetapi kalau band sendiri boleh mencipta lagu dengan baik, ia merupakan satu bonus,’ tambah Arab.

Ketua AMU, Noor Azlan Salim, pula menjelaskan dalam perjanjian menerbitkan album sulung Aliff di bawah syarikat Sony-BMG, sebenarnya tidak ada sekatan terhadap sumbangan lagu daripada penggubah Singapura.

‘Sebenarnya kami ada meminta dua penggubah tempatan menyumbangkan karya mereka tetapi penggubah itu sendiri merasakan lagu ciptaan mereka tidak sesuai dengan suara dan imej Aliff. Soal masa juga menjadi penghalang,’ kata Noor Azlan.

Apabila diungkit tentang kontrak empat tahun – tempoh yang agak lama bagi pemenang band ‘diikat’ AMU Suria, Noor Azlan menjelaskan kontrak itu sebenarnya dibuka untuk perbincangan setiap tahun.

‘Selepas setahun, kami akan membuat penilaian dan merangka rancangan seterusnya,’ ujar beliau.

Empat finalis lain juga dijangka ditawarkan kontrak AMU Suria tetapi yang pasti, kata Naib Presiden Kanan Suria, Suhaimi Jais, ‘mereka akan diketengahkan dalam rancangan-rancangan hiburan TV kami’.

Enam kumpulan yang bersaing dalam peringkat separuh akhir pada Selasa lalu – Cucu Datuk Merah, Rancour, Trabo, Putra, Fatskunks dan X-Tech – akan mengetahui nasib mereka, sama ada berjaya mara ke peringkat akhir, apabila keputusan diumumkan Selasa ini.

Keputusan adalah berdasarkan 50 peratus undian penonton menerusi SMS dan 50 peratus penilaian juri.

Selain hadiah juara, turut disediakan ialah Anugerah Pemuzik Terbaik, Vokalis Terbaik, Anugerah Band Paling Bergaya dan Band Kesayangan Media.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: