Bicara Hati Zed, Elly Mazlein

19 Jun

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


Zed Zaidi (kiri) dan Elly Mazlein mahu memberi tumpuan pada karier seni sebelum menamatkan zaman bujang.

DUA pelakon ini iaitu Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi dan Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi (Elly Mazlein) masih hidup membujang. Tidak diketahui siapa yang bakal bertakhta di hati, namun kedua-dua mereka amat selesa hidup bersendirian ketika ini bagi memberikan tumpuan terhadap karier masing-masing terlebih dahulu.

Sibuk menguruskan hal kerjaya, hakikatnya, Zed, 28, dan Elly, 27, masih mencari-cari peluang untuk menamatkan zaman solo bersama insan yang dicintai.

Di bidang lakonan, kedua-duanya cukup berjaya namun, untuk meniti tangga kejayaan tersebut, pasti ada sahaja rintangan yang dilalui sehingga membuatkan mereka matang dalam mengharungi kehidupan.

Elly contohnya, terpaksa mendiamkan diri seketika dari bidang nyanyian lantaran industri muzik tempatan yang agak menurun ketika ini.

Untuk itu, kita ikuti bicara hati Elly dan Zed mengenai kerjaya dan kisah cinta masing-masing ketika ditemui Hits semasa pelancaran drama bersiri Amanah Karmila di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi drama yang diarahkan oleh Salehuddin Sani dan bakal ditayangkan hujung tahun ini, Elly memegang watak Karmila manakala Zed sebagai Herman iaitu suami kepada Karmila.

Elly rindu dunia nyanyian
Sekitar tahun 2000, nama Elly Mazlein cukup popular dan lagu hitsnya iaitu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan sering berkumandang di corong radio.

Hari berganti hari, nama Elly sebagai penyanyi bagai pudar sehingga membuatkan dia terpaksa beralih arah ke dunia lakonan.

“Sememangnya Elly rindu hendak masuk ke studio merakamkan lagu macam dulu. Tetapi, Elly terpaksa akur dengan kehendak pasaran masa kini.

“Walaupun aktif berlakon, Elly tidak pernah melupakan bidang nyanyian. Elly masih diundang mengadakan persembahan di majlis-majlis tertentu,” jelasnya.

Ujar Elly, dia pasti akan aktif semula menyanyi dan merakamkan album andai industri muzik tempatan kembali rancak seperti dulu.

Menerusi lakonan pula, katanya, dia masih tidak dapat melupakan pengalaman pertamanya ketika berlakon dalam drama Bukan Yang Pertama pada 2005.

“Selepas daripada itu, Elly banyak menerima tawaran berlakon seperti filem Gerak Khas The Movie, Janji Diana selain drama Gerak Khas.

“Tidak tamat di situ, lakonan terbaru Elly ialah menerusi Spa Q dan Bella. Ini adalah rezeki dan syukur kerana orang sudah mula sedar akan bakat Elly,” ujarnya.

Elly pernah merakamkan empat album solo dan dua kompilasi iaitu album Sutera Kasih, Satu Persatu, Elly dan Atas Nama Cinta serta The Best of Elly Mazlein ketika masih bersama NAR Records.

Peluang bertemu dengan Elly, persoalan mengenai kisah percintaannya turut diajukan.

Ringkas dalam mengeluarkan jawapan, Elly berkata, dia lebih suka berbicara mengenai karier berbanding hal peribadi dan cinta.

“Semuanya Elly serah pada takdir. Bagi Elly, kalau segalanya sudah tetap (kahwin), tidak mengapa jika ia dihebahkan di media.

“Elly juga merasakan adalah tidak manis soal peribadi dijaja kepada umum,” jelas Elly.

Kebangkitan Zed Zaidi
Sementara itu, bagi Zed Zaidi pula, jika mahu diulas mengenai kariernya dalam lakonan yang sudah menjangkau usia sembilan tahun, pastinya dia tidak dapat melupakan segala kritikan di awal kemunculannya dahulu.

Kritikan berbunyi ‘kau berlakon macam kayu’ antara yang masih tersemat di sanubarinya tatkala dirinya membintangi drama bersiri pertamanya iaitu Sembilu.

Pedih rasa dalam hati namun Zed tidak memendam perasaan sebaliknya menjadi kritikan yang diterima daripada pelbagai pihak itu sebagai pembakar semangat dalam mengharungi karier sebagai pelakon.

“Kini, apa yang saya mahu buktikan adalah kemampuan dalam meningkatkan prestasi lakonan.

“Pernah juga saya berkata dalam hati, jika lakonan saya ‘dungu’ macam dulu juga, baik tinggalkan sahaja karier tersebut. Namun, Alhamdulillah, saya masih diterima berlakon,” katanya.

Ujar Zed, sebagai usaha meningkatkan mutu lakonan, dia banyak mendapat tunjuk ajar daripada beberapa pelakon senior antaranya Rosyam Nor serta Faizal Hussein.

“Mula-mula memang sedih apabila dikatakan kayu tetapi saya berjaya buktikan yang kritikan itu tidak benar,” jelasnya.

Drama bersiri Sembilu merupakan drama yang berjaya mengangkat nama Zed di dunia lakonan meskipun drama itu pernah dikritik.

Selepas banyak menerima tawaran berlakon di layar kaca, Zed menjelaskan, dia bakal membintangi sebuah teater yang akan dipentaskan di Istana Budaya tidak lama lagi.

Menurut Zed, selain berlakon, dia turut berjinak-jinak dalam dunia perniagaan seperti penjualan maruku dan syarikat pembinaan.

“Sampai bila saya hendak mengharapkan pendapatan dalam bidang seni sahaja.

“Justeru, saya perlu memikirkan masa depan dan berkecimpung dalam dunia perniagaan,” ujarnya.

Kata Zed, dalam perniagaan, dia juga mempunyai pengalaman pahit apabila ada rakan karibnya yang sanggup menikam dari belakang.

Cerewet pilih pasangan
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai soal cinta, Zed yang masih membujang memberitahu, dia tidak cerewet dalam memilih pasangan.

Tidak menetapkan sasaran umur untuk melangsungkan perkahwinan, Zed terpaksa lebih selektif selepas beberapa kali dikecewakan oleh wanita.

Justeru, dia mahukan wanita yang memahami kerjaya serta mampu berdikari sendiri.

“Saya tidak suka wanita yang suka mengambil kesempatan. Masa kita senang, ramai yang datang tetapi kenapa melarikan diri ketika saya ditimpa kesusahan.

“Pengalaman saya banyak berhadapan dengan wanita-wanita sebegini. Bukan saya tidak percayakan mereka tetapi saya perlu cerewet dalam mencari pasangan hidup,” katanya.

Utusan Malaysia

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: