Norish Menyusuri Bukan Dejavu

15 Jun

Oleh WANDA IDRIS Foto RASHID MAHFOF

PADA ketika namanya sedang hangat dengan kontroversi perceraian dan tuntutan harta, Datin Norish Karman kelihatannya baik-baik sahaja. Ketika hadir menjayakan fotografi bersama Pancaindera tempoh hari, dia nampak tenang dan seperti biasa, riang bercerita soal kerja dan anak- anak.

Tanpa mahu melibatkan isu peribadi atau memberikan sebarang komen mengenai cerita kurang enak itu, Norish senang membuka cerita perihal pementasan teater Bukan Dejavu yang dilakonnya bersama Juhara Ayob dan Mardiana Alwi yang turut hadir pada petang itu.

Gembira sungguh Norish berbual mengenai perkembangan kerjayanya ketika ini yang selain sibuk menghadiri latihan teater arahan Siti Rohayah Attan itu, masanya juga turut dipenuhi dengan lakonan teater.

“Alhamdulillah, jadual saya memang penuh. Latihan teater Bukan Dejavu setiap hari dari pukul 5 petang hingga 11 malam kecuali hari Ahad. Dalam sibuk berlatih, saya juga terus berlakon. Ada dua drama sedang menanti. Begitu juga penggambaran Spa Q musim kedua yang menunggu,” jelas Norish.

Pun begitu, pada ketika ini, katanya, tumpuan diberikan kepada latihan pementasan teater karya Ismail Kassan yang bakal dipentaskan 9 Julai hingga 13 Julai depan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Membawakan watak Nora, kata Norish yang kini mesra disapa NK, dia menangis sewaktu pertama kali membaca skripnya pada sesi latihannya yang telah dimulakan sejak hampir dua minggu lalu.

Masakan tidak, katanya, dia terharu membawakan watak Nora, seorang ibu yang juga bekas banduan yang bekerja sebagai GRO demi menyara pengajian anaknya, Norma Hamima ke luar negara.

“Sedih kerana pada zaman ini masih terjadi anak-anak yang memperkecilkan ibu mereka semata-mata kerana pekerjaannya. Sedangkan mereka tidak tahu mengapa itu berlaku. Lagipun pada saya perkara itu sebenarnya bukan hak kita menentukan salah atau tidak. Itu hak Tuhan,” kata Norish.

Dia yang begitu teruja dengan Nora turut memberitahu bahawa skrip yang diangkat daripada juara Pertandingan Menulis Skrip Drama Pentas 50 tahun DBP itu juga kelihatannya sederhana tetapi sebenarnya penuh dengan makna tersurat dan tersirat.

“Pementasan itu nanti pasti akan dikelilingi oleh naluri seorang ibu,” ujar Norish sambil memberitahu akan memberikan interpretasinya tersendiri kepada wataknya itu.

Nora sebelum ini pernah dibawakan antaranya di tangan Safura Ya’cob dan Juhara pada tiga pementasan Dejavu terdahulu dan Bukan Dejavu merupakan kesinambungan kisah itu.

“Saya tak kisah dibandingkan dan saya akan membawakannya dengan gaya saya, mengikut tafsiran saya,” kata Norish.

Bersungguh-sungguh bercerita tentang Nora, tegas Norish, banyak pengajaran yang boleh diperoleh melalui paparan teater ini. Antaranya kedudukan seorang wanita bernama ibu yang tinggi walau apa pun pekerjaannya, tidak kira pelacur mahupun tukang sampah, kata Norish.

“Nora seorang ibu yang peka tapi kerana kisah silamnya maka dia tidak mendapat bantuan masyarakat daripada segi moral tetapi dia tetap kuat dan kukuh dengan pendiriannya walaupun dihina masyarakat dan anaknya sendiri,” ujar Norish.

Sementara itu Juhara kali ini memikul tanggungjawab membawa watak Narti, seorang wanita yang kecoh dan kepoh yang sebelum ini pernah dibawa oleh Erma Fatima.

Justeru, kata Juhara, dia pasti merasakan debaran terhadap perbandingan khalayak kepada kemunculannya itu nanti. Apalagi dia juga bukan seorang yang bersikap seperti Narti, seorang yang lepas kata dan lepas laku.

“Tapi tentunya nanti interpretasi saya terhadap Narti akan berbeza,” tegas Juhara yang berharap dapat memberikan kalau tidak terbaik, cukup setaraf dengan pembawa watak terdahulu.

“Saya pernah menyaksikan Erma membawakan watak Narti dan mereka memang bagus,” tambahnya.

Mariana pula memberitahu, sebagai Norma yang merupakan anak kepada Nora, dia harus kolaborasi dengan Norish.

Biarpun pertama kali bergandingan, dia mengakui selesa dengan Norish kerana aktres itu sendiri bersikap terbuka dan tidak menyombong diri.

“Ini membuatkan saya senang dan tak rasa malu,” kata pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu.

Dan Norish pula memberitahu, adalah amat penting bagi dirinya dalam memberikan lakonan terbaik dengan bantuan pembawa watak-watak yang lain kerana sebuah pementasan adalah tentang satu kerjasama berpasukan.

“Kerana itu juga saya amat menghormati orang teater,” jelas Norish.

Selain Norish, Juhara dan Mardiana, Bukan Dejavu turut menampilkan lakonan Safura tetapi kali ini mengambil watak Ustazah Salmi yang sebelum ini dilakonkan Aida Radzwill.

Turut terlibat ialah Datuk Jalaluddin Hassan dan Shukor Yon yang masing-masing membawakan watak Tahir, seorang bengis dan jahat yang bekerja sebagai penjaga kelab malam dan merogol anak tirinya sendiri dan Yanto, suami Narti yang seringkali dianggap sebagai penasihat di kalangan teman-teman.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: