Karya Nazim Pikat Juri

27 May

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff



GENERASI BARU: Nazim Esa (tengah) bersama pemenang BMW Shorties 2008 dari kiri, Lesly Leon, Moe, Mahaletchumy dan Kimmy.

For The Love Of Drowning Filem Terbaik BMW Shorties 2008

WANG berjumlah RM75,000 menjadi milik pengarah bebas, Nazim Esa, apabila filem pendek arahannya, For the Love of Drowning, muncul Filem Terbaik BMW Shorties 2008.

Filem sepanjang sembilan minit 52 saat itu mengetepikan sembilan finalis lain pada pertandingan tahunan anjuran jenama kenderaan terkemuka itu.

Habuan berkenaan bagaimanapun perlu digunakan Nazim untuk menghasilkan sebuah filem baru. Jika produk terbabit mempunyai kualiti yang baik, penganjurnya akan melobi filem berkenaan untuk dicalonkan pada mana-mana festival yang sesuai.

Juara edisi pertama BMW Shorties tahun lalu, Abdullah Zahir Omar, baru-baru ini sudah pun menyiapkan serta menayangkan filem yang dihasilkan menggunakan wang dana yang dimenangi berjudul Teddy & I.

Filem berkenaan dikatakan sudah pun diterima untuk menyertai Festival Filem Antarabangsa Rotterdam ke-38 di Belanda dan Festival Filem Pendek Antarabangsa Oberhausen 2008 di Jerman.

Kali ini, Zahir turut menduduki kerusi juri bersama-sama pembikin filem Filipina yang pernah memenangi anugerah, Raymond Red; pengarah muda negara yang melakar nama di Pusan menerusi filem Love Conquers All, Tan Chui Mui; dan aktres terbaik, Ida Nerina.

Daripada 62 penyertaan awal yang diterima, juri memilih 10 filem pendek untuk dinilai pada peringkat terakhir. Selain Drowning, filem lain yang berjaya ke akhir ialah Sing in the Rain (pemenang Honourable Mention), Chicken Rice Mystery (pemenang Honourable Mention), Cold Water, F.L.O.W., Dissolve, Goat (pemenang Anugerah Pilihan Penonton), Going Home, Broken Bangles dan 7 Square Feet.

BMW Shorties yang menjadi platform kepada bakat baru yang mempunyai minat mendalam dalam dunia perfileman itu sentiasa mempunyai tema dalam penganjurannya. Tahun ini, mereka menetapkan H20 atau air sebagai tema yang harus digunakan dalam setiap penyertaan.

Jika pemenang utama menerima hadiah berbentuk dana pembiayaan pembikinan filem, dua pemenang Honourable Mention pula akan dihantar mengikuti Festival Filem Rome, di Itali, Oktober nanti.

Pada pertandingan yang lebih berupa program insentif buat pembikin filem muda itu, pelakon Kimmie Kiew daripada filem Chicken Rice Mystery diumumkan Pelakon Terbaik. Ia kategori baru yang diperkenalkan pada penganjurannya kali ini.

Menurut Nazim, Drowning yang dirakam dalam masa tiga hari di sekitar Taman Tun Dr Ismail, Bandar Utama dan Kuala Kubu Baru serta menelan belanja kira-kira RM8,000 itu berkisar pada sebuah perhubungan yang berubah di antara masa lalu dan masa kini, mimpi dan kenyataan, serta kesulitan komunikasi antara dua insan.

“Saya cuma ingin menyampaikan mesej supaya kita lebih berhati-hati sebelum memulakan sebarang perhubungan. Paparan yang dimuatkan dalam filem pendek ini adalah lebih berbentuk metafora, di mana setiap kita mesti berasa yakin sebelum terjun ke dunia cinta, sebelum langkah kita tiba ke tempat yang tidak dijangka,” katanya ketika ditemui sejurus diumumkan pemenang utama.

Begitupun, jejaka yang mendapat pendidikan dalam bidang filem, animasi dan seni halus di Institut Seni Surrey, United Kingdom (UK) ini belum pasti mengenai bentuk filem yang harus dihasilkannya, menggunakan dana dimenangi. Dia harus terlebih dulu duduk berbincang dengan beberapa pihak terbabit bagi mendapatkan idea terbaik sebelum turun ke lokasi.

Dia yang berhasrat menyertai dunia perfileman secara serius pada masa depan menganggap, Drowning filem sulungnya yang benar-benar boleh dilihat sebagai sebuah filem.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang saya buat apabila menonton hasil projek saya yang lain,” katanya yang pernah bekerja di UK, di samping terbabit dalam menjayakan beberapa projek di Austria, Turki dan Singapura.

Sementara itu, pengarah filem Goat yang muncul pemenang Anugerah Pilihan Penonton, Mohammad (Moe) Izwan Kamal berhutang budi pada rakan yang sudi mempromosikan filem berkenaan sehingga ia muncul judul pilihan penonton yang melayari laman web penganjur.

“Filem saya ialah judul paling pendek dalam pertandingan ini dan ia mudah untuk dimuat turun. Mungkin faktor itu turut membuatkan penonton senang dengan Goat, di samping pertolongan rakan mempromosikannya. Saya pula mempunyai ramai kawan,” kata Moe sambil ketawa kecil.

Kata Pengurus Hal Ehwal Media dan Korporat BMW Malaysia Sdn Bhd, Vijayaratnam Tharumartnam, pihaknya tidak bimbang dengan pengurangan jumlah penyertaan apabila sebanyak 62 filem diterima pada tahun ini, berbanding 74 pada tahun lalu.

Katanya, jumlah itu masih relevan dengan usaha mereka menggalakkan pembikin filem muda mengasah bakat dan minat mereka dalam dunia perfileman.

“Jika jumlah penyertaan yang diterima hanyalah kira-kira 30 judul saja, tentu sekali kami perlu berasa risau,” katanya yang belum menentukan tema untuk penganjuran tahun depan.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: