Teks oleh Haswari Ali
KUALA LUMPUR, 25 MEI 2008: Bermacam pertanyaan diajukan pihak media kepada semua finalis Akademi Fantasia 6 (AF6) pada sidang media larut malam yang diadakan di Bilik VIP, Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.
Kelima-lima finalis itu kelihatan ceria, tersenyum dan ada masanya terpaku mendengar sesi soal jawab itu walaupun hakikatnya tubuh mereka sudah lesu sesudah bertarung selama 3 jam di pentas. Antara yang banyak disoal adalah Stacy dan Nadia.
Apa yang pasti kesemua graduan AF6 itu akan mengenang saat manis beraksi di stadium itu buat selama-lamanya.
Stacy – Juara
Media: Sejauh manakah pengalaman Stacy ketika menyertai program GangStarz banyak membantu anda sehingga berjaya dalam AF6?
Stacy: Pengalaman di sana banyak membantu saya untuk bekerjasama dalam sebuah kumpulan. Juga cara berhadapan dengan penonton dan kawal gementar.
Media: Adakah Stacy sudah menjangkakan akan menjadi juara?
Stacy: Saya tak pernah bermimpi untuk bergelar juara. Kerana bagi saya, pesanan cikgu-cikgu dalam AF selalu menjadikan saya seorang yang tidak cepat berpuas hati. Saya selalu ingat ada orang yang lebih hebat dari kita di luar sana.
Media: Selepas Mila bergelar juara wanita AF, sekarang giliran Stacy pula. Adakah Stacy merasakan Stacy saingan Mila?
Stacy: Dari segi nyanyian ia merupakan satu saingan yang besar. Tapi itu kan saingan secara sihat dan positif…
Media: Kehebatan seperti mana yang Stacy mahukan?
Stacy: Saya mahu jadi penyanyi yang versatile. Saya bukan saja suka menyanyi tapi juga minat menari. Itulah kepuasan saya apabila di pentas.
Riz – Naib Juara
Media: Tidakkah Riz merasa kesal meninggalkan kumpulan EqualStars dulu?
Riz: Sebenarnya kumpulan itu sudahpun dibubarkan. Kalau Riz mahu kekal bersama mereka, takkanlah Riz datang ujibakat menyertai AF6.
Media: Adakah dengan menduduki tempat kedua Riz kecewa dan merasakan kalah di tangan Stacy?
Riz: Riz tak rasa begitu. Ini semua adalah rezeki yang Tuhan berikan. Malah Riz tetap bersyukur dapat tempat kedua. Mulai sekarang Riz akan terus berusaha untuk memajukan diri dalam bidang seni.
Nubhan – Pemenang Ketiga
Media: Adakah Nubhan merasakan yang Nubhan layak menyandang tempat ke-3?
Nubhan: Saya sudah cuba melakukan yang terbaik dan memberikan sepenuh tenaga dalam diri saya. Lagipun semua keputusan di adalah di tangan pengundi AF.
Toi – Pemenang Keempat
Media: Sebagai peserta yang dah berumah tangga, bagaimana Toi rasa?
Toi: Ada masanya saya rasa berat untuk meneruskan perjuangan dalam AF tapi memikirkan ini peluang keemasan, saya tidak mahu mensia-siakannya.
Media: Adakah anda rasa anda layak dinobatkan tempat keempat?
Toi: Saya tahu saingan semuanya hebat-hebat belaka, jadi masuk final pun dah kira OK.
Nadia – Pemenang Kelima
Media: Adakah Nadia berpuas hati dengan keputusan ini kerana dilihat setiap minggu Nadia berhempas pulas?
Nadia: Nadia tak meletakkan sebarang harapan. Nadia redha kerana Nadia sudah buat yang terbaik. Sudah masuk ke final pun Nadia bersyukur kerana Nadia tahu susah payah untuk capai tahap ini.
Media: Pernahkah Nadia merasakan kurangnya orang mengundi Nadia kerana faktor kenegerian?
Nadia: Tidak, semua itu adalah soal rezeki. Tak semestinya penonton Kuala Lumpur tidak boleh mengundi Stacy dari Sabah dan begitulah sebaliknya. Ini semua sudah ditentukan Tuhan.
Media: Adakah Nadia merasakan 2 lagu rancak yang diberikan kepada Nadia menjadi faktor kekalahan Nadia?
Nadia: Nadia menerima tugasan yang diberikan dengan sepenuh hati dan Nadia dah cuba yang terbaik. Nadia tak rasa 2 lagu rancak itu membuatkan Nadia menduduki tempat ke-5.
Media: Isu gedik dan kemesraan dengan Riz mungkin membuatkan orang meluat untuk mengundi Nadia?
Nadia: Semua itu berlaku semasa Nadia dalam akademi. Nadia tak pernah terfikir nak hipokrit dan Nadia sendiri tak pernah tengok Diari AF atau apa-apa program yang ditayangkan. Nadia akui ada kalanya Nadia playful (main-main) sewaktu berada dalam AF tetapi Nadia tetap serius memikul tanggung jawab yang diberikan.
Murai
Leave a Reply