Aksi Erotik Jejas Irama Dangdut

22 May

Oleh Zul Husni Abdul Hamid



WARISI BAKAT: Rhoma bangga kerana perjuangan seninya diteruskan anaknya, Muhammad Ridho yang turut memperjuangkan Irama dangdut.

Rhoma kecewa penyanyi baru rosakkan genre lagu popular

RAJA Dangdut, Rhoma Irama gusar dengan kemerosotan genre dangdut berikutan tindakan beberapa penyanyi baru yang mempamerkan aksi erotik ketika persembahan sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat.

Meskipun enggan menyebut nama artis tertentu, kehadiran penyanyi dangdut generasi baru seperti Dewi Persik yang terkenal dengan goyang gergaji yang erotik serta pengedaran kondom bersama album perdana Julia Perez merosakkan imej dan citra irama itu.

Ketegasan Pemerintah Daerah Sumatera Utara, baru-baru ini yang ‘mengharamkan’ kumpulan Trio Macan, Uut Permatasari, Anisa Bahar dan Inul Daratista daripada membuat persembahan dengan menyifatkan goyangan penyanyi berkenaan mengundang berahi lelaki dan boleh merosakkan akhlak.

Akui Rhoma, 61, dia hampa kerana moral irama yang diperjuangkannya sejak hampir 40 tahun lalu itu dirosakkan penyanyi angkatan baru yang ternyata mementingkan populariti berbanding citra muzik itu sendiri.

“Mereka hanya memikirkan populariti pantas dengan membikin aksi erotik untuk mencipta sensasi kerana ingin cepat popular.

“Apa yang mereka lakukan itu tidak lebih daripada menutup kelemahan kerana tidak mempunyai mutu vokal yang mampu bersaing. Semua itu hanya untuk menutup kelemahan,” katanya ketika ditemui pada malam persembahan amal sempena pelancaran album Cintamu Cintaku anjuran Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBank) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Irama dangdut katanya, sudah sebati dengan goyang namun tidak seharusnya dicemari dengan aksi erotik hingga membangkitkan keresahan kepada mereka yang menonton.

Rhoma berkata, sejak 1970 hingga 2005, dia bersama pejuang irama dangdut sejati seperti Elvy Sukaeseh dan Camelia Malek tidak pernah diserang kontroversi.

“Bagaimanapun, sejak Inul Daratista hadir, persepsi terhadap dangdut berubah sekelip mata. Banyak protes dan demonstrasi diadakan kerana membantah aksi keterlaluan hingga akhirnya muncul akta pornografi menyebabkan dangdut mengalami kemerosotan,” katanya kesal.

Era globalisasi kata penyanyi yang pernah melahirkan lebih 500 album itu, turut memberi impak negatif kepada pencinta hiburan.

Namun kata Rhoma yang pernah menghasilkan lebih 1,000 komposisi, masyarakat harus bijak memilih dan hanya mengambil apa yang bersesuaian dengan budaya masyarakat Timur.

“Pelacuran juga satu bentuk hiburan tetapi apakah kita mahu perjuangan yang sekian lama bersih merosakkan moral generasi muda hari ini?” tanya Rhoma yang berjanji akan terus aktif membanteras ‘perosak’ irama itu.

Biarpun diasak kontroversi, sementara moral irama dangdut juga dipertikai khalayak namun Rhoma berbangga kerana hasil perjuangan panjangnya akhirnya tertubuh Persatuan Artis Melayu Dangdut Indonesia.

Dengan keanggotaan melebihi 2.3 juta ahli di hampir seluruh wilayah di republik itu, Rhoma yang memangku jawatan sebagai Presiden berjuang dengan menegakkan prinsip Bermuzik, Menghibur dan Akhlak Al Karimah (Mulia).

“Misi utama kami adalah membawa dangdut ke peringkat global. Alhamdulillah kerana persatuan ini sudah mempunyai cawangannya di Amerika Syarikat.

“Oktober ini, saya bersama Sonata Group akan menjayakan persembahan pentas di sana apabila menerima undangan daripada Rektor, Universiti Pittsburgh,” katanya.

Pembabitan Rhoma juga mendapat perhatian Pengarah Universiti Ohio, William Frederick yang pernah menulis sejarah mengenai perjuangannya.

“William dalam kajiannya menyifatkan Rhoma Irama sebagai pencetus evolusi muzik kedua selepas The Beatles. Apa yang membuat saya terharu dia mencatat nama saya sebagai pelopor muzik dangdut,” katanya.

Pada usia sekarang, Rhoma berkata, tumpuannya kini lebih terarah kepada aktiviti keagamaan dan bersyukur kerana perjuangannya kini diteruskan anaknya, Muhammad Ridho, 19 tahun.

Anaknya yang kini menuntut di Universiti I-Tech dalam proses merakamkan album sulung yang turut mengangkat irama dangdut, namun diberi nuansa baru yang segar dan berbeza.

Ridho yang meminati lagu Hindi berkata, dia tidak berasa rendah diri untuk membawakan lagu dangdut kerana irama itu adalah identiti muzik masyarakat Indonesia.

“Mengapa harus saya berasa malu apatah lagi bapa saya dikenali sebagai Raja Dangdut. Saya bangga melakukannya kerana nyanyian memberi kepuasan jiwa yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

INFO: Kontroversi yang pernah menimpa Rhoma Irama

  • BERMULA 2003, Rhoma menjadi sorotan media apabila mengkritik Inul Daratista, penyanyi dangdut yang sedang meningkat popular kesan gaya tariannya yang erotik. Rhoma menerusi organisasi Persatuan Artis Muzik Melayu Indonesia menentang pengedaran album Goyang Inul yang diterbitkan Blackboard pada akhir Mei 2003. Keberaniannya menyebabkan Rhoma dikecam sebagai munafik oleh pendukung Inul.
  • PADA 2003 juga, Rhoma ditangkap basah apabila berduaan dengan Angel Lelga di kediaman wanita itu sekitar jam 11 malam hingga 4 pagi. Rhoma, bagaimanapun menyanggah tuduhan itu dengan memberikan alasan dia berada di situ untuk menasihati Angel daripada terjebak dalam jurang noda. Bagaimanapun, Rhoma akhirnya mengakui dia sebenarnya sudah menikahi wanita itu.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: