Sayap Wings Kekal Utuh

20 May

Oleh HARYATI KARIM


AWIE dan Joe membuktikan Wings masih berada pada mercu tanda kemegahan.

SAYAP yang masih bertenaga dan taring yang masih tajam. Itulah kumpulan Wings yang nyata masih punyai impak yang kuat dalam menarik minat penonton menyaksikan persembahan mereka di Planet Hollywood Ahad lalu.

Buktinya, kesesakan berlaku di hadapan pintu masuk kelab terkemuka tersebut.

Khabarnya ramai juga peminat tidak dapat membolosi pintu masuk kerana kehabisan tiket.

Bersesak, terhimpit seperti kekurangan oksigen, semua itu bukannya halangan untuk melihat dengan mata sendiri aksi empat anggota Wings, Awie, Eddie, Black dan Joe beraksi buat kali yang mutakhir ini.

ITO (kiri) tidak ketinggalan menyuntik rasa muzik untuk Wings.

Sungguhpun sudah beberapa kali menggegarkan pentas kelab terkemuka itu, namun persembahan mereka kali ini membawa erti yang besar buat peminat dan diri mereka sendiri.

Ini kerana persembahan ini adalah bersempena ulang tahun ke-21 penubuhan Wings.

Demi untuk menampilkan kelainan, Wings turut menampilkan beberapa orang pemuzik dan rockers yang pernah bergelar anggota Wings.

Di sekeliling pentas persembahan, berkerumun ratusan kepala manusia yang sabar menanti kemunculan kumpulan lagenda ini.

Sebaik jarum jam menunjukkan angka 10.30 malam, satu persatu anggota Wings naik ke pentas dan itu sudah cukup untuk membuatkan penonton menjerit penuh teruja.

Vokalis Wings, Awie membuka tirai tanpa banyak bicara, terus dilangsungkan lagu Inspirasi Taming Sari dan lagu kedua, Hukum Karma yang sungguh bertenaga walaupun terganggu dek masalah teknikal buat seketika.

Kemudian, suasana dikejutkan pula apabila Awie menjemput Kit daripada kumpulan Search untuk sama-sama menghiburkan peminat malam itu dan sempat juga Kit berada di atas pentas menerusi 10 buah lagu.

Selepas itu, untuk lagu keempat dan kelima, Blues Ular Sawa dan Biru Mata Hitamku, giliran bekas vokalis Wings, Mus May untuk berkolaborasi bersama Awie.

Sememangnya kedua-dua vokalis ini punyai mutu vokal yang unik dan pernah membawa Wings ke satu aras yang membuatkan mereka mampu bertahan sehingga kini walaupun silih berganti ahli.

MUS antara faktor Wings mampu terus bernyawa sehingga hari ini.

Setelah itu, Awie sempat berbicara tentang sejarah kumpulan Wings yang diselang-seli dengan gurau dan canda yang pasti membuatkan penonton tersenyum.

Tanpa berlengah, Black selaku pemain dram turun dari pentas, sebelum digantikan pula dengan Jojet yang juga anggota kumpulan Gersang dan pernah menabur bakti untuk Wings lewat era 1980-an.

Seterusnya, didendangkan lagu-lagu seperti Jerangkung Dalam Almari, Bazooka Penaka, Lu Bukan Brader, Rnr Lu Punya Suka dan Lipas Kudung.

Tatkala penonton mula mengimbas kenangan lalu, Ito daripada kumpulan Blues Gang berrgandingan dengan Awie untuk lagu Bernafas Dalam Lumpur yang punyai nilai klasik tersendiri.

Bait demi bait lirik dialunkan bersama-sama penonton yang adakalanya menenggelamkan suara dua vokalis ini.

Mereka kemudian disatukan pula dengan kehadiran Hattan untuk mengalunkan lagu Midnight Blues.

Rahsia keutuhan

Sekali lagi, penonton dikejutkan apabila seorang lagi bekas vokalis Wings iaitu Mel dijemput naik ke pentas, lantas mengalunkan dua buah lagu, Lena Diulit Intan dan Semalam Yang Hangat yang pernah menaikkan nama Wings suatu ketika dulu.

Seterusnya kesemua mereka Sham, Mel, Mus dan Awie mengakhiri persembahan malam itu dengan lagu Peronda Jaket Biru yang sememangnya meninggalkan momen indah buat peminat yang hadir.

HATTAN menyalurkan energinya bagi memeriahkan lagi kemunculan terbaru Wings ini.

Mel yang bukan lagi bergelar seorang rockers menegaskan, kerelaannya beraksi pada malam itu hanyalah mengenangkan persahabatan yang pernah terjalin antara mereka dan menyifatkan Wings antara kumpulan rock lagenda Malaysia.

“Bagi saya, usia 21 tahun menunjukkan kematangan. Malah sehingga kini Wings masih diminati, dan kejayaan mereka diiringi dengan restu peminat serta berada di landasan yang tepat.

“Resepinya mereka tidak pernah menghampakan peminat, sentiasa berdisiplin dan fokus pada apa yang mereka inginkan. Saya juga berbangga dengan kejayaan mereka,” tutur Mel.

Manakala Awie yang sebetulnya demam pada malam persembahan itu, melahirkan perasaan puasnya menghiburkan peminat malam itu.

“Sepatutnya dua jam sahaja persembahan kami, tetapi sokongan peminat yang buatkan semangat kami jadi terlebih dan menyebabkan kami terlebih masa. Apapun terima kasih buat peminat yang hadir,” katanya.

Sukar raih tajaan

Biarpun beraksi di lokasi yang kecil, bagi mereka itu sudah memadai kerana jika mahu mengadakan konsert secara besar-besaran, tiada pula pihak yang mahu menaja.

“Mungkin dengan platform yang diberikan Planet Hollywood, kita akan dapat menarik minat penaja, apapun saya bersyukur apa yang dimiliki Wings hari ini,” jelas Awie lagi.


SOKONGAN yang tidak berbelah-bahagi daripada peminat fanatik Wings.

Mengulas tentang usia 21 tahun Wings ini, Awie mengatakan masih sukar bagi kumpulan tempatan mendapat tajaan untuk mengadakan konsert secara besar-besaran sungguh pun memiliki nama besar seperti Wings.

“Mereka hanya mendiskriminasikan artis tempatan, kalau ada pun mereka tawarkan harga yang sangat rendah dan menganggap artis tempatan ini sebagai artis murahan,” tegas Awie.

Pastinya sepanjang keutuhan kumpulan Wings, ada saja dugaan yang datang untuk cuba meranapkan perjalanan mereka dan ditanya apakah petua yang membuatkan mereka bertahan sehingga kini, ringkas Awie menjawab: “Muzik adalah jiwa.”

Bersama selama 21 tahun hadiah paling bernilai buat mereka ialah hubungan yang terjalin umpama sebuah hubungan adik beradik.

“Kami bersama di pentas, juga di luar pentas, kadangkala kami juga buat aktiviti keluarga bersama seperti bermain futsal ataupun bercuti bersama,” tutur Awie.

Menjelang 25 Mei ini, persembahan kali kedua mereka pula akan diadakan di tempat yang sama tetapi menurut Awie, mereka pasti akan tampilkan kelainan. Baik daripada barisan lagu, pemuzik dan juga penyanyi jemputan.

“Tempat kecil, sebab itu kami buat dua kali, jadi buat mereka yang tidak dapat masuk pada malam ini, bolehlah datang 25 Mei ini, kerana persembahan Wings sedikit berbeza dan berkemungkinan besar, Ramli Sarip akan turut serta bersama,” ujar Awie mengakhiri bicara.

Powered by Kosmo

Advertisements

One Response to “Sayap Wings Kekal Utuh”

  1. jaimulhisam jamuan May 23, 2008 at 11:45 AM #

    KEEP ROCKIN WINGSSSS ILL SUPORT U FOREVER…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: