Belasungkawa Sophan Sophian: Perginya Hero Pengantin Remaja

19 May

Oleh Zaidi Mohamad

Berlakon kali terakhir dengan isteri, Widyawati dalam filem Love

BARU saja ingatan kita mula mekar terhadap pelakon hebat dan berkaliber dari negara seberang, Sophan Sophian membintangi filem arahan pengarah tersohor, Khabir Bhatia menerusi filem Love (Cinta versi Indonesia) yang mula ditayangkan di Malaysia April lalu.

Namun, kelmarin industri perfileman negara serumpun, Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan khabar duka dengan pemergian beliau ke Rahmatullah, menyahut panggilan Ilahi dalam usianya 64 tahun. Allahyarham yang mesra membahasakan dirinya Pak Sophan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana kecelakaan jalan raya pada jam 10 pagi tanggal 17 Mei lalu.

Difahamkan Pak Sophan sebelum ajalnya sedang menyertai konvoi bersama motosikal besar bagi menyambut ulang tahun ke-100 tahun Kebangkitan Nasional. Malang menimpa, apabila motosikal Harley Davidson yang ditungganginya tercampak ke dalam lubang hingga mengakibatkan kakinya patah. Pak Sophan meninggal dunia dalam perjalanan menuju ke hospital berhampiran.

Penggiat seni kedua-dua buah negara telah kehilangan permata bernilai yang cukup dikagumi bakat, kehebatan personaliti dan kewibawaan Pak Sophan di pentas realiti dan juga di bidang lakonan. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan salam takziah dikirimkan buat ahli keluarga serta sanak-saudara Pak Sophan.

Turut merasai kehilangan Pak Sophan dan ternyata amat terkejut dengan berita itu ialah Khabir Bhatia yang dihubungi Hip kelmarin. Pak Sophan, katanya, mempunyai pakej lengkap sebagai seorang aktor hebat dan sangat sinonim dengan minatnya menunggang motosikal berkuasa besar.

“Beliau seorang pelakon yang bagus dan sentiasa muda di hati biarpun sudah berusia. Sepanjang bekerjasama dengan beliau, saya perhatikan dia sentiasa ke lokasi dengan motosikal Harley Davidson kesayangannya. Dia memang suka mengembara dan berkonvoi menggunakan motosikalnya itu. Beliau sangat gentleman, berprinsip dan suka bekerjasama.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan salam takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarga terdekatnya. Semoga tabah menghadapi kehidupan mendatang,” ungkap Khabir yang hanya mengetahui berita kematian Pak Sophan setelah dimaklumkan Hip.

Mengimbas kembali trek seninya, filem Love ialah filem terakhir lakonannya setelah 14 tahun tidak beraksi di pentas lakonan. Filem itu menjadi detik ‘come back’ paling indah buat Pak Sophan dan isteri tercinta, Widyawati.

Kerinduan peminatnya hanya terubat seketika namun cukup bermakna setelah Pak Sophan menyatakan kesudiannya memeran watak sebagai Nugroho dalam filem itu. Kali terakhir, pasangan itu bergandingan bersama menerusi filem berjudul Sesal yang diarahkan Pak Sophan sendiri sekitar 1994.

Menyelak kehidupan bahagia alam rumah tangganya bersama Widyawati, semuanya berputik kerana rasa cinta sewaktu bertemu ketika sama-sama berlakon di dalam filem Pengantin Remaja pada tahun 1970. Setelah dua tahun perkenalan, pasangan itu memilih untuk menamatkan zaman bujang masing-masing pada 9 Julai 1972 dan dikurniakan dua cahaya mata dan mempunyai seorang cucu.

Di sisi lain, Pak Sophan juga pernah bergelumang dalam arena politik dan aktif menyertai Parti Demokrasi Indonesia. Bagaimanapun, Pak Sophan membuat keputusan mengundur diri dalam arena itu pada tahun 2002.

Kata Pak Sophan sewaktu hayatnya ketika Hip menemuinya ketika majlis tayangan gala Love di GSC Gardens berlangsung April lalu, politik kotor kerana orang politik terpaksa membenarkan apa yang salah dan menyalahkan apa yang benar.

Pada waktu senggang, di usianya yang sudah larut, Pak Sophan lebih senang menghabiskan masa duduk di rumah sambil menikmati hidup.

Pak Sophan dan Widyawati yang sudah berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia lakonan sudah mula mengurangkan kegiatan lakonan mereka. Dalam usia begini mereka lebih senang menghabiskan waktu lapang di rumah.

Selain itu, faktor usia juga menyebabkan mereka tidak lagi mampu berlakon seligat dulu. Pak Sophan dan isterinya, 58 tahun, pernah berkata dalam usia sekarang mereka tidak larat untuk berlakon sehingga lewat pagi.

Selain itu, hobi menunggang motosikal berkuasa besar juga cukup sinonim dengan dirinya. Pasangan itu menyertai bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menyertai Konvoi Malaysia

Gemilang 50 Tahun Merdeka 2007.

Sesekali di ruang lingkup waktu yang ada, mereka gemar menonton televisyen, berkaraoke dan keluar membeli-belah.

Pak Sophan pernah membintangi filem antaranya Lisa (1971), Pengantin Remaja (1971), Lorong

Hitam (1971), Matahari Hampir Terbenam (1971), Perkawinan (1972), Tjintaku Djauh Dipulau (1972) dan banyak lagi.

Acha kagumi pekerti Pak Sophan

HIP juga berkesempatan menghubungi pelakon jelita dari Indonesia, Acha Septriasa, 18, yang turut berlakon di dalam filem Love.

Acha kini melanjutkan pengajiannya di Cyberjaya dalam bidang Multimedia Komunikasi dan Penyiaran. Sewaktu dihubungi, Acha sedang menanti penerbangannya ke Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana cuti semester.

Acha yang masih terkejut dengan berita sedih itu berkata kehilangan Pak Sophan satu kehilangan berharga. Banyak pekerti mulia Pak Sophan yang dikagumi gadis bertubuh ramping itu. Jelas Acha dia akan mengambil peluang cuti pengajiannya untuk menziarahi kubur dan ahli keluarga Pak Sophan.

“Saya sangat merasai kehilangannya dan kenangan sewaktu menjalani penggambaran filem Love bersamanya, pelakon lain dan krew pasti menjadi momen yang pasti dikenang selalu. Cakap saja mengenai perihal pekertinya, semuanya pasti baik-baik saja.

“Dia selalu menepati masa datang ke lokasi dan dia salah seorang aktor senior yang sangat mementingkan profesionalisme. Saya banyak belajar dan mendapat nasihatnya berkenaan cara berdepan dengan media dan pandangannya berkaitan dunia perfileman.

“Dia lucu, bijaksana, merendah diri dan tidak lokek ilmu lakonan. Setiap hari sepanjang lokasi filem Love berlangsung, dia pasti datang dengan motosikal Harley Davidson manakala isterinya, Widyawati datang menaiki kereta,” kata Acha yang akan bersama kekasihnya, Irwansyah menziarahi ke daerah Limbaro tempat di mana Allahyarham Pak Sophan disemadikan.

Powered by Berita Harian

One Response to “Belasungkawa Sophan Sophian: Perginya Hero Pengantin Remaja”

  1. yuli October 28, 2010 at 12:06 PM #

    turut berduka ,salam buat tante widya ,coba yuli deket pasti yuli berziarh ke makam om sophan dan ingin bangt ketemu langsng sama tante widya .boleh minta alam rumh ands no tlp biar bs ngobrl wlw g ketem.makash

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: