Semua Sedap

18 May

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

“PENING kepala memilih lauk yang disediakan di sini. Semuanya sedap dan menyelerakan. Ikutkan selera, semuanya saya nak makan.

“Lagipun, saya gemar masakan kampung, terutama ayam padang, ikan asam pedas, siput sedut masak lemak dan daging salai lemak cili api. Semua lauk ini kegemaran saya.”

Itu reaksi Zahid AF2 ketika menikmati juadah masakan kampung di Restoran Puteri di Sungai Penchala, Tun Dr Ismail Kuala Lumpur, bersama penulis, baru-baru ini.

Juara Akademi Fantasia musim kedua itu kelihatan berselera menjamah lauk kegemarannya sambil mesra bersembang dengan pemilik restoran yang juga pelakon popular sekitar 1980-an, Rubiah Suparman.

“Ini bukan kali pertama saya datang ke sini (Restoran Puteri). Seingat saya, tahun ini saja lebih tiga kali.

“Hidangan di sini ‘istimewa’, lagi pula sajian ala kampung menepati selera saya,” katanya yang bakal melancarkan album terbaru, Baru, pada pertengahan tahun ini.

Menurut Zahid, selain pelbagai hidangan menarik disediakan, keistimewaan restoran berkenaan ialah ruangnya yang luas dengan dekorasi menarik juga menjadi tarikan pengunjung.

“Saya seronok apabila makan di sini. Persekitaran menarik dan selesa. Restoran ini sesuai untuk kunjungan keluarga dan rakan,” katanya.

Sementara itu, Rubiah berkata, restoran miliknya menyediakan hidangan secara bufet untuk makan tengah hari dengan lebih 30 menu masakan kampung.

Katanya, setakat ini masakan yang menjadi pilihan pelanggan ialah sajian siput sedut masak lemak, ikan asam pedas dan daging salai lemak cili api.

“Banyak lagi makanan istimewa boleh dijadikan pilihan seperti ikan masak singgang, ikan goreng berlada, daging dendeng, sotong masak hitam, kerabu pucuk paku dan ketam goreng cili.

“Sebagai pilihan lain, ada juga disediakan rojak, gado-gado, soto dan hidangan desert (pencuci mulut) istimewa seperti lompat tikam, pengat pisang, bubur cha-cha dan sagu gula Melaka,” katanya yang mengusahakan restoran itu bersama rakan baiknya, produser dan penulis lirik, Habsah Hassan.

Katanya, restoran itu juga menyediakan pakej minum petang. Hidangan disediakan seperti sajian kuih muih, roti jala dengan kari ayam, laksa Johor dan soto ayam.

Bagaimanapun, menurutnya, keadaan berbeza pada waktu malam apabila menyediakan masakan ala carte seperti nasi goreng pattaya, nasi goreng paprik, ayam masak kicap, daging masak merah, ikan kukus dan ikan masak masam manis.

“Setiap malam Sabtu, kami mengadakan barbeku untuk pelanggan. Tarikan ini untuk ‘mengundang’ lebih ramai pengunjung ke sini pada sebelah malam,” katanya.

Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM28 seorang untuk hidangan bufet makan tengah hari, RM18 hingga RM30 seorang untuk minum petang, manakala makan malam secara ala carte pula bergantung dengan harga hidangan yang dipesan.

Antara lain, restoran ini menyediakan pakej untuk tempahan perkahwinan, sambutan hari jadi atau untuk majlis kenduri dan majlis tertentu.

Daripada segi dekorasi, hiasan dalaman diolah ringkas dan menarik. Restoran itu yang dibuka pada Mac tahun lalu adalah cawangan ketiga restoran Puteri sejak beroperasi sekitar 1980-an. Restoran itu juga mampu menampung sehingga 100 pelanggan.

WAKTU OPERASI: Bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari.

ALAMAT: 514, Restoran Puteri (Sg Penchala), Lot 3074, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Powered by Harian Metro

Leave a comment