Noraniza Jawab Tohmahan Cerai

18 May

Oleh WANDA IDRIS

SUDAH bercerai dan mereka dikatakan hanya mampu melayari kebahagiaan kehidupan suami isteri tidak sampai sebulan menjadi sebahagian intipati kepada sebuah khabar yang diterima ke meja Pancaindera baru-baru ini.

Dikhabarkan lagi bahawa penceraian itu berlaku apabila perkahwinan itu mendapat tentangan daripada pihak-pihak tertentu.

Tidak mahu sekadar mendengar cerita yang diuar-uarkan, Pancaindera cuba menghubungi empunya diri untuk bertanyakan kesahihan khabar yang diterima.

Tenang sahaja Noraniza Idris menjawab setiap persoalan yang dilontarkan malah dalam lembut dia memberitahu tidak sekalipun terasa hati dengan setiap gosip yang dilemparkan kepada kehidupan peribadinya.

Dan Noraniza yang amat akrab dipanggil Kak Ani bertegas, jika benar gosip yang didakwa mengenai perpisahan dengan suaminya itu maka dia meminta bukti untuk dikemukakan.

“Jangan pandai-pandai buat cerita. Kalau ada bukti, bolehlah saya tampil ke depan dan buat kenyataan. Jika tidak, saya hanya anggap perkara ini sekadar satu khabar angin yang tidak akan saya pedulikan atau memberi apa-apa kesan kepada saya,” katanya.

Menurut Noraniza, bukan dia tidak pernah mendengar kisah-kisah kurang enak yang dilemparkan kepadanya setelah menjadi isteri kepada seorang usahawan yang berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.

Namun dia tidak pernah cepat melatah, jauh sekali untuk melayan khabar-khabar yang tidak memberi sebarang erti dalam kehidupannya itu.

“Cerita-cerita itu tidak betul. Tapi kalau orang nak terus bercakap, saya tak kisah. Yang penting, kalau mereka ada bukti, tunjukkan. Saya mahukan bukti yang sahih. Cakap-cakap mulut saya tak main.

“Dan saya pun teringin juga nak tengok siapa yang sampaikan cerita-cerita begini. Datang daripada siapa cerita itu. Nak tengok juga betulkah nama suami saya,” tambah Noraniza.

Pun begitu, penyanyi yang terkenal melagukan irama Malaysia ini tetap bertegas akan terus menyembunyikan identiti suami yang dinikahinya secara rahsia pada Februari lalu itu.

Dia tekad dengan keputusannya itu biarpun ada beranggapan tindakan tersebut hanya menyebabkan orang lebih mudah ‘membuat cerita’.

“Saya akan terus sorok sampai bila-bila. Sebab saya menghormati orang lain. Sedangkan orang tak kenal masih boleh mereka-reka cerita, inikan apabila mereka kenal.

“Bagi sesetengah orang, ia mungkin satu perkara penting. Tapi sesetengah pihak pula boleh menjadikannya satu isu yang boleh memecahbelahkan.

“Jadi lebih baik untuk terus menyembunyikannya dan orang boleh buat apa sahaja spekulasi mengenainya. Sebab yang tahu tentang diri dan peribadi saya adalah diri saya sendiri,” katanya.

Noraniza, 40 dan suaminya yang berusia awal 50-an itu berkahwin pada satu majlis tertutup di sebuah tempat yang dirahsiakan selepas lebih tiga bulan mengenali antara satu sama lain.

Dia sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Fareez pada 31 Mac 1988 dan bercerai pada Mei 2006 dan mereka dikurniakan dua orang anak iaitu, Mohd. Alif Haikal, 19, dan Mohd. Alfeq Haikal, 15.

Menganggap gosip sebagai sesuatu yang remeh temeh, kata Noraniza, dia kini lebih senang menumpukan perhatian kepada beberapa projek yang diusahakan oleh syarikat miliknya, Noraniza Idris Production Sdn. Bhd. (NIP).

Selain sibuk dengan perancangan pelbagai acara yang berkaitan bengkel kesenian dan motivasi, dia juga mempromosikan Dataran Pahlawan Melaka yang diusahakan bersama Lestari Tours Sdn. Bhd.

“Banyak kertas kerja yang perlu saya lakukan untuk menjayakan acara yang diatur dan perkara ini lebih penting daripada memikirkan soal yang tiada buktinya itu,” ujar Noraniza.

l Buku biografi

Dalam sibuk menjayakan pelbagai acara dan program, penyanyi kelahiran Johor itu juga sedang menyiapkan buku biografi mengenai diri dan kehidupannya. Buku yang diberi judul Nukilan Misteri Noraniza Idris tidak sahaja memperkatakan tentang dirinya sejak kecil hingga bergelar penyanyi.

Tetapi juga mengenai kisah alam rumah tangga bersama bekas suami Fareez selain mengungkap kehidupannya selama hampir dua tahun hidup bersendirian selepas bercerai.

Juga kisah-kisah misteri yang menyeliputi dirinya selepas dia berkahwin dengan suaminya sekarang dan amalan perubatan kebatinan yang dipelajarinya.

“Buku ini adalah hasil tulisan saya sendiri dan ia menceritakan secara terperinci mengenai diri saya sejak saya kecil hingga sekarang.

“Bagaimana saya merasakan diri kekurangan kasih sayang ibu bapa apabila saya terpaksa tinggal bersama Atok kerana ibu bapa tidak mampu memelihara saya kerana anak yang ramai.

“Apabila berumur 11 tahun dan kembali menetap dengan keluarga, bila abah suruh menyanyi, saya selalu menyanyikan lagu Ratapan Anak Tiri kerana ketika itu merasakan saya seperti seorang anak tiri kerana dibuli adik-beradik yang lain.

“Setakat ini saya sudahpun selesai menulis kisah-kisah itu sehingga saya tamat tingkatan lima. Oleh kerana buku ini adalah rentetan setiap kisah yang berlaku kepada diri saya, saya juga akan bercerita tentang kisah-kisah selama mendiamkan diri setahun sembilan bulan selepas bercerai dan segala apa yang berlaku selama tempoh itu akan dicatatkan di dalam buku itu nanti.

“Ini termasuklah kisah-kisah di Internet, dengan Sani serta kehidupan saya yang tidak boleh bekerja sampailah kepada kisah perkahwinan saya yang ini selain kejadian-kejadian aneh yang berlaku kepada diri saya.

“Sebab dalam masa perkahwinan kedua ini, saya menyertai satu persatuan yang berkaitan perubatan kebatinan iaitu mendalami ilmu untuk kuatkan kerohanian apabila saya diserang penyakit misteri.

“Semua sebab mengapa saya menyertai persatuan itu akan saya coretkan dalam buku itu nanti,” katanya yang kini turut berkemampuan memberikan perubatan kepada yang memerlukan.

Selain itu, Noraniza juga melakukan kerja-kerja amal seperti mengumpul dana untuk tabung amal anak yatim menerusi pembelian biskut untuk Hari Raya.

Bermula Jun ini, Noraniza akan mula menjual biskut-biskut untuk Hari Raya dan sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi talian 016-2918066.

“Kita tidak sahaja menyediakan biskut-biskut yang dijual pada harga kilang malah kita juga membuat hamper dan sebahagian daripada bayaran itu akan dimasukkan ke dalam tabung berkenaan untuk membantu anak-anak yatim,” kata Noraniza lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: