Permaisuri Rania Terima Ijazah Kehormat UM

16 May

KUALA LUMPUR: Permaisuri Rania Al Abdullah dari Jordan hari ini menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM).

Anugerah berkenaan disampaikan Canselor UM, Sultan Azlan Shah dalam satu majlis konvokesyen khas di Dewan Tunku Canselor di universiti tertua negara, di sini.

Permaisuri Rania adalah penerima kedua ijazah kehormat tersebut selepas bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Razali Ismail menerimanya pada 2006.

Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim berkata, ijazah kehormat itu sebagai mengiktiraf sumbangan dan komitmen Permaisuri Rania yang telah memainkan peranan penting memupuk nilai toleransi serta penerimaan dalam masyarakat global dengan menggalakkan dialog silang budaya.

“Menjadi hasrat kami untuk menggabungkan anugerah akademik dengan satu penghormatan peribadi bagi menegaskan komitmen kami untuk membantu menggalakkan nilai yang menjadi pegangan Tuanku dan universiti ini,” katanya.

Permaisuri Rania mengucapkan jutaan terima kasih kepada UM dan Malaysia kerana memberi penghormatan itu kepada baginda.

“Saya mungkin tidak boleh menyanyi sebaik Ayu (Norayu Damit, pemenang program realiti televisyen One in A Million), tetapi anda semua menjadikan saya merasa seolah-olah ’Satu Dalam Sejuta’,” titah baginda sambil tersenyum.

Selepas itu, Permaisuri Rania berkenan mengadakan perjumpaan singkat dengan pelajar tempatan dan antarabangsa UM serta menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara UM dan Universiti Jordan.

Bagi memperingati lawatan baginda ke UM, Permaisuri Rania juga berkenan melakukan upacara menanam pokok keruing pipit.

Baginda dan suaminya, Raja Abdullah II Al Hussein tiba di negara ini semalam untuk lawatan kerja dua hari. — Bernama

Powered by Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: