Isteri Izin Kahwin Lain – Cinta Sang Gitaris Rock

16 May


PERNAH dilanda musibah tetapi kekuatan cinta mereka telah mempertahankan ikatan suci sebagai suami isteri.

DENGAN hanya satu petikan, pesona sang gitaris ini mudah sahaja menambat hati ramai. Dia tidak perlu berkata-kata untuk meluahkan ekspresi, cukuplah sekadar gitarnya sahaja yang bersuara mewakili kata hatinya.

Ini sekadar imaginasi sesiapa sahaja yang melihat kehidupan anak seni ini dari kejauhan. Mendekatinya sebagai pengisi ruangan Intuisi Cinta minggu ini, saya semakin kenal siapa figura yang sering membikin pentas jadi gempak dek petikan gitar berhantunya.

“Saya memang macam ini, betullah kalau ada orang cakap saya jenis yang kurang bercakap. Nampak macam ganas tapi sebenarnya ‘slow’. Jiwa lembut, mungkin benar,” ujar lelaki berusia 44 tahun ini tertib sekali.

Melihat keluarganya dipenuhi bunga-bunga keceriaan yang kembang di semua sudut terataknya di Ampang ini, hati siapa yang tidak cemburu. Ketika kerjaya yang masih tidak tercabar dek lawan, ketika dipuja dan jadi idola setiap anak muda yang baru hendak kenal nota muzik, gitaris unggul bernama Man Kidal ini sudah melengkapkan putaran hidupnya.

Walaupun tidak memiliki segunung emas tetapi kasih-sayang yang membiak dalam hidupnya sudah dikongsi bersama tiga generasi yang sebumbung dengannya. Bukannya jeritan atau wang ringgit yang diraih sejak lebih 25 tahun menghambakan diri dengan muzik tetapi inilah harta sebenar milik Man Kidal.

MUZIK adalah mata pencarian bahkan muzik juga pengikat kasih dalam keluarga Man Kidal.

Man Kidal sudah tersangat bahagia dengan kesetiaan isteri tercinta, Norlaila Yusof, 44, anak, menantu serta cucu-cucu yang sedang menyinari harinya.

Pinta Man Kidal, jangan ada lagi anasir yang cuba meragut cinta yang sedang dimiliki, kerana apa yang telah dilalui beberapa tahun lalu, sudah cukup sebagai ujian paling besar yang menduga hidupnya.

Apabila si isteri, Norlaila membuka halaman yang terlipat kemas, barulah jelas segala-galanya. Ternyata bunga-bunga bahagia yang terpancar saat ini adalah percikan dari petir yang menyambar ikatan kasih mereka berdua, tiga tahun lepas.

“Abang (Man Kidal) pernah minta nak kahwin lagi. Bagi seorang wanita yang bergelar isteri, tiada kepahitan lain yang lebih pahit daripada ungkapan itu. Ungkapan yang keluar dari bibir lelaki yang paling kita sayang, lelaki yang peluk kita selama ini. Masa itu, dunia saya gelap.

“Tetapi kerana terlalu sayangkan dia, saya tanya dia. Saya izinkan kalau dia betul-betul sudah kenal dan nak kahwin lagi,’ luah Norlaila yang mesra membahasakan dirinya Kak Nor tanpa berselindung.

CUCU-CUCU yang menceriakan hidup Man Kidal, (dari kiri) Siti Nur Elysha, Danish Haikal dan Danial Aiman.

Sambil matanya berkaca, nafasnya dihela dalam-dalam. Tambah Norlaila lagi: “Tiada apa lagi yang boleh saya harapkan kalau suami sudah ada perempuan lain. Saya fikir masak-masak, saya sendiri yang nak pergi ambil borang kebenaran berkahwin dan ajak suami jumpa keluarga perempuan berkenaan. Dalam hati saya, saya bagi tempoh seminggu untuk dia fikir, kalau benarlah mereka jadi kahwin, saya akan minta cerai.”

Tuhan Maha Kaya, Maha Pengasih dan Maha Mengetahui, kusut yang membelenggu tiba-tiba terlerai dan seperti matanya dicelikkan dari lena, Man Kidal sendiri yang membatalkan rancangan berkahwin lagi.

Dia kembali kepada Norlaila dan berjanji, noda hitam yang tercalit di hati masing-masing akan dibasuh sebersih mungkin.

Sengaja saya tanyakan, apakah itu satu kesilapan paling besar yang pernah Man Kidal lalui dalam hidupnya.

Jawab pemuzik ini ringkas tapi berisi. “Saya tidak anggap itu kesilapan kerana semua orang buat silap. Lebih tepat lagi itu ujian Tuhan. Ya, ujian yang sangat besar. Ujian begitu akan datang kalau kita selalu berjauhan dengan keluarga.”

SETELAH lebih 25 tahun hidup bersama , Man Kidal dan Norlaila sudah masak dengan karenah hidup.

Onar datang daripada diri sendiri. Dia seorang yang pentingkan muzik dan Man Kidal sedar jika rancangan itu terlaksana, hidupnya akan kucar-kacir dan satu-satunya pilihan yang ada dia harus berhenti dan meleraikan masalah itu dengan baik.

“Saya harus bertanggungjawab dengan apa yang telah saya lakukan. Itulah cabarannya,” kata Man Kidal tersenyum.

Itulah yang namanya kehidupan. Nampak tenang, tetapi siapa sangka di sebalik tembok yang memisahkan mereka dengan pandangan ramai, pasangan ini pernah mengharungi arus yang panas.

Tersenyum terkenangkan kerenah suaminya, kata Norlaila: “Jadi isteri Man Kidal kena sabar. Dia bukan artis tapi digilai melebihi artis khususnya peminat perempuan. Ada yang minta nak bergambar, nak peluk dia, nak duduk atas riba. Saya faham, jadi saya sabar. Sebab saya sekarang jadi pengurus dia, kadang-kadang, saya tak nak tunggu sampai dia habis show sebab saya tak nak tengok benda-benda macam itu.”

HARTA sebenar milik Man Kidal. Dari kiri: Siti Nurhaliza (menantu), Siti Nur Elysha (cucu), Norlaila dan Kamaruzzaman (menantu). Duduk di depan: Norshahera, Aiman dan Farah.

“Ada juga yang datang cari sampai ke rumah. Mereka telefon marah-marah, macam-macamlah. Tapi saya jenis yang sabar, sabar dah jadi makanan saya selama ini. Sebab sabarlah dah bertahan lebih 25 tahun macam sekarang. Walaupun macam-macam hal yang berlaku saya tetap sayang dia, sebab saya tahu, dia lelaki yang berhati mulia, murah hati, ‘murah hati kepada semua.”

Di sebelah Norlaila, Man Kidal terbatuk kecil mendengarkan cerita isterinya. Dalam pandangan saya, pasangan ini sudah cukup mengenal asam-garam. Justeru, hari-hari mendatang adalah bonus yang cukup bermakna untuk mereka nikmati manisnya bersama-sama.

Ditanya, apa ertinya antara isteri dan gitar, Man Kidal tersenyum, jawabnya: “Itu dua perkara yang tak boleh dibandingkan. Dua-dua itu nyawa hidup saya.”

Sampuk Norlaila pula “Antara banyak-banyak gitar yang dimiliki, gitar kuning yang dipetiknya ini adalah gitar kesayangan. Pantang diusik atau dipinjamkan kepada sesiapa.”

AYAH dan anak berkongsi cinta dan cita-cita yang sama.

Mengalih topik perbualan pasangan ini terhadap wajah-wajah ceria yang memenuhi kediamannya. Man Kidal tersenyum lagi. Apa lagi yang diinginkan seorang ayah apabila darah-dagingnya sendiri sudah mengikuti jejak langkahnya.

“Saya kidal, dia kanan. Tapi saya tak perlu risau lagi, saya dah ada pewaris. Bukan harta tetapi ilmu yang saya miliki. Kalau dah tiada nanti, sekurang-kurangnya anak saya, Elley (Mohd. Shefflee) boleh meneruskan apa yang saya lalui hari ini.”

Sebagai anak, Elley, gitaris kumpulan The Big Bang ini berbangga kerana berayahkan Man Kidal. Tetapi sebagai pemuzik (gitaris), pintanya jangan dibandingkan seorang Man Kidal dengan Elley.

“Saya macam biasa sahaja, jadi anak Man Kidal tidak pernah memberi tekanan pada saya. Kalau nak dibandingkan saya dengan dia, mana boleh saya jadi Man Kidal. Saya cuma darah-dagingnya, tapi jangan orang mengata bapa saya sudah,” jawab Elley menjelaskan situasinya sebagai pemuzik yang membawa gelaran anak Man Kidal.

Powered by Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: