Mr. Mama – Rashidi OK, Jasmine Tolak

30 Apr

METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my


PENERBIT Mr. Mama, Shahrul Ezad Mohamedin (tiga dari kanan) bersama barisan pelakon Mr. Mama pada majlis pelancaran drama itu di The Curve, Damansara, baru-baru ini.

FENOMENA Mr. Mama atau lelaki meninggalkan kerjaya dan menjadi suri rumah manakala isteri keluar bekerja menyara keluarga sememangnya sudah lama diperkatakan.

Bayangkan, seorang lelaki memainkan peranan sebagai suri rumah dan membuat kerja-kerja seperti mencuci baju, memasak, menyediakan sarapan dan minum petang serta mengasuh anak.

Mungkin ada pihak yang memandang sinis akan perkara ini dan beranggapan ia bagaikan ‘menongkah hukum alam’.

Tidak kurang, ada yang melihat ia sebagai menjatuhkan maruah seorang lelaki yang seharusnya memegang ‘watak’ utama dalam mencari rezeki untuk keluarga.

Namun, bagi yang sudah pun bergelar Mr. Mama, pastinya mereka mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat sedemikian.

Apa yang penting bagi mereka adalah asalkan wujud persefahaman antara sang suami dan isteri, segalanya tidak menjadi permasalahan.

Justeru, tidak kira sama ada pandangan positif mahupun negatif, ia sememangnya menarik untuk dibincangkan secara bersama.

Untuk itu, bagi menterjemah apakah sebenarnya pengertian fenomena tersebut, sebuah syarikat penerbitan, Radius One Sdn. Bhd. bertindak menghasilkan sebuah drama bersiri berjudul Mr. Mama.

Diarahkan oleh Rozi Izma, drama sebanyak 13 episod itu disiarkan di TV3 pada pukul 10 malam iaitu setiap Selasa bermula 29 April lalu.

Ia diterajui Rashidi Ishak yang memegang watak sebagai Fikri, Jasmine Ashraff (Suria) serta pelakon-pelakon cilik yang melakonkan watak sebagai anak-anak mereka iaitu Syainie Aida (Aliya), Muhammad Syahmi (Alif) dan Syahrul Emeer (Afif).

Drama ini mengisahkan kehidupan Fikri dan Suria yang sibuk mengendalikan projek besar syarikat masing-masing. Fikri yang merupakan seorang peguam, baru mendapat satu kes besar di syarikat guamannya dan jika berjaya, dia dijanjikan oleh ketuanya, Tuan Bakri untuk mendapat sebahagian daripada saham syarikat.

Suria yang bekerja sebagai arkitek pula sedang sibuk menyiapkan rekaan untuk binaan sebuah hotel lima bintang.

Pelbagai masalah melanda yang kemudiannya membuatkan Fikri sanggup melepaskan kerjayanya demi memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak.

Dalam pada itu, bagi mendapatkan pandangan mengenai fenomena Mr. Mama, Hits turut berkesempatan menemubual dua pelakon utama drama terbabit iaitu Rashidi dan Jasmine.

Rashidi nyata menyokong golongan lelaki yang bergelar Mr. Mama namun di pihak Jasmine, dia tetap mahukan bakal suaminya nanti bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab menyara keluarga.

Rashidi – tidak menjatuhkan taraf lelaki

Mengahwini pelakon popular, Vanidah Imran, lapan tahun lalu, Rashidi sememangnya memahami kesibukan isteri kesayangannya itu.

Ketiadaan Vanidah di rumah kerana sibuk di lokasi pengambaran, membuatkan Rashidi adakalanya terpaksa berkorban dalam menjaga anak-anak.

Lantaran apa yang dilaluinya selama ini, ia membuatkan Rashidi amat memahami situasi lelaki bergelar Mr. Mama.

“Tidak ada masalah jika seseorang lelaki itu mahu menjadi suri rumah asalkan kedua-dua pihak iaitu antara suami dan isteri faham situasi sebenar mereka.

“Bagi saya, Mr. Mama tidak menjatuhkan maruah lelaki. Keputusan terhadap apa yang berlegar dalam rumahtangga masih di tangan suami,” katanya.

Ujar Rashidi, masyarakat berhak untuk menyatakan pandangan masing-masing namun mereka sepatutnya memahami apakah sebenarnya yang berlaku sehingga memaksa seseorang lelaki bertindak menjadi Mr. Mama.

“Mungkin mereka dibuang kerja dan zaman sekarang ini pula susah hendak mencari kerja. Oleh yang demikian, jika ada persefahaman, tidak ada salahnya suami menjadi suri rumah,” jelas Rashidi.

Jasmine tolak Mr. Mama

Sementara itu, pelakon tinggi lampai berusia 28 tahun ini yang sudah pun mempunyai teman istimewa, mahukan bakal suaminya nanti mampu membantu dalam melakukan kerja rumah namun bukannya seorang lelaki bergelar Mr. Mama.

“Dia juga perlulah penyayang. Watak Rashidi dalam drama Mr. Mama adalah lelaki idaman saya tetapi bagi saya, dia perlulah bekerja dan saling bantu-membantu dalam menyara keluarga,” kata wanita berdarah kacukan Pakistan dan Afghanistan ini.

Ujar Jasmine, dia berharap teman istimewanya itu akan menonton drama Mr. Mama untuk menghayati watak penyayang yang ditonjolkan oleh Rashidi menerusi drama itu.

Ditanya mengenai karakternya sama ada menyamai apa yang dilakonkan dalam drama Mr. Mama iaitu garang, Jasmine bertindak menafikannya.

“Saya tidaklah garang. Memanglah dalam lakonan nampak sebegitu. Saya juga sukakan kanak-kanak,” jelasnya yang bekerja sebagai Penyunting Penapisan Filem di sebuah stesen televisyen.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: