Bual Fesyen: Peranan Jurusolek Dipandang Sepi

30 Apr

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kerja di belakang tabir tidak diberi tumpuan meskipun fesyen dan solekan saling berkait rapat

PERANANNYA tidak dirasai sungguhpun sentuhan tangannya kunci kehebatan dunia kecantikan dan peragaan. Dior, Shu Uemura dan Chanel antara nama besar peringkat antarabangsa yang mampu menggandingkan gaya dan solekan dalam satu, hingga menjadi ikutan seantero dunia.

Gaya smoky eyes yang mula diperkenalkan Dior menerusi sentuhan jurusolek sehingga ke hari ini berjaya menjadi ikutan di pentas peragaan, hinggalah ke jalanan. Daripada model terkenal hingga gadis biasa, di situlah peranan jurusolek dalam menentukan arah tuju serta gaya terkini dunia persolekan yang realitinya sentiasa ligat berputar.

Di Malaysia, nama model terkenal dan selebriti ternama, hampir semua pernah mendapat sentuhan jurusolek dan penggaya rambut, Razlan Bahari. Cuma berbeza namanya tidaklah sebesar mana. Siapa ambil peduli kerana yang paling mustahak, insan yang menerima sentuhannya mesti cantik dan molek dipanah lensa kamera. Begitulah hukumnya kerja belakang tabir.

Memulakan kerjaya pada usia 19 tahun, Razlan sedar di Malaysia peranan jurusolek tidak begitu dirasai sungguhpun pada peringkat antarabangsa, kelompok itu menjadi cukup penting dalam menentukan arah serta hala tuju, bentuk dan gaya solekan yang pasti bertukar setiap musim.

Jurusolek peringkat antarabangsa pula mampu menzahirkan karya dan kreativiti apabila bentuk solekan diadaptasikan ke gaya pakaian dalam menjayakan pertunjukan fesyen yang rancak diadakan di Paris, Milan atau New York. Karya mereka selalunya ditunggu-tunggu dan menjadi rebutan majalah fesyen untuk dimuatkan dalam terbitan masing-masing.

Citra berpeluang menemubual jurusolek artis dan penggaya rambut yang kini semakin dikenali namanya, malah tidak keterlaluan dikatakan sentuhannya menjadi rebutan. Solekan selebriti penghias kulit depan majalah dan pentas peragaan, sering memberi impak besar.

Citra : Bagaimana Razlan mula meminati bidang solekan?

Jawapan: Ketika di bangku sekolah dulu, sayalah budak kelas sains tetapi amat meminati fesyen. Ketika bersekolah dulu saya gemar menatap majalah antarabangsa seperti Vogue dan Glamour. Gambar kulit depan yang popular ketika itu Brooke Shileds, Iman dan saya selalu terfikir, bagaimanakah kerja mereka belakang tabir hingga boleh menghasilkan gambar kulit muka depan yang cukup mengagumkan. Kadangkala wanita berkenaan kelihatan cukup cantik. Minat saya itu menjadikan saya sudah dapat mengagak dunia glamor itu bakal menjadi milik saya. Lepas sekolah saya bekerja di salon selebriti Noor Kumalasari (kini sudah tutup) di Petaling Jaya. Bermula sebagai pembancuh air, saya akhirnya dibenarkan ‘memotong’ rambut dan menyolek. Saya belajar daripada pengalaman, sambil mengambil inspirasi gaya solekan Barat ketika itu. Kini sebagai jurusolek bebas, saya bebas menyolek di mana-mana, tetapi lebih gemarkan peragaan dan majalah.

Citra : Sejauh manakah peranan jurusolek dalam dunia fesyen dan kecantikan?

Jawapan : Peranan yang dimainkan jurusolek, sangat besar. Bayangkan kalau semua model tidak memakai sebarang solekan, tidakkah ia cukup membosankan? Hakikatnya solekan tidak sekadar menampal rona menarik pada wajah model, tetapi ia tampil bersama tema tertentu yang mempengaruhi dunia fesyen dan gaya solekan untuk sesuatu musim serentak. Kalau di Barat pereka seperti Alexender McQueen akan berbincang dengan penata gaya untuk menentukan gaya yang bakal dihasil.

Jenama tersohor seperti Christian Dior umpamanya melancarkan fesyen dan solekan sekali gus yang baru-baru ini mengambil ilham tahun 30-an dan 40-an, tetapi diperkaya dengan labuci dan kilatan. Malah ilham berkenaan diangkat menerusi koleksi alat soleknya.

Di sini pula, saya pernah terbabit dalam penggambaran kulit majalah Ziana Zain untuk memperkenalkan gaya solekan Chanel yang mengambil ilham gaya Shanghai pada 1950-an lalu. Kami berbincang terlebih dulu mengenai gaya solekan dan pakaian yang hendak digayakan, maka lahirkan kulit majalah yang cantik sebegitu, dan sampai maksud untuk mempromosi pakaian diserikan solekan yang bertepatan.

Citra : Bagaimanakah bentuk kolaborasi solekan dalam menjayakan sesebuah pertunjukan fesyen?

Jawapan : Gaya solekan menyampaikan maksud ilham rekaan seseorang pereka. Masih menggunakan contoh Dior, kolaborasi ini jelas sekali di dalam koleksi Ultra Shine, teknologi makmal bekerjasama dengan kumpulan pakar Dior menghasilkan solekan berkenaan dan diaplikasikan dalam pertunjukan fesyennya. Pada peringkat antarabangsa pertunjukan fesyen oleh jenama besar selalunya amat ditunggu-tunggu malah berebut-rebut pembeli fesyen, orang dalam industri fesyen dan sebagainya ingin mengetahui mengenai apa buah tangan terbaru daripada jenama berpengaruh ini. Selalunya solekan dipertunjukkan pentas itu digayakan lebih keterlaluan dan mempunyai konsep tertentu, yang disesuaikan dengan gaya fesyen. Kalau ia memilih gaya anggun, gaya solekan sedikit lembut, manakala kalau fesyen berkenaan funky, maka solekan umpamanya menjerit. Sebagai contoh sekiranya nama besar seperti Chanel itu menggunakan rona berkilat untuk solekan, dan fesyen, maka seantero dunia menggunakan rona yang sama.

Citra : Benarkah jurusolek yang menggunakan jenama solekan seperti Shu Uemura boleh terkenal lebih cepat berbanding jurusolek bebas?

Jawapan : Saya memulakan kerjaya sebagai jurusolek bebas sejak berbelas tahun yang lalu, dan pada saya jawapan kepada soalan itu betul dan ada tidaknya. Betul kerana jurusolek berkenaan menggunakan jenama ‘jurusolek Shu Uemura’ atau ‘jurusolek L’Oreal’ dan sebagainya menjadikan mereka cepat terkenal. Tetapi tidak juga kerana sekiranya kita terikat, maka kreativiti jurusolek berkenaan mungkin terhad, dengan menggunakan alat solek daripada jenama tertentu. Saya tidak gemar terikat kerana ia hanya akan mengehadkan kreativiti saya. Saya senang begini, membawa segala jenis jenama kerana saya bereksperimen dengan ronanya. Saya tidak suka terikat kerana kadangkala segelintir jenama punyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Jurusolek Laura Mercier antara yang bertuah kerana hasilkan produk sendiri, dan gaya solekan selalu menjadi rujukan. Bagi saya menjadi sepertinya? Mungkin tidak akan berlaku, malah jurusolek lain pun di Malaysia mungkin tidak akan jadi seperti Laura kerana industri kita terlalu kecil.

Citra : Bagaimanakah daripada segi pendapatan? Adakah nasibnya sama dengan model tempatan, yang tidak boleh dibanggakan?

Jawapan : Kalau dibandingkan dengan peringkat antarabangsa, perkembangan solekan negara ini jauh 20 hingga 30 tahun ke belakang. Daripada segi pendapatan, ia bergantung kepada kesungguhan jurusolek. Kalau rajin maka pendapatan anda juga hebat. Saya juga buat pelbagai kerja, daripada solekan pengantin, selebriti hingga kulit majalah, semuanya saya boleh lakukan, tetapi kalau solekan pengantin memang saya sengaja tidak buat banyak kerana saya tidak mahu dikaitkan sebagai pak andam. Kecenderungan saya lebih cenderung kepada dunia peragaan dan glamor. Hari ini saya merasakan peranan jurusolek semakin dihargai, dengan kewujudan majalah fesyen seperti Glam, saya dapat merasakan kepuasan. Ini kerana kalau sebelum ini dan mungkin dalam majalah wanita yang lain, jurusolek hanya akan dipanggil selepas gaya yang dipaparkan untuk muka depan diputuskan oleh jawatankuasa majalah, tetapi di majalah ini, jurusolek, penata gaya, penulis malah jurugambar akan duduk semeja, berbincang bagaimana dan apa yang perlu dipaparkan untuk majalah keluaran terbaru. Kepuasan dalam bekerja ada di situ.

Sungguhpun begitu masa depan insan seni seperti saya masih samar. Saya juga agak kecewa kerana tidak ada badan yang memberi sokongan menjadikan ramai yang tidak nampak kepentingannya. Ini berlainan sekali dengan Indonesia yang mana mereka ada produk sendiri seperti Mustika Ratu dan Sari Ayu, tetapi dalam majlis yang gah, mereka selalu dipanggil menjadi entiti rasmi.

Citra : Siapakah antara model atau selebriti yang paling anda gemari untuk dirias?

Jawapan : Nasha Aziz, Tengku Azura dan Datuk Siti Nurhaliza kerana mereka mempunyai gaya tersendiri. Nasha Aziz mampu ‘membawakan’ setiap solekan yang mana ia satu kemahiran yang bukan mudah untuk dilakukannya. Kadangkala ada orang yang kita solek garang dan mahukan ‘rupa’ garang juga, tetapi ada yang tidak mampu menggayakannya, tetapi berilah apa pun kepada Nasha kerana beliau mampu membawakan apa saja. Saya juga senang bekerjasama dengan Tengku Azura kerana bentuk wajah yang tajam selain gelaran supermodel menjadikan bonus untuk dirinya bergaya hebat. Sementara Datuk Siti pula, daripada rupa gadis biasa sederhana, solekan boleh membuatkan dirinya kelihatan cukup jelita. Ini adalah satu kelebihan kerana ada wanita yang sungguhpun cantik, tetapi bila disolek kelihatan biasa, nasib tidak baik jadi tidak cantik pula.

Citra : Siapakah pula individu yang anda teringin benar untuk merias wajahnya?

Jawapan : Kalau tempatan, saya impi sangat untuk menyolekkan Raja Permaisuri Agong dan kalau pada peringkat antarabangsa, saya teringin menyolekkan Madonna. Mungkin kerana minat dan memuja maka kedua-dua ini menjadi cita-cita saya untuk menyolekkan mereka.

Citra : Apakah istilah solekan yang baik?

Jawapan : Orang selalu berkata, kerja menyolek itu tampak mudah dan siapa saja boleh melakukannya. Memang betul, tetapi seorang jurusolek, berfikir bagaimana menjadikan solekan itu memikat, tampak cantik dan diterima ramai. Bagi orang biasa, rutin seharian adalah biasa seperti mata, pipi dan bibir. Untuk jurusolek mungkin musim ini mengetengahkan gaya bulu mata palsu yang keterlaluan, tetapi bibir hanya dibias pengilat bibir. Pada pandangan saya seorang jurusolek perlu menghasilkan solekan yang cantik. Saya pernah membawakan solekan muka depan majalah fesyen tempatan Glam oleh pelakon Ida Nerina. Kalau tengok dari jauh memang menakutkan, tetapi ia sesuatu yang cantik dan tidak jemu di pandang.

Saya sebenarnya sukakan gaya solekan 1980-an dulu yang mana lebih kepada pop art. Ketika itu artis seperti Noor Kumalasari, Sudirman gemar tampil dengan gaya dan solekan yang dramatik dan ‘over’. Pada saya ia sangat menarik kerana mereka berani dengan gaya begitu. Begitupun dikalangan selebriti Indonesia, mereka gemarkan solekan tebal yang tahan berhari-hari, malah segelintir artis membuang semua bulu mata dan kening supaya mudah mengenakan yang palsu. Mereka lebih ekstrim. Tetapi saya tidak suka begitu, saya gemar kekalkan yang asli dan saya lihat orang sekarang pun gemarkan kesederhanaan, dan kita cuba ikut cara begini.

Powered by Berita Harian

One Response to “Bual Fesyen: Peranan Jurusolek Dipandang Sepi”

  1. nazira April 9, 2009 at 5:18 PM #

    I heard alot about razlan bahari. He did a very good job on ladies. ~ive seen many. urm am getting engaged and dying to get his number. I want his artsy hands on my face. Please give me anything that can connect me to him so that i could get him for my engagement make up. Thanks!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: