Dunia Kanak-Kanak Zoey

21 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENATAP raut wajahnya, bagaikan budak belasan tahun yang masih bersekolah menengah.

Namun, siapa sangka Mohd Hairey Azhar atau mesra disapa abang Zoey di kalangan peminat cilik sebenarnya sudah berusia 23 tahun selain pemegang diploma dalam Rekaan Hiasan Dalaman.

Barangkali kerana tuah berwajah comel, memudahkan laluan Zoey membina karier sebagai pengacara program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing (GGG) yang disiarkan menerusi saluran Astro Ceria, meskipun itulah pengalaman pertama beraksi di depan kamera.

Melaluinya, Zoey mendaki populariti dalam sekelip mata dan menjadi pengacara kesayangan penonton cilik. Bayangkan, dek kerana kerana terlalu teruja melihatnya ada peminat bertindak agresif sehingga menyebabkan Zoey jatuh longkang.

“Mereka berasak-asak mahu bergambar dan mengambil autograf saya sehingga makin lama semakin ke belakang sehingga jatuh ke longkang. Kelakar betul waktu itu namun ia pengalaman cukup manis yang tidak mungkin saya lupakan.

“Sebenarnya saya tidak pernah merancang menjadi pengacara sebaliknya sekadar mencuba nasib pada sesi uji bakat GGG. Itupun atas desakan abang yang berkali-kali mahu saya mencuba.

“Bagi orang yang tiada pengalaman langsung, memang mengejutkan apabila dimaklumkan terpilih walhal pada hari uji bakat ramai artis remaja dan bintang Akademi Fantasia yang datang.

“Namun entah apa agaknya yang produser nampak pada saya sehingga berani memberi kepercayaan ini untuk saya galas. Alhamdulillah, diam tak diam sudah masuk musim ketiga saya mengendalikan program itu,” katanya.

Tidak ingin selama-lamanya dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak, duta Astro Ceria selama dua tahun ini juga memasang impian mengendalikan program hiburan yang mensasarkan kelompok remaja dan dewasa. Atau erti kata lain menjadi pengacara versatil.

Bagaimanapun, dalam merancang perjalanan seninya pemuda kelahiran Besut, Terengganu yang menjadikan Aznil Nawawi sebagai idola tidak pula berasa bosan dikelilingi kanak-kanak.

“Sememangnya saya selesa mendampingi kanak-kanak kerana saya sendiri sukakan budak-budak. Malah, setiap musim saya bertambah yakin dan selesa mengemudi GGG.

“Barangkali orang ramai mempunyai persepsi mengacarakan program kanak-kanak tidak mencabar atau tugas mudah tetapi tidak semua pengacara mampu mengendalikan program sedemikian.

“Kanak-kanak adalah manusia paling jujur. Mereka akan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak pandai menyembunyikan perasaan.

“Contohnya dalam GGG, ada peserta yang terlalu emosi apabila kumpulan mereka tewas. Segelintirnya pula terlalu aktif, tidak kurang yang pemalu sedangkan kamera mahu merakam ‘mood’ dalam keadaan terkawal dan ceria.

“Justeru, sebagai pengacara saya perlu memainkan peranan bukan saja dalam memastikan program berjalan lancar malah untuk membuatkan mereka selesa berhadapan dengan kamera,” katanya.

Sempena musim cuti sekolah Mei nanti, Zoey akan kembali ke rakaman GGG musim ketiga yang tampil dengan beberapa kelainan. Hadiah yang disediakan lebih lumayan berbanding tahun lalu.

Beberapa perubahan turut dilakukan, jika dulu warna kuning, merah, biru dan hijau diguna sebagai nama kumpulan, untuk musim terbaru ini ia diubah kepada nama produk keluaran Steadtler selaku penaja musim kali ini.

“Bukan itu saja, peserta juga akan digandingkan dengan selebriti cilik Astro seperti pelakon Hikayat Putera Shazlan dan Geng Bas Sekolah sebagai satu pasukan.

“Lebih menarik, hadiah yang disediakan juga lumayan kerana peserta berpeluang memenangi komputer riba dan telefon bimbit,” katanya.

Pernah berjinak-jinak dalam dunia komersial sebagai model iklan sebelum bergelar pengacara, anak keempat daripada lima beradik yang semuanya lelaki ini turut mengasah bakat dalam bidang lakonan.

Bermula dengan Impian Ilyana, Zoey kemudian dilamar membintangi siri terbitan Ace Motion Pictures, Bong, yang memenangi Drama Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2007 diikuti Fara.

Terbaru, Zoey sedang menjalani penggambaran drama Putera Asmara yang turut dibintangi artis popular antaranya, Watie Elite, Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.

Tidak lama lagi dia juga bakal menjalani penggambaran drama Impian Ilyana musim keempat dan difahamkan peranannya kali ini lebih besar berbanding musim pertama.

“Saya tidak pasti bagaimanakah jalan cerita atau konflik yang berlaku pada musim keempat ini namun saya difahamkan watak yang dibawakan dikembangkan lagi.

“Berlakon tidak semudah disangka. Sampai sekarang saya masih ingat peristiwa dimarahi pengarah Aziz M Osman ketika menjayakan penggambaran Fara. Abang Aziz mengarahkan saya naik, turun tangga sebanyak tiga kali gara-gara ‘mood’ lakonan tidak sampai.

“Namun saya percaya setiap teguran dan kritikan itu adalah terapi paling berkesan untuk menjadikan kita lebih baik pada masa akan datang. Sejak kejadian itu juga saya lebih peka dan komited terhadap tugas saya.

“Kalau diberi kesempatan saya teringin sekali berlakon di samping pelakon hebat, Fauziah Nawi,” katanya

Biarpun setiap tawaran perlu ‘ditapis’ terlebih dulu oleh Astro Ceria, Zoey tidak pernah berasa terkongkong kerana dia juga bukan jenis orang yang terburu-buru untuk merebut semua peluang.

“Buat masa sekarang, saya lebih selesa mengambil watak ringan kerana belum begitu yakin dengan kemampuan. Dari segi pengacaraan pula, sebagai selebriti Astro, kami mempunyai perjanjian apabila tidak boleh terbabit dengan sebarang program terbitan stesen lain.

“Bukan setakat itu saja, sebagai duta Astro Ceria saya juga terikat dengan beberapa syarat iaitu tidak boleh mengunjungi kelab malam termasuk merokok,” katanya.

Jika tidak terbabit dengan sebarang urusan seni, pemuda berbintang Capricon ini akan membantu abangnya menguruskan syarikat milik keluarga iaitu Calista Design.

“Calista Design sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan rekaan hiasan dalaman untuk pejabat serta pelbagai kemudahan berkaitan bidang seni bina kerana abang saya seorang arkitek.

“Jika ada pihak berminat untuk mengetahui lebih lanjut fokus syarikat ini dan kemudahan yang disediakan boleh mendapatkan maklumat dengan melayari laman web http://www.calistadesign.t35.com. Mereka juga boleh berhubung dengan kami menerusi nombor yang tentera,” katanya.

PROFIL

NAMA: Mohd Hairey Azhar

PANGGILAN: Zoey

TARIKH LAHIR: 3 Januari 1985

UMUR: 23 tahun

BINTANG: Capricon

ASAL: Besut, Terengganu

KARIER: Model, pelakon, pengacara

Powered by Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: