Bual Fesyen: Kreativiti Richie Zahirkan Gaya Glamor Peragawati

16 Apr

Oleh Halina Mohd Noor



GIGIH: Kreativiti menjadikan Richie unik dan tampil dengan kelas tersendiri.

Pengalaman daripada pembelajaran, pemerhatian digunakan sepenuhnya apabila pulang ke tanah air

DIKALANGAN mereka yang terbabit dalam dunia fesyen tanah air, nama Richie Rachman bukanlah asing, khususnya mereka yang boleh dikatakan senior dalam industri ini. Mungkin Richie tidak terbabit secara langsung dengan rekaan fesyen tetapi beliau banyak menghasilkan nama besar dalam bidang ini seperti Aleeza Kassim, Nasha Aziz, Sofia Jane, Erra Fazira, Umi Aida, Irene Santiago dan ramai lagi. Bermula sebagai gadis biasa, bakat mereka diasah Richie melalui majalah remaja popular ketika itu sehingga menyerlah dalam pelbagai bidang sama ada peragaan, lakonan mahupun nyanyian.

Tidak setakat itu saja, Richie juga banyak mengetengahkan pereka fesyen tempatan dan juru mekap yang kini mencipta nama dalam bidang masing-masing. Pendek kata, berilah apa saja kepada Richie, pasti hasil yang dikemukakan tidak mengecewakan. Walaupun kini bergelar Pengarang Kumpulan-Kreatif dan Pengarang majalah Arena Bola Sepak, ia sekalipun tidak menghalang beliau daripada menggunakan kreativitinya. Malah bakatnya itu digunakan sepenuhnya bagi menampilkan keunikan pada majalah berkenaan. Lebih menarik, Richie yang pernah tampil dengan novel Skandal dan Ratu, kini mencurahkan bakat penulisan kreatifnya dengan menghasilkan novel terbarunya, Noda.

Selain bergelar pengacara radio Wanita, Richie juga sering diundang memberikan ceramah mengenai ketrampilan diri kepada pelbagai persatuan wanita dan pelajar pusat pengajian tinggi. Mengenali lebih dekat insan kreatif ini, ikuti temu bual Citra bersamanya.

Citra: Bagi mereka yang mengikuti perkembangan majalah fesyen sekitar pertengahan 80 an dan 90 an, nama Richie Rachman pasti cukup dikenali sebagai pengarah gaya yang begitu kreatif. Ramai tertanya-tanya, siapakah Richie sebenarnya dan apakah anda mempunyai latar belakang dalam bidang seni khususnya fesyen?

Sebelum menyertai bidang penulisan, saya belajar di Institut of Art di Paris sekitar 1980 an. Bagaimanapun, oleh kerana kejutan budaya di sana, saya tidak dapat menyempurnakan kursus itu. Visa untuk belajar selama setahun itu lebih banyak saya gunakan untuk melawat ke pelbagai butik dan muzium fesyen sekitar Eropah. Semuanya kerana minat yang begitu mendalam dalam bidang ini. Hasil pengalaman daripada pembelajaran mahupun pemerhatian itu, saya gunakan sepenuhnya apabila pulang ke tanah air dan bekerja di majalah untuk golongan muda terbitan Kumpulan Karangkraf sebagai pengarang. Di samping bertindak sebagai pengarang, saya juga menyelaraskan ruangan fesyen termasuk sudut fotografi serta teks.


BERJAYA: Ramai nama besar dilahirkan menerusi pertandingan Dewi Remaja yang dikelolakan Richie.

Citra: Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, anda adalah antara individu yang memperkenalkan penata gaya di negara ini yang ketika itu belum ada pihak yang memandang fungsinya secara serius. Bagaimana anda melihat kepentingan seorang penata gaya dan kesan yang dihasilkannya?

Saya tidak pasti mengenai perkara itu (perintis penata gaya). Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang baru di kota fesyen ketika itu. Kebanyakan majalah fesyen terkenal pasti ada penata gaya yang menentukan gambar yang ingin dihasilkan. Misalnya, kesan pencahayaan dalam fotografi ke atas baju yang digayakan. Seorang penata gaya juga menentukan konsep baju, lokasi, mood dan latar belakang yang ingin diterapkan dalam gambar termasuk dandanan rambut serta mekap. Kemudian, barulah ditentukan apakah pakaian yang sesuai dengan semua itu. Saya lebih gemarkan kesan gambar lebih dramatik dalam menampilkan gaya fesyen. Misalnya berlatar belakangkan air terjun berbanding di studio yang agak kaku. Air terjun yang jatuh ke muka model menghasilkan kesan yang tidak dapat diceritakan dengan perkataan atau baju bermotif bunga mungkin lebih menarik perhatian jika peragawatinya memegang sesuatu di tangan seperti tembikai besar yang merah menyala.

Seorang penata gaya melihat semua ini dari sudut lensa jurugambar dan emosi pembaca ke atas pakaian yang ingin diserlahkan. Kita tidak boleh mengharapkan semua hasil terbaik ini kepada jurugambar semata-mata. Mungkin mereka mahir dalam teknik foto tetapi tidak dalam beberapa hal membabitkan fesyen. Apabila segala-galanya terancang, gambar yang dihasilkan lebih unik serta mampu menceritakan segala-galanya.

Citra: Apakah sesi fotografi yang paling anda tidak dapat lupakan sepanjang kerjaya anda?

Setakat ini saya pernah diundang ke Singapura dan Jakarta untuk sesi penggambaran fesyen di sana yang ditaja oleh syarikat penerbangan tempatan. Bagaimanapun yang paling menarik dan tidak dapat dilupakan adalah sesi penggambaran di dalam kapal mewah bersama model, Shelly Ann Clark. Kapal berkenaan belayar dari Kuantan ke Kuching. Ia menarik sekali kerana merakamkan keindahan alam dan pakaian santai berkonsep percutian. Salah satu gaya yang menarik ialah Shelly terpaksa memanjat tiang layar untuk memberikan mood percutian.

Citra: Sejauh mana anda melihat kepentingan peranan penata gaya di negara ini terutama majalah tempatan?

Tidak semua majalah tempatan menggunakan sepenuhnya penata gaya. Apa yang berlaku hari ini, kebanyakannya sekadar melepaskan batuk di tangga dalam menghasilkan ruangan fesyen mereka. Mungkin ada beberapa halangan seperti masa dan wang atau kurangnya kesedaran mengenainya. Hasilnya, fesyen yang dipaparkan lebih banyak berlatar belakangkan studio yang pastinya kelihatan kaku. Tidak dinafikan ada majalah tempatan yang menghasilkan gambar fesyen yang menarik dan dramatik.

Citra: Anda seorang yang mempunyai cita rasa tersendiri terhadap bidang fesyen mahupun segala yang berkaitan dengannya. Mengapa tidak menggunakan kreativiti yang anda untuk menghasilkan rekaan sendiri?

Sebaik kembali ke Malaysia, saya memang menyimpan cita-cita itu. Sasaran ketika itu, ingin bergelar penulis fesyen dan kecantikan yang unggul serta mengeluarkan koleksi sendiri. Bagaimanapun, hakikatnya, ingin bergelar pereka fesyen mesti ada modal. Jika tidak, sukar untuk menghasilkan pakaian berkualiti. Modal menjadi penghalang, apatah lagi ketika itu saya masih baru membina kerjaya. Walaupun tidak bergelar pereka fesyen, sebagai pengarang, saya banyak berkawan dengan pereka terkenal seperti Bill Keith, Datuk Bernard Chandran dan Albert King. Bergaul dengan mereka membolehkan saya mendapat maklumat terkini mengenai aliran fesyen seperti potongan terbaru, warna dan sebagainya. Disamping itu, saya juga banyak membaca untuk menambahkan pengetahuan. Bagaimanapun, hari ini saya berpuas hati walaupun mungkin tidak sepenuhnya kerana mampu berkarya melalui cara tersendiri.

Citra: Bagaimana anda melihat perkembangan fesyen hari ini? Apakah rekaan yang anda gemari?

Dulu kalau dikatakan glamour mesti berbentuk kembang meleret tetapi hari ini, lebih kepada ringkas sama ada dari segi potongan mahupun butiran hiasan yang menampilkan kesan mewah. Secara peribadi, saya lebih gemarkan rekaan penuh dramatik yang dihasilkan Dior dan Vivienne Westwood yang potongannya unik dan banyak menggunakan ropol. Saya juga memilih Escada untuk potongan mewah dan moden.

Saya juga turut mengagumi pereka tempatan seperti Datuk Bernard Chandran yang menghasilkan rekaan mewah manakala Bil Keith untuk gaya ringkas tetapi menarik sekali. Rekaan Izal dan Amin Jauhary juga tidak kurang menarik perhatian.

Citra: Anda banyak melahirkan bakat besar dalam pelbagai bidang sama ada lakonan, peragaan dan nyanyian juga. Secara peribadi, siapakah yang boleh anda banggakan dan apakah kriteria penting untuk bergelar peragawati?

Mereka semua adalah kebanggaan saya seperti Aleeza Kassim, Sofia Jane, Nasha, Irene Santiago, Umi Aida, Kuza dan ramai lagi. Sememangnya cita-cita saya untuk melahirkan model tanah air yang berjaya. Daripada gadis biasa, mereka bergelar ‘somebody’. Bagi saya, Aleeza Kassim paling berjaya dan berpotensi tinggi sebagai model. Susuk tubuhnya yang langsing memang sesuai untuk menggayakan apa juga jenis potongan. Dia juga memiliki bahasa tubuh yang bijak apabila berdepan kamera. Seorang model bagaikan penyangkut baju, selain tinggi, cantik dan ramping, mereka perlu bijak bergaya depan kamera. Aleeza juga kini mempunyai akademi model tersendiri. Nasha Aziz juga tidak kurang hebatnya. Bermula daripada model, dia kini bergelar pelakon berjaya. Tidak dinafikan hari ini, Tengku Azura menjadi model yang paling digemari hari ini. Seorang model perlu tinggi dan kurus iaitu perlu ada pinggang selain bijak memberikan mood tersendiri dan sesuai dengan konsep baju digayakan. Mereka perlu berusaha ke arah itu untuk berjaya.

Citra: Apa pandangan anda mengenai kemasukan model asing ke negara ini. Adakah ia baik untuk industri ini?

Terus terang saya katakan, amat kasihan dengan gadis tempatan terutama gadis Melayu kerana peluang mereka seolah-olah terus tertutup dengan kehadiran model berdarah ‘mat salleh’ hari ini. Bukannya kita hendak menutup rezeki mereka tetapi sebaiknya ia dikawal agar tidak menghalang peluang gadis tempatan dalam industri ini. Kerajaan perlu melihatnya secara lebih serius kerana ia langsung tidak mencerminkan imej negara. Saya sedar usaha ini pernah dilakukan tetapi ia sekadar hangat-hangat tahi ayam dan tidak begitu menjadi.

Mungkin ketinggian menjadi halangan bagi gadis tempatan tetapi ini boleh diatasi dengan mencari lebih ramai bakat di luar sana. Dalam perkara ini, kita boleh mencontohi Aleeza Kassim yang menubuhkan akademi modelnya sendiri. Lebih banyak akademi sebegini perlu diwujudkan jika mahukan lebih ramai gadis tempatan menyertai bidang ini.

Citra: Dikalangan selebriti lelaki, pada pandangan anda, siapakah yang bijak bergaya? Apakah pilihan anda sendiri?

Saya boleh bahagikan kepada kategori usia iaitu 40 an, 30 an dan 20 an. Lelaki 40 an yang bijak bergaya adalah Hattan. Gayanya santai tetapi menampilkan gaya macho dan seksi. Pemilihan fabrik linen aadlah yang terbaik untuknya dan digayakan dengan jeans serta jaket. Ia membuatkan penyanyi ini kelihatan ‘smart’ dan lasak. Manakala Anuar Zain mewakili mereka yang berusia 30 an. Dia adalah ikon bagi gaya rasmi kerana kelihatan begitu segak apabila menggayakan sut. Jeans juga membuatkan Anuar kelihatan santai dan kemas. Setakat ini belum ada personaliti berusia 20 an yang boleh dicontohi. Bagi golongan muda kini, gaya Gothic menjadi pilihan tetapi tidak ada yang menonjol.

Secara peribadi, saya lebih gemar tampil santai dan lasak seperti jeans bersama baju t. Gaya rasmi, saya lebih gemarkan pakaian daripada linen dengan menggayakan koleksi Malique Fusion atau William Liu. Di konti radio pula saya lebih senang bergaya muda bagi menghayati muzik dalam semua genre.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: