Kereta Anak Jutawan

2 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI


DI usia muda, Shamsul mampu memiliki kereta idaman anak muda yang harganya mencecah ratusan ribu.

SEJAK kebelakangan ini, anak teruna produser filem terkenal Datuk Yusof Haslam, Shamsul, 23, semakin ligat meneruskan kesinambungan bapanya dalam pembikinan banyak drama berkualiti di bawah label Skop Productions.

Bukannya terus berlari menggapai status pengarah, sebaliknya Shamsul menapak daripada bawah. Dengan hanya mengarah beberapa babak menerusi drama Gerak Khas, kemudian baru dia ‘direstu’ mengarah tiga episod serentak.

Berbekalkan semangat tidak pernah luntur ditambah dengan keringat yang ada, Shamsul diberi peranan mengurus projek pertamanya, Sembilu Kasih hingga meraih sukses dengan menghimpun penonton setianya tatkala ia bersiaran di kaca TV.

Enggan terleka dengan tuah dan rezeki yang sentiasa menyebelahi diri, Shamsul terus mengorak langkah terbentang luas di depannya dengan menulis skrip dan mengarah filem sulung, Evolusi KL Drift yang akan menemui audiens esok.

Menariknya, filem yang dibintangi Farid Kamil, Fasha Sandha, Aaron Aziz, Diana Danielle dan Shamsul sendiri berkisar sukan ekstrem drift yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Andai kita perhatikan naskah pertama pemegang Diploma Penyiaran dari Malaysia Institute Of Integrative Media (MIIM) ini, barangkali ramai beranggapan Shamsul jatuh ‘cinta’ dengan sukan yang melibatkan aksi suspens dan mendebarkan itu.

Seolah ada benarnya tanggapan berkenaan. Masakan tidak, anak muda penuh ambisi ini dilihat memandu Toyota Celica merah menyala berharga RM150,000 di jalanan dengan segak dan bergaya.

Mengakui dia tidak gemar menunjukkan belangnya di atas jalan raya tatkala memandu Toyota Celica itu, kata Shamsul, personaliti dan corak sebenarnya disifat jauh berbeza berbanding apa yang bisa dilihat secara luaran.

“Kalau orang lain lihat saya dan kereta ini, pasti mereka membuat andaian Shamsul sering memandu laju dan libatkan diri dalam perlumbaan kereta.

“Hakikatnya tidak benar. Memanglah Toyota Celica itu nampak sporty, tetapi saya tetap memandu perlahan dan mengikut had ditetapkan pihak berkuasa,” jelasnya.

Maaf, bukan duit bapaMenjelaskan detik cintanya yang mula bersemi dengan kereta mewah dan sporty, kata Shamsul, sudah lama dia mengimpikan Toyota Celica.

“Bukannya mahu tunjuk bagus mahu pun berlagak dengan memandu kereta itu, sebaliknya memang saya menyimpan hasrat untuk beli kereta.

“Dengan sikap jimat-cermat yang diamalkan, akhirnya saya berupaya tunaikan niat untuk dapatkan mobil ini,” sambungnya.

Ala, dia boleh pakai kereta mewah sebab bapanya kaya. Anak jutawanlah katakan.

Begitu agaknya antara kata-kata sinis yang sering terpacul daripada bibir umum tatkala menyaksikan Toyota Celica itu mengangkut Shamsul ke hulu ke hilir.

Tidak mahu dikeji menumpang kesenangan keluarga, Shamsul menggunakan wang hasil titik peluhnya dek ‘mengidam’ kereta itu pada tahun 2005.

“Terpulang pada masyarakat hendak cakap. Saya sanggup keluarkan belanja untuk memiliki kereta ini tanpa menggunakan duit bapa.

“Saya tidak pernah marah kalau orang ingin kata buruk kepada saya. Kalau jadi mereka pun, pasti saya akan cakap benda sama juga,” akui Shamsul.

Sanggup tidur dalam kereta.

Mengimbas kembali momen indah saat pertama kali melihat kereta tersebut, kata Shamsul, dia berasa seronok dapat menatap mobil yang dianggap pengarang jantung hatinya.

“Kerana terlampau gembira tengok Toyota Celica itu, saya rasa macam hendak tidur sahaja dalam kereta,” ungkapnya sambil tertawa kecil.

Anak kedua daripada empat beradik ini teruja kerana penat-lelahnya sebagai pengarah muda walaupun masih terlalu mentah akhirnya berhasil dan memperlihat kejayaan kecil.

“Daripada sekadar bantu produksi keluarga sehingga menjadikan bidang ini sebagai kerjaya, saya boleh lihat perkembangan positif dengan kemunculan kereta ini,” luah Shamsul jujur.

Berhabis sebanyak RM20,000Kalau sudah memandu kereta buatan negara luar, mahu tidak mahu si pemandunya terpaksa mengeluarkan banyak belanja membeli kelengkapan kenderaan ini.

Rata-ratanya bukan murahan, malah ia sukar dicari di kedai-kedai peralatan kereta biasa.

Shamsul bagaimanapun menganggap ‘hayat’ sesebuah kereta bergantung kepada pemiliknya.

Asalkan dibelai mesra dan diberi sepenuh kasih-sayang, ia sudah cukup memadai. Tidak banyak onar akan ditimbulkan oleh jentera berkenaan.

“Alhamdulillah, kereta ini begitu serasi dengan saya, malah tidak perlu berhabis banyak duit untuk membeli alat ganti Toyota Celica.

“Saya ada juga meminta bantuan teman-teman rapat untuk mencari peralatan gantian untuk mobil ini.

“Saya berkira sedikit, kalau boleh mahukan barangan berkualiti tetapi dengan harga rendah,” akui Shamsul tanpa berselindung.

Terus memberikan pendapatnya, kata Shamsul, Toyota Celica ini sudah ‘dilahirkan’ dalam rupa yang menawan tanpa perlu diubahsuai bentuk dalaman mahu pun luarannya.

“Saya tidak perlu tukar apa-apa pada rekaan asalnya. Ia dijadikan dalam keadaan eksklusif tanpa sebarang perubahan besar perlu dilakukan ke atasnya.

“Saya lebih pentingkan keselesaan semasa memandu. Lalu saya pilih jenis automatik supaya senang dibawa ke mana-mana.

“Begitu pun, ada sedikit pertukaran yang saya lakukan seperti bumper, rim dan sistem audio bagi menambah ‘seri’ pada kereta ini,” katanya.

“Saya mencantikkannya sedikit demi sedikit. Paling diingati apabila saya peruntukkan RM6,000 untuk ganti rim dan tayar.

“Kalau diteliti memanglah tidak munasabah, tapi saya buat juga disebabkan minat,” ungkapnya.

Ditanya jumlah yang dikeluarkan dari poketnya untuk keseluruhan ‘pembaikan’ Toyota Celica itu setakat ini, Shamsul menjawab: “Saya habis sebanyak RM20,000 dalam tempoh tiga tahun.”

Ehem! Boleh tahan juga kosnya.

Belajar daripada pengalaman

Menyedari kesilapan lepas yang tidak mungkin terpadam daripada ingatan, beritahu Shamsul, sebelum ini dia tidak menekankan soal penjagaan terhadap kenderaannya itu.

Baginya, asalkan dapat membawa ke destinasi yang ingin dituju, ia benar-benar sudah menggembirakan tuan punya badan.

“Sikap sambil lewa terhadap Toyota Celica itu akhirnya membawa padah.

“Apa tidaknya, kereta saya mula meragam setelah enjinnya selalu diabaikan. Memanglah rasa sedih dan kecewa.

“Sebelum ini, saya hidupkan enjin dan segera meninggalkan rumah. Kini, saya akan memanaskan enjinnya terlebih dahulu sebelum bergerak.

Enggan kejadian sama berulang, Shamsul nekad menjaga buah hati pengarang jantungnya dengan sebaik mungkin.

Minat sukan drift

Naluri muda membara di dada Shamsul sama seperti jejaka lain. Menggemari sukan yang menyerapkan gaya pemanduan dengan beberapa teknik dan tindak balas logikal memang menjadi trend masa kini..

Mengakui dia bukanlah ‘gila’ drift, namun minat terhadap sukan ini tetap ada dan terus mekar di hatinya.

“Saya memang minati drift, malah saya tidak mahu melepaskan peluang kalau ada acara yang melibatkan sukan seumpama ini.

“Kalau diberi peluang saya mahu belajar. Malangnya hingga hari ini saya belum ada masa.

“Kalau ada waktu terluang, apa salahnya saya pelajari selok-belok drift kan?” Tanya Shamsul yang berharap agar impiannya menjadi kenyataan kelak.

Powered by Kosmo

One Response to “Kereta Anak Jutawan”

  1. ramli muhamad December 23, 2010 at 12:27 AM #

    a’kum shamsul..boleh ambil saya berlakon tak.?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: