Padah Kenakalan Edison

28 Feb


TERIMA hukuman. Karier seni Edison Chen tamat sebelum waktunya impak nafsu serakah kejantanan dirinya.

SKANDAL ‘nakal’ yang dilakukannya telah mendominasi muka depan surat khabar, majalah dan tajuk utama berita sepanjang bulan Februari ini tidak kira di Hong Kong mahupun negara luar.

Kontroversi ini telah mengejutkan orang ramai dan menimbulkan polemik mengenai moraliti seksual.

Memang tidak disangkal, insiden foto bogel dan adegan ranjang yang disebarkan di internet bukan satu perkara baru terutamanya jika ia melibatkan artis.

Jika di Hollywood, ramai yang menggunakan peluang ini untuk mempopularkan diri.

Namun, senarionya berbeza apabila skandal sebegini berlaku di Hong Kong. Apatah lagi ia melibatkan selebriti wanita yang selama ini memikul imej ‘suci’.


SKANDAL Cecilia dan Edison mengoncang rumah tangganya.

‘Watak’ utamanya adalah Edison Chen Kwoon Hei, 27, dan apa yang mengejutkan peranan ‘sampingan’ itu bukan dipegang oleh seorang tetapi beberapa aktres termasuk Gillian Chung Yan Tung (salah seorang anggota kumpulan Twins), Bobo Chan Man Woon (perkahwinannya terpaksa dibatalkan akibat insiden ini) dan Cecilia Cheung Pak Zhi (suaminya Nicholas Tse meminta cerai tetapi ditentang oleh ayahnya).

Semuanya bermula dengan pendedahan gambar bogel pertama bersama Gilian dipaparkan di internet pada 27 Januari lalu. Gambar kedua bersama Bobo Chen muncul di internet keesokannya.

Pada 29 Januari, gambar ketiga dipaparkan dengan kualiti lebih jelas yang dikatakan merupakan Cecilia Cheung. Manakala gambar teman wanita terkini Edison, Vincy Yeung, 18 tahun yang sedang mandi juga dipaparkan.

Dia merupakan anak saudara kepada Pengerusi Emperor Entertainment Group, Albert Yeung. Seminggu kemudian, dua lagi gambar dipaparkan dan satu daripadanya adalah Rachel Ngan Wing Sze.

Dua lagi artis yang terlibat adalah Mandy Chen Yu Ju dan Candice Chan Si Wai.

Sembilan orang ditangkap atas kesalahan mengedarkan gambar-gambar tersebut dan skandal ini telah menjadi kes polis menjelang 12 Februari.

Menurut laporan polis, komputer riba Edison telah dihantar untuk dibaiki dan dianggarkan sebanyak 1,300 keping gambar dengan pelbagai selebriti wanita (dilaporkan 14 orang selebriti) telah disalin pekerja kedai itu tanpa pengetahuan Edison.

Kesemua gambar itu dilaporkan diambil di sekitar tahun 2003 hingga 2005.

Walaupun gambar tersebut adalah hak milik peribadi Edison, seorang rakan rapat Edison mendakwa artis itu mempunyai hobi merakamkan gambar semasa melakukan seks dan menunjukkannya kepada rakan-rakan rapatnya.

Ekoran kes ini, lebih 100 polis dihantar untuk menyiasat dan melindungi Edison.

Ini menimbulkan rasa marah masyarakat Hong Kong kerana mereka menganggap ini adalah pembaziran tenaga pekerja.

Namun, pihak polis terpaksa berbuat demikian kerana terdapat khabar angin yang menyatakan kumpulan kongsi gelap telah menawarkan HK$500,000 (RM250,000) kepada mereka yang berjaya memotong tangan Edison. Menurut laporan media, bapa saudara Vincy, Albert mengupah gangster untuk melakukannya kerana maruah keluarga.

Maka, kawalan keselamatan terhadap Edison adalah penting terutamanya semasa dia pulang dari Boston untuk menjalankan sidang media. Selepas pendedahan gambar kelapan, Edison meninggalkan Hong Kong secara senyap ke Boston untuk menemui Vincy.

Dia mendiamkan diri sehinggalah 4 Februari apabila muncul menerusi rakaman klip video selama 90 saat untuk memohon maaf.

Gillian tampil meminta maaf


GAMBAR bogel Gillian yang dirakam Edison merupakan yang paling awal tersebar di internet.

Aktres jelita, Gillian Chung, 27, merupakan mangsa pertama yang muncul di khalayak ramai dan meminta maaf terhadap orang sekelilingnya dan sesiapa sahaja yang kecewa akibat perbuatannya. Namun, dia tidak memberi sebarang kenyataan mengenai gadis di dalam gambar tersebut.

“Masa itu saya masih naif dan ‘bodoh’. Dan kini saya sudah dewasa. Saya berjanji untuk bekerja keras dan bertindak positif selepas ini,” kata Gillian pada 11 Februari lalu.

Sidang media itu mengundang perasaan yang pelbagai daripada media dan orang umum. Ada yang memuji keberaniannya dan ada juga yang menyatakan dia tidak ikhlas.

Apa tidaknya, dia pernah menimbulkan isu pada tahun 2006 apabila gambarnya menukar baju semasa menjalankan konsert di Genting Highlands, Malaysia dirakam secara curi.

Gillian juga dilaporkan pernah cuba untuk membunuh diri. Konsert Twins yang sepatutnya dijadualkan pada 12 hingga 16 April terpaksa ditunda sehingga bulan September nanti gara-gara isu ini.

“Insiden ini telah mencederakan saya dan orang sekeliling saya. Dan saya ingin berterima kasih kepada syarikat, keluarga dan kawan saya atas sokongan mereka.

“Saya menyesal dengan impak insiden ini,” tambah Gillian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh satu lagi anggota kumpulan Twins, Charlene Choi.

Giliran Edison memohon maaf

Pada 21 Februari, Edison pulang ke Hong Kong selepas ‘bersembunyi’ selama sebulan di Boston untuk mengadakan sidang media yang dinanti-nantikan. Dan kesemua kenyataannya dilakukan dalam Bahasa Inggeris.

“Saya mengaku bahawa kebanyakan gambar yang disebarkan dirakamkan oleh saya. Namun, gambar-gambar itu adalah sangat peribadi dan tidak bertujuan untuk ditunjukkan kepada sesiapa.

“Gambar itu telah dicuri daripada saya secara haram dan disebarkan tanpa pengetahuan saya,” tegas Edison.

Walaupun tidak mendedahkan identiti wanita di dalam gambar, dia bagaimanapun meminta maaf terhadap mereka.

“Saya ingin meminta maaf kepada semua wanita dan keluarga mereka atas kontroversi yang berlaku. Paling penting saya ingin meminta maaf terhadap orang Hong Kong secara ikhlas.

“Saya tahu ramai orang muda di Hong Kong menjadikan saya idola mereka dan saya menyesal kerana gagal menjadi contoh yang baik kepada mereka,” ujar Edison.

Dia juga memberitahu bahawa dia akan bersara daripada dunia hiburan Hong Kong.

“Semasa menyepikan diri, saya telah membuat keputusan yang penting. Saya telah menjalankan tanggungjawab saya setakat ini dan akan meninggalkan industri hiburan Hong Kong.

“Saya telah membuat keputusan untuk memberi peluang kepada diri saya untuk ‘berubat’ dan mencari jiwa sendiri.

“Saya berharap anda semua akan memberi saya satu peluang dan akan menghabiskan masa selama beberapa bulan ini untuk melakukan kerja-kerja amal serta kebajikan,” ujarnya.

Walaupun sidang media itu dihadiri oleh beratus-ratus wartawan, jurugambar dan jurukamera, Edison bagaimanapun tidak menjawab sebarang soalan yang dikemukakan.

Tawaran ditarik semula

Pada 5 Februari, Edison ditawarkan sebagai salah seorang pelakon dalam filem Stephen Chow, Jump. Bagaimanapun tawaran itu ditarik semula akibat skandal tersebut. Filem ini dilaporkan bakal menemui penonton pada 1 Mei dan kini terpaksa ditunda tayangannya ke 10 Oktober depan.

Lima hari kemudian, syarikat kad kredit, Manhattan Titanium dilaporkan telah menarik semula iklan yang memaparkan wajah Edison.

Merupakan antara artis yang mengaut keuntungan besar, Edison dilaporkan dibayar HK$10 juta (RM4.13 juta) tahun lalu untuk kerja seninya dan juga sebagai jurucakap produk seperti Pepsi, Levi’s, Jacobs & Co, Samsung dan EPS.

Edison menerima lebih HK$2 juta (RM826,000) tahun lalu untuk merakamkan suaranya bagi filem Shrek the Third versi Kantonis.


MASYARAKAT Hong Kong tidak dapat menerima kesalahan moral melampau yang dilakukan oleh Edison.

Aktor ini juga pernah berlakon dalam filem Hollywood, The Grudge 2 dan bakal disaksikan menerusi filem Batman terbaru, The Dark Knight. Dia juga dikatakan akan meminta HK$400,000 (RM165,000) untuk persembahan nyanyiannya selama 20 minit.

Daripada insiden ini, rasanya semua pihak perlu menerima kesannya kerana semua gambar ini diambil secara rela. Dan Edison sendiri juga tidak berniat untuk menyebarkan gambar-gambar ini. Jadi kepada mereka yang mempunyai tabiat yang sama, jangan sesekali membaiki komputer anda secara sembarangan!.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: