15 Tahun Yang Utuh

16 Feb

Oleh MALIAH SURIP

KALA teman seangkatannya ada yang hilang dibawa masa, Amy Mastura masih utuh di situ. Perjalanan kariernya masih beralun cantik dan kemas. 15 tahun menjadi seorang anak seni bukanlah satu jangka masa yang singkat.

Sementelah sudah banyak yang keluar masuk industri dan merasa betapa hiburan bukan sekadar padang untuk menjadi glamor. Tetapi penyandang status pelakon, model dan penyanyi ini masih kejap menjalani kehidupannya sebagai seorang anak seni.

Malah 15 tahun menyelusuri perjalanan yang selalu diperhatikan khalayak ini, Amy juga mampu menjalaninya dengan baik. Tidak pernah mendengar anak kelahiran Ipoh, Perak ini dicemuh kerana perlakuan mahu pun penampilannya.

Sekali pun dirinya tidak pernah dijentik dengan gosip nakal yang selalu menjadi rencah utama industri ini. Tetapi kebanyakan cerita yang dipaparkan media hanyalah mengenai kejayaan, kebaikan dan kesungguhan seorang Amy dalam melayari dunia hiburan.

Saat ditanya apakah rahsia kejayaan dia teguh tanpa sebarang cerita nakal selain utuh bertahan dalam pasaran industri yang selalunya gelap, ibu kepada dua cahaya mata ini hanya tersenyum manis. Jujur Amy, dia sendiri tidak mengetahui rahsia yang dipakainya.

“Saya tak ada pakai rahsia. Tapi saya jalani kerjaya saya dengan ikhlas dan tidak melihat pekerjaan saya sebagai satu yang glamor. Saya sendiri tak anggap diri saya artis. Saya hanya seorang Amy Mastura yang biasa sahaja,” ujar Amy sedikit serius.

AMY tiada masalah membahagikan waktu untuk berlakon dan menjaga rumah tangga.

Tambah Amy lagi, sudah menjadi kebiasaan dalam keluarganya untuk tidak mengendahkan statusnya sebagai seorang artis. Suami tercinta, Alvin Tham Suffian dan dua buah cinta mereka, Adriana dan Adalia tidak pernah teruja mempunyai seorang artis sebagai rakan kongsi di rumah mereka.

Begitu juga keluarganya. Kata Amy: “Memang tak ada sesiapa pun yang kisah saya ini artis atau tidak. Kadang-kadang mereka lebih suka menonton bola atau kartun daripada menonton persembahan saya di kaca televisyen.”

Beritahu penyanyi yang kini popular dengan lagu Cinta, dia sendiri tidak dapat membayangkan jika tiba-tiba satu hari nanti dirinya disentuh gosip yang menyakitkan. Dia tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengannya, jujur Amy lagi.

“Entah saya tak dapat bayangkan macam mana nak berhadapan dengan gosip atau kontroversi. Dan ada ke orang nak buat isu kontroversi pasal saya?”, soalnya pula dalam tawa.

Bukan mimpi bintang

Mengintai sedikit perjalanan kerjayanya sebagai seorang penyanyi, Amy yang secara tidak sengaja menjadi bintang pop lewat kemenangannya dalam pertandingan Asia Bagus lebih 10 tahun menjalaninya dengan baik.

Malah katanya, dia pun tidak bermimpi untuk kekal menjadi anak seni yang telah meletakkan diri seorang bekas pramugari kepada seorang bintang yang dikenali.

Percubaan debut pertama yang dihasilkan pada tahun 1994 dengan judul Amy Mastura memperkenalkan dirinya ke mata khalayak.

Kemunculan Pujaanku dua tahun kemudian melonjakkan namanya sebelum Puteri (1997), Puteri Impian II (1998), Bintang Hati (2000) dan Akan Datang (2002) termasuk Lebih Baik yang dilancarkan dua tahun lalu mengukuhkan empayar Amy Mastura.

Sehingga kini, duta Slim World ini telah memiliki tujuh buat album yang semuanya sukses di pasaran.

Sementara dalam bidang lakonan juga, Amy sukses sebagai seorang pelakon yang tidak pernah gagal membawa karakter yang diberikan kepadanya.

Lihat sahaja aksi lucu dan bersahajanya dalam siri filem Puteri Impian, penampilan penuh cemas dalam Trauma mahu pun kenaifannya dalam telemovie Toll Gate Girl. Semuanya dijalani dengan begitu sempurna.

Lantas apa lagi yang dimahukan oleh seorang bintang yang sudah punya nama sepertinya dalam catatan kalendar 2008 ini?

Agenda 2008 yang realiti

Satu persatu duta jam tangan mewah Omega ini menyenaraikan agenda kerjayanya tahun ini. Pertama, jelas Amy dia sedang mengumpul material untuk album terbarunya. Dalam masa yang sama, dia sedang memperkemaskan kerjanya dalam bidang lakonan. Kerana kata Amy, kedua-dua bidang ini adalah mata pencariannya yang kekal buat masa ini.

“Saya bukan orang yang mempunyai cita-cita menggunung tinggi. Tapi saya percaya rezeki akan selalu hadir bila kita usaha, tidak terlalu mengharap dan ikhlas dengan apa yang kita buat,” katanya.

Saat ditanya bagaimana dia berhadapan dengan senario penjualan album yang teruk selain kemunculan banyak muka baru, Amy tersenyum manja – memang selalu dia begitu.

Beberapa detik kemudian dia menjawab, manusia harus hidup dalam dunia realiti dan menerima peredaran zaman.

“Saya sudah pernah lalui zaman naik dan album dijual dengan banyaknya sekitar tahun 90-an.

Tetapi sekarang, saya kira semua artis pun tahu pasaran album kita memang kurang memberangsangkan.

“Apa yang kita boleh lakukan? Pada saya kita perlu reda dan mengikut aliran zaman. Namun percayalah, seperti yang saya katakan tadi, rezeki akan selalu ada bila kita usaha dan ikhlas. Jadi tidak perlu terlalu risau.

“Untuk tahun ini, sementara menanti waktu masuk studio, saya jalani dahulu dunia lakonan yang ada di depan mata,” katanya yang kini terlibat dengan projek drama Detektif Cinta dan Lima Jingga oleh Doubel Vision untuk 8TV dan Astro.

Dari segi kehidupan peribadi pula, jujur Amy, dia dan suami selesa dengan keluarga kecil yang mereka miliki sekarang. Namun dia tidak menolak jika ditakdirkan Tuhan untuk menimang seorang lagi cahaya mata pada bila-bila masa.

Kerana beritahu Amy, keseronokan menjadi ibu dan suri rumah tidak akan pernah terhenti.

Sementelah melihat anak-anak membesar dan keletah lucu mereka, selalu membuat dirinya merasa dialah wanita yang paling bahagia.


KELUARGA bahagia Amy, Alvin, Adriana (belakang) dan Adalia.

Powered by Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: