Juhara Ayob – Antara Drama Dan Teater

31 Jan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

JUHARA AYOB.

AGAK lama juga tidak kedengaran sebarang berita mengenai pelakon dan aktivis teater terkenal, Juhara Ayob.

Malah, wajahnya kini juga agak kurang muncul di kaca televisyen menerusi drama tempatan yang sebelum ini begitu sinonim dengan dirinya.

Salah satu drama lakonannya, Cinta Si Penggali Kubur pernah memberikannya pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Aktres Pembantu Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2004.

Ketika bertemu dengan Juhara Ayob pada sidang media teater Nyonya di Istana Budaya baru-baru ini, Juhara menjelaskan, keadaan yang tidak begitu mengizinkan serta waktu yang terhad membuatkan dirinya ‘menjauhkan diri’ seketika dari dunia lakonan drama.

“Saya tidak pernah merajuk dengan dunia lakonan tetapi kerana masa ini, saya sedang melanjutkan pelajaran saya di peringkat ijazah dalam bidang seni persembahan drama di Universiti Malaya.

“Bukan itu sahaja, saya juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Mak Yong di Aswara. Disebabkan itu, saya terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan drama saya,” jelas isteri kepada pengarah drama terkenal, Fairuz Loy ini lagi.

Menjadi isteri, ibu, pelajar, tenaga pengajar dan pelakon dalam masa yang sama menuntut dirinya melakukan pengorbanan yang besar dalam hidupnya.

“Saya kena pandai menguruskan waktu dan disebabkan itu, saya mempunyai jadual waktu agar saya tidak tersasar dan dapat melakukan perkara dengan teratur.

“Menyambung pelajaran saya pun kerana memikirkan anak-anak saya sudah semakin besar dan saya juga mempunyai pembantu yang boleh diharapkan untuk menjaga anak-anak saya,” katanya yang pernah menerima Anugerah Seni Negara bagi kategori Bakat Muda (Pelakon) pada tahun 2006 ini lagi.

Tambahnya, dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya juga adalah kerana sebelum ini, dia begitu sibuk dengan dunia lakonan dan kehidupannya sebagai isteri serta ibu menyebabkan cita-cita murninya itu terpaksa ditangguhkan seketika.

Teater lebih puas

Dengan jujurnya, wanita berusia 37 tahun ini memberitahu, pentas teater lebih memberikan kepuasan buat dirinya berbanding drama kerana teater menuntut disiplin menerusi latihan yang berpanjangan.

“Bukan berlakon drama itu tidak memberikan kepuasan kepada saya, tetapi selepas kita menghafal skrip dan bersedia untuk memberikan lakonan yang baik, ada kalanya kita diganggu oleh keadaan sekeliling yang tidak mampu dielakkan.

“Dengan itu, ia sedikit sebanyak menjejaskan mood seseorang pelakon itu. Berbanding teater, apabila latihan dilakukan untuk satu tempoh yang agak lama, ia menjadi sebati dengan diri kita dan seterusnya, kita mampu memberikan yang terbaik,” kata ibu kepada Nurul Imanina, tiga tahun dan Mohd. Fawwaz, sembilan bulan.

Tidak sabar beraksi dalam Nyonya

Teater Nyonya yang bakal dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya bermula 20 Februari depan menyaksikan kali ketiga Juhara Ayob beraksi dalam pementasan berkenaan.

Kali pertama, sewaktu dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) pada tahun 2004, dia memegang watak sebagai Keponakan B manakala Tania Zainal memegang watak utama iaitu Nyonya. Namun, pada pementasan Nyonya kali keempat di Taman Budaya Pumpong, Alor Setar pada tahun lalu, watak utama itu diberikan kepada Juhara.

Juhara turut menjelaskan setakat ini, dia tiada masalah untuk membawakan watak itu kerana tiada jurang perbezaan yang besar untuk watak Nyonya dalam naskhah karya Wisran Hadi itu berbanding sebelumnya.

“Setelah latihan dijalankan, saya serasi dengan watak itu dan tiada masalah untuk saya bawakan watak Nyonya ini. Keserasian antara saya dengan pelakon lain seperti Khatijah Tan, Melissa Saila dan Tania Zainal memang sudah lama wujud memandangkan kami sering berlakon teater bersama.

“Bukan itu sahaja, kami juga akan memberikan tunjuk ajar dan memberikan pandangan bagi memantapkan lagi lakonan masing-masing,” katanya.

Selain itu, Nyonya turut menampilkan satu-satunya pelakon lelaki iaitu Zaifri Husin yang memegang watak Tuan di samping pelakon dari Indonesia Yanie Mae yang akan membawakan watak Isteri.

Teater Nyonya yang diarahkan oleh Rosminah Mohd. Tahir ini akan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula 20 Februari ini. Tiket-tiket berharga RM20, RM30 dan RM50 kini sudah pun mula dijual.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-40265558 ataupun layari laman web http://www.istanabudaya.gov.my.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: