Cinta Hati Baru Shahirah, Ijoy

30 Jan

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


KESIBUKAN sebagai artis tidak pernah menjadikan Shahirah lupa kepada tanggungjawab sebagai ibu.

TATKALA menjejakkan kaki di laman kediaman pelakon dan pengacara terkenal Sharifah Shahirah untuk menghadiri majlis cukur jambul anaknya, Airra Zulkifli, terdengar suara-suara merdu orang sedang menyanyikan lagu-lagu marhaban.

Dipenuhi dengan gabungan warna putih dan merah jambu di dalam dan luar kediaman termasuklah pelamin ala-ala pengantin yang ditaja khas oleh Inspirasi Frara, pasti ia dijadikan sebagai warna tema pada majlis tersebut.

Sambil lagu-lagu marhaban dinyanyikan oleh Kumpulan Artis Wanita Negara (Kawan), ibu yang berusia 34 tahun ini dilihat sedang asyik membuaikan anaknya di atas pelamin.


MAJLIS cukur jambul cahaya mata baru Shahirah dan Ijoy berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan.

Pada masa yang sama ibu mertuanya, Datin Maria Arshad pula sibuk menguruskan majlis dengan mengagihkan buah tangan kepada tetamu yang hadir.

Bergelar selebriti tidak bermakna Shahirah melupakan akar diri, bahkan sudah menjadi tradisi keluarganya meraikan setiap ahli baru dengan amalan yang dituntut oleh agama Islam.

Untuk Airra, Shahira dan keluarganya tidak mahu berlengah lagi memperkenalkan si kecil itu dengan ritual pertama sebelum mengenal dunia.

WAJAH Airra si permata hati.

Justeru, kenduri cukur jambul dibuat khusus untuk bayinya yang baru sahaja melepasi usia dua bulan.

Majlis turut disambut sebagai majlis kesyukuran kerana melahirkan anaknya dengan selamat dan sempurna.

Tidak seperti sebelum ini, Shahirah terpaksa berdepan dengan dugaan apabila mengalami keguguran dalam kandungan berusia enam bulan.

“Perasaan saya waktu itu, sedih dan sangat perit. Tapi nak buat macam mana, bukan rezeki saya,” ujar Shahirah yang menamakan arwah bayinya, Ali Zulkifli.

Bercerita tentang permata barunya Airra pula, jelas kelihatan si ibu dan suaminya (Ijoy) menjaga permata baru mereka bagai menatang minyak yang penuh.

Sehinggakan si suami sanggup tidur di atas lantai demi keselesaan anak dan isterinya.

“Kami terpaksa menahan mata untuk menjaga Airra di tengah malam. Ibu saya, Sharifah Zubaidah dan mentua (Maria Arshad) turut menjaganya dan pada masa yang sama, menjaga saya ketika dalam pantang.

“Belum sempat keluar hospital lagi, ibu mentua saya dah bawakan nasi panas dan lada hitam untuk dimakan serta badan saya turut dibengkung,” katanya yang mengamalkan berpantang cara tradisional sepanjang tempoh tiga minggu selepas bersalin.

Dia juga diurut oleh neneknya, Esah, 79, sambil bermandi tujuh jenis bunga untuk menaikkan serinya kembali.

Menceritakan saat-saat melahirkan Airra, pengacara popular Gedik Santai ini terpaksa berdepan dengan sedikit masalah.

Doktor terpaksa membuat keputusan untuk melahirkan anaknya dengan cara pembedahan.

“Sementara menunggu doktor, akhirnya saya melahirkan anak saya sendiri tanpa perlu dibedah,” ujarnya sambil mengangkat kedua-dua tangannya tanda bersyukur.

Menyentuh mengenai kerjaya seninya, biarpun telah bergelar ibu kepada tiga orang anak, Shahira mahu mengekalkan ‘periuk nasinya’ dengan berlakon dan mengacara sehingga ke akhir hayat.

“Darah seni sudah mengalir dalam diri. Tidak mungkin saya akan berhenti daripada dunia saya ini,” ujarnya yang ingin membawa dunia lakonan seiring dengan usianya seperti pelakon M.Rajoli, P. Ramlee dan Azean Irdawaty.

Popular dengan drama bersiri Mat Despatch suatu ketika dulu, walaupun dia dan Ijoy sibuk dengan penggambaran masing-masing, mereka tetap menjadikan anak-anak sebagai perkara nombor satu mereka.

“Saya mengambil inisiatif untuk berlakon di sekitar Kuala Lumpur (KL) sahaja. Untuk pengacaraan pula, saya tidak kisah untuk ke luar KL, tetapi saya akan pergi dan balik hari saja,” jelasnya yang akan berlakon sebuah drama bersiri pada bulan hadapan di bawah arahan Opie Zami bersama suami dan anak-anak di rumahnya sendiri.


KEHADIRAN Airra membawa lebih kebahagiaan kepada pasangan ini.

Di samping suami tercinta dan dikelilingi dua lagi cahaya mata, Alisya Tahir, 10, dan Airell Zulkifli, 3, serta kaum keluarga yang lain, sudah cukup membahagiakan Shahirah ketika ini.

Sambil mendukung Airra, jelas dilihat rumah tangganya semakin bersinar dengan kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarganya.

Ketika ditanya, tidakkah dia teringin untuk menambahkan bilangan keluarganya, sambil tersenyum, Shahira berkata: “Belum terfikir lagi buat masa ini. Biar anak saya membesar dengan jagaan yang sempurna dan pada masa yang sama saya ingin fokuskan kembali kerjaya saya,” katanya.

Dalam pada itu, perasaan takut turut diselubungi untuk menambahkan bilangan anak kerana bimbang dengan gejala sosial yang semakin tidak boleh dibendung lagi.

Sementara itu pelakon yang berasal dari Raub, Pahang itu berkata, dia tidak kisah jika anak-anaknya mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

“Saya tidak kisah. Jika mereka ada bakat dan minat, saya tidak akan melarang.

“Lagipun, banyak iklan kanak-kanak yang telah dilakonkan oleh kedua-dua anak saya. Terpulang pada mereka sama ada mereka mahu menceburi bidang ini atau tidak,” jelasnya yang sedar bahawa anak-anaknya turut mengikut jejak langkahnya dan Ijoy.

Powered by Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: