Semangat Atlet Paralimpik

24 Jan

Walaupun kehilangan ramai atlet, pengadil dan jurulatih, namun semua itu bukan halangan kepada rakyat Iraq menyertai Sukan Paralimpik 2008 di Beijing.


PEMAIN tenis paralimpik, Suhair Abdul Amir (kanan) giat menjalani latihan sebagai persediaan ke Sukan Paralimpik 2008 di Beijing, China.

FAKHER AL-JAMALI telah kehilangan sembilan atlet, pengadil dan jurulatih dalam insiden pengebom berani mati dan tembak-menembak oleh radikal Islam dan tentera Amerika syarikat (AS).

Kematian mereka telah menjadikan Sukan Paralimpik 2008 di Beijing, bagi beliau sebagai lebih daripada hanya satu acara sukan.

“Kami akan membawa mesej kasih sayang dan keamanan kepada masyarakat dunia dengan menyatakan bahawa Iraq menyintai kehidupan, keamanan dan ingin hidup dengan aman.

“Kami juga bertekad untuk meneruskan hidup sungguhpun kehilangan abang-abang kami,” kata Fakher, Setiausaha Agung Jawatankuasa Paralimpik Iraq.

Kematian dan ugutan pengeboman, sedikit pun tidak menghentikan langkah 31 atlet mencari arah dari rumah mereka ke pusat latihan di Baghdad untuk sesi latihan sebanyak tiga kali bagi persediaan mereka ke Sukan Paralimpik, yang akan diadakan selepas temasya Sukan Olimpik pada bulan Ogos ini.

Mereka perlu bertahan bukan sahaja terhadap keganasan tetapi juga hidup dalam sebuah komuniti yang menawarkan sedikit, jika ada, perkhidmatan khas untuk mereka yang kurang upaya.

“Saya telah melawat 66 buah negara dan di kesemua negara itu, mereka yang kurang upaya boleh bergerak tanpa bantuan kerana perkhidmatan khas yang disediakan,” kata Fakher.

Tambah beliau, “Malangnya Iraq telah terlibat dalam perang-perang yang bodoh dan mempunyai tiga juta penduduk yang kurang upaya. Peralatan khas yang diperlukan untuk golongan ini amatlah sedikit.”

Fakher berkata, salah seorang atlet yang terbunuh sejak pencerobohan yang diketuai AS pada tahun 2003 ialah Qassem Matar, yang bermain bola gol, satu permainan berpasukan yang telah direka untuk peserta buta.

Beliau berkata, Ibrahim Abdullah yang melatih pasukan bola keranjang berkerusi roda juga telah terbunuh oleh tentera AS.

Pada bulan Julai 2006, Ketua Jawatankuasa Olimpik Iraq ketika itu, Ahmed al-Hadjiya dan kira-kira 30 kakitangan sukan lain telah diculik dari sebuah dewan di Baghdad. Kebanyakan daripada mereka tidak pernah ditemui.

Pada bulan Jun, mayat reput sekurang-kurangnya 13 ahli pasukan taekwondo Iraq telah ditemui selepas lebih setahun mereka diculik di kawasan kuat al-Qaeda, selatan Baghdad.

Semasa hampir lima tahun peperangan dan pertumpahan darah berdasarkan puak, sukan telah menyebabkan rakyat Iraq untuk buat sementara waktu, melupakan perbezaan mereka untuk mewujudkan pasukan bola sepak kebangsaan dalam kempen kejayaan mereka memenangi Piala Asia 2007.

Atlet-atlet paralimpik Iraq juga tidak asing kepada kejayaan – pada temasya paralimpik Athens 2004, dua pengangkat berat telah memenangi pingat perak dan gangsa.

Namun, kekurangan peralatan latihan dan kemudahan telah menyukarkan lagi cabaran yang akan dihadapi di Beijing, kata Fakher.

“Kami tidak mempunyai sebarang bas untuk membawa atlet-atlet ini dari rumah mereka untuk latihan.

“Perenang kami tidak boleh berlatih semasa musim sejak kerana kolam renang akan menjadi sangat sejuk dan kami tidak mempunyai tenaga pemanas,” kata Fakher di pejabatnya yang dihias dengan gambar-gambar dirinya bersama pelakon aksi Hollywood, Jackie Chan dan atlet-atlet Iraq lain.

Pasukan olahraga Iraq berlatih di sebuah taman kecil yang terletak di luar sebuah stadium di Baghdad yang tidak mempunyai trek larian.

“Kami sengsara kerana tidak ada padang untuk kami. Infrastruktur yang diperlukan tidak ada,” kata jurulatih, Karim Mohammed, sambil berdiri di taman berlatarkan bunyi ambulans dan tembakan.

Sungguhpun demikian, dalam sebuah bilik kecil di mana pasukan ping pong berlatih untuk kejohanan yang akan datang itu, kesukaran yang dihadapi gagal mematahkan semangat tinggi di kalangan pemain-pemainnya.

“Di sebalik kesukaran yang kami dan negara ini hadapi, semangat kami tinggi dan diizinkan Tuhan, kami akan mengibar tinggi bendera Iraq,” kata Suhair Abdul-Amir, satu-satunya wanita dalam tiga pasukan kuat ke Beijing. – Reuters

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: