Anugerah Oskar 6 – Pesona Pictures, Opera Klasik Ungguli Filem Dan Telefilem

12 Nov

Oleh Norliza Mohamad Zakaria

ANUGERAH Oskar 6 yang berlangsung Sabtu lalu di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur menyaksikan kemenangan besar bagi pihak Pesona Pictures apabila meraih lapan anugerah bagi kategori filem manakala Opera Klasik Sdn. Bhd., mengungguli kategori telefilem apabila berjaya merangkul sebanyak tujuh anugerah.

Pesona Pictures mengungguli anugerah itu melalui filem Waris Jari Hantu. Sementara Opera Klasik pula melalui drama-drama arahan Rashid Sibir iaitu Tanah Kubur, Ombak Laut China Selatan dan Wali.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astamam Abd. Aziz itu membuka tirai acara malam tersebut dengan persembahan tarian yang mengasyikkan dari kumpulan Penari Kuala Lumpur menerusi lagu Asmaradana.

Majlis anjuran Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) itu mempertandingkan 56 anugerah pelbagai kategori termasuk beberapa kategori baru iaitu Anugerah Penerbit Terbaik, Anugerah Khas Juri, Anugerah Khas Oskar dan Anugerah Watak Airmata.

Shuhaimi Baba yang ditemui sejurus selesai majlis tersebut menyatakan rasa terkejutnya menyaksikan filem arahannya Waris Jari Hantu memenangi banyak kategori.

“Memang saya terkejut sebab saya sangkakan filem Anak Halal atau pun Mukhsin yang akan menang bagi kategori tersebut. Tambah mengejutkan, Rusdi Ramli juga menang pelakon filem lelaki pilihan menerusi filem ini.

“Saya bersyukur dengan kemenangan yang merupakan satu pengiktirafan kepada para pelakon dan warga kerja dibelakang tabir filem Waris Jari Hantu ini,” katanya.

Anugerah-anugerah yang dimenangi Waris Jari Hantu termasuklah bagi kategori Efek Visual Filem, Pereka Set Filem, Anugerah Khas Oskar 6, Aktor Filem Pilihan, Direktor Filem Pilihan, Filem Pilihan, Kostum Pilihan dan Art Direktor Filem.

Saingan Waris Jari Hantu iaitu Anak Halal terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd., pula berjaya meraih lima kemenangan termasuk kemenangan Maya Karin sebagai Pelakon Filem Wanita Pilihan.

Sementara filem The Red Kebaya terbitan L’agenda Productions pula menerima empat kemenangan.

Rashid Sibir yang ditemui pada majlis yang sama kelihatan gembira dengan kemenangan besar pihak Opera Klasik Sdn. Bhd.

Antara anugerah yang dimenangi oleh Opera Klasik Sdn. Bhd., ialah Audio Telefilem, Art Direktor Telefilem, Efek Visual Telefilem, Anugerah Khas Oskar 6, Direktor Telefilem Pilihan, Telefilem Pilihan dan Aktor Telefilem Pilihan.

Rashid juga merupakan calon tunggal yang tersenarai bagi kategori Telefilem Pilihan dan Direktor Telefilem Pilihan.

Diminta mengulas tentang kemenangan tersebut, kata Rashid; “Saya tak sangka dengan kemenangan ini. Sebab setahu saya ada 24 telefilem yang menghantar pencalonan, tetapi yang tersenarai untuk tiga yang terakhir adalah saya. Memang ini saya sifatkan sebagai sesuatu yang menakjubkan.

“Apa pun, saya bersyukur kerana ia jarang berlaku. Bagi pihak penerbit, saya ucapkan terima kasih kepada semua krew yang terlibat sepanjang pembikinan drama saya,” katanya.

Memberi mesej dan keinsafan

Ditanya tentang perancangan penghasilan projek dramanya selepas kemenangan ini katanya; “Selepas ini saya akan cuba menghasilkan lebih banyak drama yang mampu memberi mesej dan keinsafan.

“Walaupun sebelum ini ada pihak yang melabelkan saya sebagai postman kerana banyak menghasilkan drama-drama yang berbentuk nasihat, itu tidak menjadi halangan kepada saya kerana bagi saya lebih baik jadi postman daripada tidak menyumbangkan apa-apa dalam industri ini,” jelasnya.

Tambah Rashid, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menghasilkan filem berat untuk tahun 2009.

Telefilem lain yang turut memberikan saingan ialah Sebuah Ijtihad terbitan JS Pictures yang memenangi tiga anugerah termasuk Shiela Rusly sebagai Aktres Telefilem Pilihan 2007.

Shiela Rusly yang ditemui pada majlis tersebut ketika diminta mengulas kemenangannya berkata, “Saya tidak sangka boleh menang, sebab sebagai penerbit drama itu, saya turut menghantar pencalonan untuk Sofia Jane kerana watak kami berdua dalam drama itu sama kuat.

“Bagi saya Sofia lebih layak menang, bagaimanapun mungkin ini sudah rezeki saya jadi, saya bersyukur dengan kemenangan ini,” katanya.

Pemenang Aktor Telefilem Pilihan 2007, Ahmad Tamimi Siregar menerusi telefilem Wali yang ditemui pada majlis yang sama menyatakan bahawa kemenangannya adalah di luar jangkaan.

Katanya, pada awalnya dia enggan untuk menerima watak lelaki lembut dalam telefilem itu kerana bimbang akan mencetuskan pelbagai persepsi yang kurang baik.

“Bagaimanapun, setelah membaca skrip pada penghujung ceritanya, saya rasa terpanggil untuk menerimanya kerana ada mesej yang ingin disampaikan melalui watak tersebut,” jelasnya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan oleh Tria, First Edition (peserta Gang Starz), Ifa Raziah, Sheila Abdul, Saiful (Malaysian Idol), Syazliana, kumpulan Equal Star, dan Ressa Herlambang dari Indonesia.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: