Hail Amir Popular Kerana Rantai Kuku Harimau

24 Oct

OLEH KHADIJAH IBRAHIM

Hail Amir bersama keluarganya. Dari kiri menantunya Zulkifli bersama isteri Chinta Fifi dan anak mereka, Safiah Ibrahim, Hail Amir, Chinta Hailfi, Chinta Shafiyana dan Lutfi Ameer (berdiri di depan).

SELAIN suara merdunya, faktor lain yang membuat peminat tidak dapat melupakan penyanyi tahun 80-an, Hail Amir adalah kerana penampilannya. Jejaka rambut berombak, butang baju yang sentiasa terbuka di bahagian dada menampakkan rantai kuku harimaunya itu pernah menjadi pujaan ramai gadis.

Justeru ketika itu ramai jejaka yang terikut-ikut gaya Hail atau Abdul Hail Amir yang cukup popular dengan lagunya Wajah Kesayangan Hamba, ciptaan Datuk Ahmad Nawab dan lirik oleh Chuari Selamat itu.

Menurut penyanyi yang berasal dari Jelutong, Pulau Pinang itu, pembabitan awalnya dalam bidang seni suara bermula sejak tahun 60-an ketika dia menyertai kumpulan Bee Jays.

“Bee Jays bermaksud Belia Jelutong. Saya menjadi pemain gitar utama kumpulan itu dan kami sering mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan,” cerita Hail tentang sejarah awal pembabitannya dalam dunia seni.

Bagaimanapun pada tahun 1971, Hail mengorak langkah ke ibu kota untuk memulakan penghidupan baru di mana dia aktif sebagai penari Badan Budaya.

“Selain menari, saya turut menjadi penyanyi untuk kumpulan Badan Budaya. Bersama kumpulan itu saya berpeluang mengadakan persembahan di luar negara.

“Saya mendapat tawaran berlakon daripada Show Brothers setelah seorang wakil syarikat tersebut menonton persembahan saya bersama Badan Budaya.

“Saya diberi kepercayaan memegang watak hero bergandingan dengan Uji Rashid di samping Zulkifli Zain dan Yusof Haslam dalam filem Jiwa Remaja yang diterbitkan pada tahun 1976,” kata Hail menceritakan pendedahan awalnya sebagai pelakon filem.

Hail bernasib baik. Filemnya mendapat sambutan yang begitu mengalakan, sekali gus menjadikan popularitinya melonjak secara mendadak.

Ekoran itu, dia ditawarkan menjadi penyanyi oleh syarikat rakaman EMI. Album pertamanya juga diterbitkan pada tahun 1976. Album itu pun mendapat sambutan yang begitu mengalakan apabila salah satu lagunya iaitu Wajah Kesayangan Hamba muncul sebagai lagu kesukaan ramai.

Bahagia

Selepas itu, Hail muncul dengan filem Cinta dan Lagu. Lain-lain filem lakonan Hail ialah Menanti Hari Esok, Dendang Perantau dan Jaket Biru.

Kini Hail bahagia menjalani kehidupannya sebagai suami kepada Safiah Ibrahim, 50, dan bapa kepada empat orang anak iaitu Chinta Fifi, 25, Chinta Hailfi, 19, Chinta Shafiyana, 17, Lutfi Ameer, 9 serta seorang cucu, Nurjihad Joharin Zulkifli, setahun.

Walau kemunculannya kini tidak sekerap dulu, namun lagu-lagu Hail masih malar segar. Peminat lagu-lagu tahun 80-an tentu masih ingat lagu Antara Matamu dan Mataku, Merpati Dua Sejoli, Kau Datang Lagi Menganggu Fikiran Ku dan Seloka Hari Raya, duet dengan Uji Rashid.

Kesemua lagu-lagu itu pernah muncul sebagai lagu paling popular tahun 80-an.

“Saya bersyukur sangat kerana kebanyakan lagu dendangan saya masih lagi diminati hingga kini. Contohnya, lagu Seloka Hari Raya macam lagu wajib setiap kali menyambut raya. Walaupun ramai yang telah mendendangkan lagu tersebut namun orang tetap nak penyanyi asal,” kata Hail yang ditemui baru-baru ini.

Dia yang serasi dengan Uji Rashid itu sehingga kini masih lagi mengadakan persembahan bersama.

Andai Uji tidak dapat hadir, Hail akan menyanyi bersama anaknya, Chinta Hailfi atau Lutfi Ameer.

“Dulu anak sulung saya ada kumpulan tapi sejak berumah tangga dia tidak aktif menyanyi lagi. Begitu juga dengan Chinta Hailfi, sejak belajar dia jarang ikut saya melainkan Lutfi Ameer saja.

“Saya tidak memberi galakan atau melarang anak-anak untuk mengikut jejak langkah saya. Terpulang kepada mereka,” katanya terus terang.

Meskipun Hail banyak mendapat tawaran berlakon drama ketika ini namun dia lebih selesa meneruskan karier sebagai penyanyi.

Terbaru, Hail telah merakamkan semula lagu-lagu hitsnya menerusi album The Best Of Hail Amir. Album terbitan Life Records itu turut dihasilkan dalam bentuk karaoke.

Biarpun gembira diberi peluang merakamkan semula lagu-lagunya, namun jauh di sudut hatinya, kata Hail, “Saya berharap boleh muncul dengan album yang memuatkan lagu-lagu baru.”

Wajah Kesayangan Hamba

Ingin ku milik kasih

Ayu jelita

Wajah cantik berseri

Sinar cahaya

Sopan santun berbudi

Bergaya sederhana

Halus tutur bahasa

Sungguh mulia

Rambut panjang terurai

Bagai sutera

Hias bunga sekuntum

Tambah jelita

Bibir merah delima

Merdu alun suara

Penambat jiwa nan lara

Rasa bahagia

Pipi pauh dilayang

Alis matanya lentik

Sekali mataku memandang

Hati tertawan

Wajahnya mempersona

Tiada lagi tandingan

Bagai dewi menjelma

Jadi temanku

Datanglah wahai pujaan

Datang padaku

Lukisan wajah kasih

Di ruangan mata

Kalung dirimu sayang

Dengan cinta nan mesra

Wajah kesayangan hamba

Kini ku jumpa

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: