Peserta MyStarz LG Tiada Identiti?

1 Aug

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

IJAM (kiri), Nina, Tashya dan Rachel akan meneruskan perjuangan dalam peringkat seterusnya bagi merebut hadiah utama RM100,000.

TIADA identiti tersendiri dan masih terikut dengan penyanyi sedia ada! Itulah yang boleh dirumuskan daripada hasil keseluruhan konsert kelima program TV realiti terbaru terbitan TV3 dan ntv7, MyStarz LG yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, petang Ahad lalu.

Sebahagian daripada lima peserta cuba memikat hati juri dan penonton dengan lagu yang tidak kena dengan diri mereka. Ada yang terikut-ikut dengan gaya penyanyi asal.

Misalnya peserta yang bernama Khairul Hizam Kaha, 32, atau Ijam, yang memilih lagu popular kumpulan Samsons, Naluri Lelaki. Pada dasarnya, lagu itu memang sesuai dengan jiwa Ijam. Dari segi kawalan vokal dan mutu suaranya, tidak menghampakan. Namun vokal Ijam ketika menyampaikan lagu tersebut ada sedikit persamaan dengan penyanyi utama Samsons, Bams.

Hal ini diakui oleh juri jemputan iaitu Azmeer. Malah Azmeer mahukan anak muda dari Kuala Lumpur itu berusaha mencipta dan mencari identiti sendiri jika mahu terus kekal lama dalam bidang seni.

Begitu juga dengan peserta wanita muda, Rachel Wesley, 14, atau Rachel yang berasal dari Sabah. Meskipun memukau dengan vokal yang hebat ketika menyampaikan lagu popular Jaclyn Victor, Di Bawah Pohon Asmara, namun Rachel juga dilihat seakan-akan cuba mengikut gaya nyanyian Jaclyn. Namun, Rachel juga wajar dipuji kerana berjaya mencari kelainan pada persembahannya.

Azwan Ali yang menjadi juri jemputan turut memberikan komen positif apabila mengatakan Rachel mampu berdiri dan ditempatkan dengan penyanyi wanita yang sedia ada jika terus berusaha dan memperbaiki diri.

Kurang tepat

Ada juga peserta yang mahu menonjolkan identiti mereka dan lari dari muzik yang klise dan popular. Tetapi, langkah itu dilihat sebagai satu langkah yang ‘kurang tepat’.

Hal ini dapat dilihat pada peserta kegemaran, Hamiza Tashya Basir, 20, atau Tashya apabila mempersembahkan lagu Itu Kamu dendangan kumpulan Estranged. Mungkin Tashya merasakan dengan menyanyikan lagu penyanyi lelaki adalah selamat dan sesuai dengan jiwanya. Namun, Tashya juga perlu sedar untuk menjadi seorang penyanyi yang versatil, dia perlu membawakan lagu yang keluar dari zon selesanya.

Sementara itu, Shaza Marina Azmi atau Nina yang membawakan lagu Pasangan Yang Tepat dilihat tidak menunjukkan persembahan bertenaga. Jika lagu dendangan asal Marshanda itu dinyanyikan oleh Tahsya, percayalah, lagu itu akan menjadi lebih baik dan mampu memberikan impak.

Dalam pada itu, percubaan berani Andy Adrian, 25, atau Andy yang menampilkan kelainan pada persembahannya, tidak berjaya menjamin kedudukan selesa untuknya. Andy menjadi peserta keempat yang disingkirkan selepas Awang, Afif dan Mimi.

Dengan membawakan lagu M.Nasir, Tujuh Nafas, Andy dilihat tidak memberikan konsentrasi dan fokus yang penuh pada persembahannya. Dia menjadikan alasan penat kerana terlibat dengan aktiviti riadah pada hari sebelumnya sebagai faktor penyingkirannya.

Namun, pengetua MyStarz LG, Farihin Abdul Fattah menyelar alasan itu. Pada hemat Farihin, penyanyi yang bagus dan cemerlang harus menunjukkan kesungguhan walau apa yang berlaku.

Apa yang pasti, MyStarz LG boleh dianggap sebagai satu lagi produk TV realiti yang hanya melahirkan barisan penyanyi-penyanyi baru. Untuk menjadi penghibur, peserta MyStarz LG perlu tingkatkan usaha dan mencari identiti sendiri.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: