Yang Terbaik & Jelik Dari Bollywood

17 Dec

Oleh Jamliah Abdullah

APA saja acara berkaitan dengan pelakon Bollywood akan mengembalikan nostalgia. Ia seperti cerita filem dan skripnya yang sering mereka mainkan berulang- ulang kali di layar perak.

Begitu juga seminggu yang lepas tatkala banyak pelakon popular mereka berkumpul di Kuala Lumpur selama tiga hari untuk acara penganugerahan bergelar Global Indian Film Awards atau GIFA.

Suasananya memang gemerlapan kerana yang hadir adalah bintang terkenal dari industri filem yang dipuja seluruh dunia.

Namun di sebalik semua itu satu-satu perkara yang tidak berubah adalah fiil dan sikap artis terbabit.

Lewat menghadirkan diri ke acara yang dianjurkan dan sikap acuh tidak acuh semasa sidang media, itu perkara biasa.

Ia semacam satu tradisi yang tidak dapat dipisahkan.

Mana-mana wartawan yang baru mahupun lama sudah maklum dengan fiil tersebut, dari 10 tahun lepas sehingga hari ini tidak pernah berubah.

Begitu juga pihak penganjur Popcorn Entertaiment dari India dan One Big Option dari Malaysia salah percaturan apabila mereka mengadakan sidang akhbar filem Baabul pada hari pertama acara.

Sidang akhbar tersebut seharusnya menjadi medan promosi para pelakon untuk memperkenalkan filem terbaru mereka yang turut ditayangkan pada acara tersebut.

Namun agak mengecewakan apabila para pelakon filem termasuk pengarah filem itu gagal memberikan kerjasama.

Majlis sidang media di Palace of Golden Horses yang dijadualkan bermula pada 3.30 petang hanya bermula dua jam setengah kemudian.

Pengarah filem Baabul, Ravi Chopra, pelakon, John Abraham dan pengarah muzik, Aadesh Shrivastav tiba ke bilik yang sudah sesak dipenuh keluh resah pada wartawan tepat pukul 5.30 petang.

Tentu saja majlis tersebut tidak akan bermula tanpa kehadiran pelakon utamanya, Salman Khan.

Aktor itu turun 20 minit kemudian dari suite hotel itu selepas pihak penganjur mengumumkan bahawa dia akan muncul dua minit lagi.

Itu belum termasuk sikap acuh tidak acuh pelakon dan pengarah terbabit terhadap soalan wartawan yang kelihatan bersungguh-sungguh atas nama tugasan.

Ketika ditanya, apa kelebihan anugerah seperti GIFA itu, Salman menjawab, “Apa saja anugerah yang menjemput saya adalah yang terbaik.”

Sebaik saja sesi soal menjawab bermula, telefon bimbit Ravi berbunyi dan ironi sekali apabila pengarah tersebut memilih untuk menjawab.

Akibatnya karpet merah pada tayangan perdana filem Baabul di pawagam TGV Suria KLCC itu juga terlewat dua setengah jam.

Lebih menghampakan apabila banyak orang kenamaan termasuk menteri dan penaung acara sendiri itu yang sudah lama hadir harus menunggu ketibaan mereka.

Apa pun ratusan peminat yang sudah membanjiri pusat membeli-belah itu tidak hilang semangat dan terus menjadi histeria apabila menyaksikan kelibat bintang pujaan mereka termasuk Salman, John Abraham, Bipasha Basu, Arbaaz Khan, Sohail Khan, Hema Malini, Esha Deol dan beberapa lagi artis lain.

Semua tidak berakhir di situ, sebaliknya berlanjutan untuk acara lain juga termasuk malam anugerah yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada malam hujung minggu lalu.

Acara yang sepatutnya berlangsung pada pukul 8.30 malam hanya berlangsung pada 10 malam.

Begitu juga perjalanan acara yang meleret-leret menjadikan acara berlarutan sehingga pukul 2.30 pagi.

Agak mengecewakan kerana acara itu sebenarnya dihadiri oleh banyak orang kenamaan dan tetamu diraja. Apa yang jelas tiada langsung rasa hormat mereka kepada kita.

Begitu juga tidak pernah ada dalam sejarah sesuatu acara penganugerahan itu akan tertangguh selewat itu.

Dari situ sudah terbayang sikap tidak profesional mereka apatah lagi apabila mengenangkan acara berlangsung di bumi orang.

Hakikatnya pihak penganjur juga tidak peka kepada budaya dan nilai budi masyarakat setempat yang berbilang kaum.

Bayangkan untuk acara yang bertaraf antarabangsa, ada juga para pelakon termasuk hos acara masih mahu bertutur dalam bahasa Hindi daripada menggunakan bahasa Inggeris sepanjang majlis itu berlangsung.

Itu yang barangkali menyebabkan peminat terutama yang tidak tahu berbahasa Hindi terpinga-pinga.

Itu belum termasuk pelbagai aksi menggiurkan para penari yang berpakaian ala bikini di pentas. Persoalannya bagaimana mereka boleh bebas berpakaian sedemikian apatah lagi bagi acara yang turut dihadiri oleh orang kenamaan dan tetamu diraja.

Ini bukan kali pertama Bollywood membawa trofi mereka ke sini atas nama memberi peluang kepada peminat mendekati bintang ternama mereka.

Acara seperti itu juga jadi begitu relevan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saat banyak filem dari Bollywood gagal di pasaran.

Majlis anugerah itu juga dilihat sebagai peluang industri filem terbabit untuk mempertahankan empayar mereka yang semakin suram.

GIFA 2006 diusung ke luar negara dengan satu tujuan iaitu membantu menjual filem-filem dan memperkenalkan para bintang Bollywood kepada khalayak global yang kini sudah merebak ke London, Amerika Utara, Asia Barat dan Asia Tenggara.

GIFA dilancarkan pada tahun lepas di Dubai dengan inisiatif pelakon Sunil Shetty dari Popcorn Entertaiment.

GIFA 2006 penuh kejutan

PENGANUGERAH trofi GIFA ke atas penggiat filem Bollywood itu sendiri membayangkan misi tersebut.

Boleh diandaikan bahawa GIFA agak unik dan berbeza daripada kebanyakan anugerah filem Bollywood lain.

Tradisinya, dalam sesebuah anugerah, satu atau dua filem akan menguasai. Sementara yang lain sekadar menerima anugerah kecil saja.

Agak mengejutkan apabila filem yang kurang meraih perhatian seperti Corporate, Golmaal, Fight Club dan 36 China Town turut mendapat habuan masing-masing di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama filem pertaruhan besar Bollywood seperti Rang De Basanti, Lage Raho Munnabhai dan Krrish juga diangkat sebagai pemenang.

Lage Raho Munnabhai di luar jangkaan memenangi trofi filem Terbaik. Sementara pengarah Rang De Basanti, Rakeysh Omprakash Mehra pula menang bagi kategori Sutradara Terbaik.

Selain daripada anugerah teknikal hero filem Krrish, Hrithik Roshan meraih penghargaan tertinggi untuk GIFA di tengah suasana gemerlapan, penuh tari dan nyanyi.

Hrithik memenangi gelaran aktor terbaik untuk peranannya sebagai superhero dalam filem Krrish iaitu filem sains fiksyen pertama Bollywood yang menerbitkan lebih 1,000 filem setiap tahun.

Trofi sutradara terbaik jatuh ke tangan Rakeysh Omprakash lewat filemnya Rang De Basanti iaitu sebuah drama yang dibintangi aktres Alice Patten.

Alice turut dicalonkan sebagai aktres terbaik, namun gelaran tersebut menjadi milik Bipasha Basu berkat lakonannya dalam Corporate iaitu sebuah filem tentang dunia korporat yang kompetitif.

Acara anugerah tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan tari-menari daripada pelakon seperti Abhishek Bachchan, Katrina Kaif, Amisha Patel dan Salman Khan.

Bollywood tentu tidak dapat dipisahkan dengan aktor Shah Rukh Khan yang turut hadir sebagai hos.

Shah Rukh yang tercalon sebagai Aktor Terbaik tidak pulang tangan kosong apabila turut meraih anugerah Aktor Yang Paling Dicari di internet.

Sementara Priyanka Chopra menang anugerah Aktres Yang Paling Dicari di internet.

Sebanyak 24 kategori dipertandingkan dalam anugerah tersebut.

Antara tetamu diraja yang hadir adalah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, Yang di-Pertuan Besar of Negri Sembilan Tuanku Ja’afar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan isteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Turut hadir adalah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Paduka Rosmah Mansoor selaku penaung GIFA 2006.

Lebih 6,000 peminat membanjiri stadium yang dari dari seluruh negara dan negara jiran Malaysia, Singapura, Hong Kong, Indonesia, India dan Brunei.

Selain itu acara perlawanan bola sepak antara selebriti dan para menteri turut diadakan serta majlis makan malam amal.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: