Leez Gagal Tapi Bertuah

10 Dec

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Leez.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu? Memang betul tiada siapa yang tahu melainkan tuan punya badan.

Tiada siapa juga yang menyangka penyingkiran Leez semasa konsert ‘prelude’ program Akademi Fantasia (AF) yang lalu seakan-akan membuka rezeki yang luas terhadapnya.

Walaupun tidak layak menyertai program berkenaan pada peringkat berikutnya tetapi Leez mempunyai nasib yang baik berbanding rakan-rakannya yang lain.

Bukan nak mengata tetapi cuba fikirkan betul-betul, selain Faizal, kesemua pelajar AF musim keempat lalu seakan-akan tenggelam begitu saja.

Apatah lagi bagi mereka yang awal-awal lagi ditendang keluar daripada program itu. Apa jadi dengan mereka sekarang? Senyap sunyi begitu sahaja. Album tak ada, publisiti jauh sekali.

Nak mengharapkan syarikat rakaman melamar untuk merakamkan album, memang sukar untuk diramalkan kerana sekarang ini terlalu ramai artis-artis baru muncul.

Maestro Records yang bertanggungjawab terhadap bintang-bintang AF pula tentunya sibuk dengan artis-artis lain daripada mempedulikan peserta yang hanya layak di peringkat ‘prelude’ sahaja.

Apa yang boleh saya katakan, keistimewaan Leez mungkin terhadap paras rupanya. Dia gadis yang fotogenik. Wajahnya menarik dan senyumannya juga menawan.

Itu di antara ciri-ciri dan juga keistimewaan gadis ini sehingga mampu menjadikannya salah seorang peserta AF tersingkir yang popular.

Bayangkan selepas penyingkiran Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli daripada program itu, gadis berusia 19 tahun ini banyak mendapat tempat di majalah dan akhbar tempatan.

Saya mengenali Leez ketika dia berumur 15 tahun selepas memperoleh ‘profile’ mengenai dirinya daripada pelakon Emma Akma yang mengendalikan agensi model.

Kerana tertarik dengan senyumannya, saya memanggilnya untuk mengadakan sesi fotografi bakat baru kelolaan saya dalam majalah Mangga pada waktu itu.

Empat tahun berlalu saya sudah lupa peristiwa itu sehinggalah Leez mengibas semula detik-detik pertama dia mengadakan sesi fotografi.

Saya berkata, Leez bertuah kerana dia sekarang sudah dilamar menjadi artis rakaman tidak seperti rakan-rakannya yang lain. Selain lamaran itu, ada juga Datuk yang sedang ‘mengintainya’.

Hajat terlaksana

Bermulanya tuah Leez selepas penyingkirannya dalam program AF apabila dia dipanggil untuk menjalani uji bakat berlakon sebuah rancangan bersiri terbitan Astro iaitu Astana Idaman.

Hasrat untuk menjadi penyanyi yang dipegang sejak awal-awal pembabitannya dalam dunia seni menjadi sebaliknya.

Uji bakat tersebut benar-benar mengheret gadis ini untuk terbabit dalam satu lagi bidang yang tidak pernah diimpikannya selama ini.

Walaupun pada permulaan watak yang diberikan kepada Leez sekadar sampingan namun lamakelamaan dia diberikan peranan utama.

“Leez tak sangka selepas beberapa siri drama itu, watak yang diberikan kepada Leez semakin berat sehinggalah akhirnya memegang watak utama rancangan itu,’’ katanya.

Jelas Leez, jika dikenangkan semula, segalanya bagaikan sebuah mimpi yang hadir menjadi nyata.

Tidak pernah bermimpi sehingga diberi peranan utama dalam sesebuah drama walaupun pada asalnya dia merupakan pelajar AF yang tersingkir. Tetapi itulah dinamakan rezeki.

Selepas rancangan itu menamatkan siarannya kira-kira dua minggu lalu, Leez turut menerima lamaran baru daripada seorang Datuk.

Bukan lamaran untuk mengajaknya ‘naik pelamin’ sebaliknya Datuk yang dimaksudkan – Datuk Yusof Haslam, ‘produser’ dan jutawan ternama itu berhajat ‘meminang’ Leez untuk berlakon drama Sembilu Kasih.

Menurut Leez, selepas mengadakan perbincangan dengan Yusof, dia berminat terhadap watak yang bakal diberikan di dalam drama tersebut.

Malah Leez akan membuktikan dia bukan sekadar boleh menyanyi sebaliknya ingin mengasah lagi bakatnya sebagai seorang pelakon.

“Saya akan bukti dan lakukan yang terbaik untuk kerjaya saya ini,’’ katanya.

Jelasnya, Yusof Haslam telah menawarkannya watak sepupu kepada Zetty (Hetty Sarlene) yang menjalinkan hubungan cinta dengan Fendi (Zed Zaidi).

Bagaimanapun kata Leez, watak yang mahukannya menitiskan air mata merupakan watak yang sukar untuk dibawanya. Atas dasar itu Leez cuba belajar untuk menghayati setiap watak sedih yang diberikan agar ia menepati keinginan pengarah.

Lebih menggembirakan Leez, sekian lama memikirkan nasibnya selepas keluar daripada AF, hasratnya untuk menjadi penyanyi rakaman terlaksana juga.

Ketika sibuk dengan penggambaran drama Astana Idaman, Leez telah dihubungi penulis lirik Man Toba yang ingin menyuntingnya menjadi artis syarikat rakaman Toba Records.

Majlis menandatangani kontak dengan syarikat rakaman itu telah pun dilakukan kira-kira dua minggu lalu dan kini proses untuk rakaman album sedang dilakukan.

“Leez amat bersyukur. Bukan mudah untuk orang panggil kita jadi artis rakaman. Mungkin ia rezeki Leez,’’ katanya yang begitu gembira dengan dua lamaran yang diterimanya itu.

Leez kini sibuk di dalam studio rakaman mempersiapkan album solonya berkonsepkan pop.

Antara komposer yang terlibat menyumbangkan lagu di dalam album yang dijangka dipasarkan pada awal tahun hadapan itu seperti Eddie Hamid, Harun Ahmad, Zulfekar, Lan Laga, Adnan Abu Hassan dan Isman (Hijjaz).

Bersedia menghadapi gosip

Sebagai orang baru dalam industri hiburan, Leez sudah bersedia untuk menempuh pahit dan maung bergelar seorang artis.

Bukan mudah membawa ‘title’ itu sebenarnya. Setiap apa yang dibuat semuanya akan diperhatikan orang selain menjadi bualan masyarakat.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Leez dan tempias dugaan itu telah mula dirasainya.

Malah Leez juga menganggap, gosip sama seperti serbuk perasa yang menjadi penyedap di dalam makanan. Begitu juga terhadap dunia hiburan. Sebelum menjadi artis dahulu pun Leez juga meminati cerita dan gosip-gosip artis.

“Sekarang sudah jadi artis, Leez kena bersedia untuk menempuh ujian itu walaupun kadangkala Leez sendiri takut berhadapan dengannya,’’ jelas Leez.

Sejak bergelar artis, dia belum pernah ditimpa dengan gosip berat cuma kononnya Leez mempunyai hubungan dengan Haziq.

“Saya pun sudah lama tidak berhubung dengan Haziq. ‘Percintaan’ kami hanya dicetuskan ketika di dalam AF sahaja,’’ katanya.

Percayakan orang tua

Seperti juga Ning Baizura yang memilih ibunya untuk menjadi pengurus, Leez menyandarkan harapan terhadap bapanya Rosli Awang, 45, untuk menjaganya.

Jelas Leez, dia lebih percaya kepada keluarga sendiri untuk menjadi pengurus daripada melantik orang lain.

“Kalau bapa yang jaga, sudah tentu tiada orang yang boleh buat sesuka hati kepada kita. Selain itu ahli keluarga lebih mengetahui kemahuan serta perasaan kita kerana kita membesar dengan mereka,’’ terangnya.

Bagi Rosli pula, dia tidak mahu anak kesayangannya terjebak dengan perkara yang boleh merosakkan diri apatah lagi anaknya itu menjadi artis dan hidup di dunia yang penuh dengan pancaroba.

Sebagai bapa, daripada melepaskan anak gadis sendirian, lebih baik dia sendiri yang mengawasinya.

“Saya pun akan pencen dalam tentera. Lebih baik saya menguruskan Leez kerana saya lebih memahami jiwa anak saya itu daripada orang lain,’’ katanya.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: