Gubra Ada Babak Bilal Pegang Anjing

31 Mar

Oleh WANDA IDRIS

“KALAU Sepet mengandungi adegan-adegan Gubra, ia pasti akan menerima sekurang-kurangnya 20 peratus potongan. Dan sekiranya panel yang sama menilai Gubra, filem itu akan menerima sekurang-kurangnya 25 peratus potongan.”

Demikian kata pengarah Gubra, Yasmin Ahmad sehari sebelum filem itu ditayangkan kepada media di TGV KLCC pada Rabu lalu.

Selepas menonton Gubra, memang benar bahawa tanpa panel penilai yang bersikap terbuka, tentunya beberapa adegannya tidak lepas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Bukan mengatakan adegan yang terlepas itu lucah namun ia boleh mendatangkan rasa kurang selesa pada sebilangan penonton.

Antaranya, babak yang menampakkan punggung seorang pesakit ketika Orked (Sharifah Amani) bertanya di mana tandas dan ketika Orked keluar dari bilik mandi dengan hanya berkemban tuala selain sikap liberal seorang Bilal yang memegang anjing (yang kedua-duanya dalam keadaan kering).

Kita tidak perlu bercerita tentang aspek kasih sayang yang ditonjolkan kerana rasanya penonton tahu bagaimana hasil kerja Yasmin dalam menonjolkan babak sedemikian.

Namun Yasmin mempunyai prinsip. Jika dia menjual sebiji kek coklat yang mengandungi pelbagai hiasan, dia mahu keknya itu dijual kepada pelanggan dalam keadaan yang sama.

“Ini adalah sebiji kek yang saya buat untuk anda dan saya gembira kerana anda dapat menikmati kek (filem) yang sebenarnya,” ujar Yasmin.

Dan apabila ditanya tentang kontroversi yang bakal timbul, sambil ketawa Yasmin berkata: “Tawakal sajalah….”

Anak kelahiran Muar, Johor yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom ini memberitahu, dia tidak mahu meramalkan sambutan yang diterima oleh Gubra, filem ketiga arahannya selepas Rabun dan Sepet.

“Saya mengharap tetapi tidak mahu menjangkakan,” katanya yang turut memberitahu tidak akan mempertandingkan Gubra atau mana-mana filemnya pada festival filem tempatan.

Gubra akan ditayangkan kepada umum pada 6 April ini. Diterbitkan oleh Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd., ia menelan belanja sebanyak RM1 juta.

Berlokasikan sekitar Ipoh, Perak, selain Sharifah Armani, Ida Nerina, Harith Iskander Musa dan Adibah Noor, Gubra dibintangi Alan Yun, Adlin Aman Ramlie, Nam Ron, Norkhiriah, Rozie Rashid, Khir Rahman, Juliana Ibrahim, Thor Kah Hoong dan Tan Mei Ling.

Walaupun ia boleh diibaratkan sekuel Sepet namun ia sebenarnya tidak dalam erti kata sebenar kerana Gubra mengandungi dua cerita berbeza.

Ia mengangkat kisah Orked yang sudah berumah tangga dan menghadapi konflik dalam kehidupannya.

Pada sisi lain di sebuah kampung berdekatan, muncul pula cerita tentang kehidupan Bilal dan keluarganya yang berjiran dengan pelacur.

Walaupun memaparkan dua cerita yang langsung tiada hubung kait, Gubra tampil dengan cerita yang simple namun kompleks dari segi emosinya.

Ceritanya tiada kena-mengena antara satu sama lain tetapi mesej yang ditampilkan menjadi penghubungnya.

“Cuma,” kata Yasmin, “saya ingin menasihati penonton agar tidak terus balik ketika credit title dipaparkan kerana ada perkara yang berlaku selepas itu.”

Sememangnya penonton tidak seharusnya melepaskan babak terakhir itu kerana ia merupakan sinambungan filem Yasmin yang akan datang, Mokhsein, yang sedang dalam pembikinan.

“Mokhsein boleh dianggap sebagai filem prekuel yang mengisahkan Orked ketika berusia 10 tahun yang bertemu dengan seorang budak lelaki bernama Mokhsein (12 tahun) yang datang ke kampung Orked sewaktu cuti sekolah.

“Kali ini Mak Inom dan Pak Atan masing-masing dibintangi oleh Sharifah Aleya dan Zul Huzaimi,” katanya.

Filem yang sudah memulakan proses latihan sejak dua minggu lalu itu akan diterbitkan oleh Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) dengan lokasinya berpindah dari Ipoh ke Kuala Selangor.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: